Apr 17 2023
Saya Roslan Binte berasal dari Kg Tampasuk 2 ,Kota Belud. Saya sudah berkahwin dan mempunyai 5 orang anak. Sebelum ini saya adalah seorang Kristian SDA.
Saya berkahwin dengan isteri saya, seorang Katolik. Sepanjang perkahwinan ini hanya isteri dan anak-anak saya yang pergi sembahyang di gereja, lama kelamaan hati saya terbuka untuk menerima ajaran Kristian Katolik. Oleh itu, saya pun ikut belajar Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) untuk dibaptis.
Cabaran utama saya sepanjang belajar IKD adalah masa kerana saya bekerja.
Keluarga saya menyambut baik keinginan saya untuk di baptis dalam katolik.
Saya rasa semakin tenang dan saya gembira kerana dapat mengenal Kristian Katolik dengan lebih dalam lagi.
Saya harap saya dapat belajar dan mendalami lebih dalam Katolik serta teguh mengimani dan memahami Tuhan Yesus. Saya juga berharap agar pembimbing dan keluarga besar gereja Katolik dapat terus membimbing saya dalam melayani Tuhan.
Shalom nama saya Aby Leia Candara, berasal dari Kg Timbang Kota Belud dan saya merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik. Saya mengambil nama Clara sebagai nama baharu saya.
Sebelum saya memutuskan untuk masuk ke Katolik saya ingin menceritakan serba sedikit tentang latar belakang saya. Saya di lahir dalam sebuah keluarga yang kurang pengetahuan mengenai agama. Ibu saya pada mulanya adalah kristian SIB tetapi dia berpindah ke Katolik, manakala bapa saya pula tidak mempunyai agama. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengikuti katolik.
Saya ingin mengenali Tuhan dengan lebih dalam lagi dan terus terang saya agak cemburu dengan rakan seumuran saya yang telah menerima sakramen pembaptisan dan sakramen penguatan, tetapi saya percaya bahawa itu adalah rancangan daripada Tuhan agar saya dapat belajar erti sabar dan kesetiaan dalam pelayanan saya dalam gereja. Di samping itu, saya dapat mempersiapkan diri saya untuk menerima Tuhan dalam hidup saya. Selain itu, saya juga ingin memperolehi kehidupan yang kekal. Saya rasa, saya mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan misi kristus kerana jika bukan kita siapa lagi yang akan meneruskannya.
Cabaran utama yang saya alami ketika belajar IKD ialah saya malas datang ke gereja untuk belajar dan sembahyang. Hal ini disebabkan atas beberapa faktor iaitu ketika sesi pembelajaran IKD berjalan hanya sedikit pelajar yang hadir. Perkara ini menjadi salah satu punca saya malas datang ke gereja dan merasa tidak adil bagi saya dan rakan yang lain. Tambahan pula, pada awalnya bapa saya menghalang saya mengikuti kelas pmg dan kelas IKD, tetapi lama kelamaan bapa saya mula menerima dan mengizinkan saya untuk mengikuti kelas pmg dan kelas IKD.
Reaksi keluarga saya apabila saya mengambil keputusan untuk dibaptis adalah mereka gembira dan bersyukur.
Saya gembira dan bangga dengan diri saya kerana mampu untuk mengharungi cabaran dan masalah yang saya hadapi. Saya berharap agar saya dapat terus melayani dan bekerja di ladang Tuhan serta menyebarkan Injil Tuhan kepada semua dan lebih memahami dan mengenal tuhan. Terima kasih saya ucapkan kepada pembimbing dan penanggung saya kerana berjalan bersama saya sehingga hari pembaptisan dan penguatan saya. Tuhan memberkati.
Nama saya Leyrika Stepenysia Jingkan. Saya berasal dari Kg Sangkir, Kota Belud. Saya adalah anak ketiga dalam empat orang adik-beradik. Anak kepada Jingkan dan Lamisah.
Latar belakang keluarga saya adalah Katolik tetapi tidak aktif di gereja. Saya tidak berkesempatan untuk dibaptis waktu masih kecil sebab bapa saya pun belum dibaptis juga. Ibu saya sudah dibaptis tetapi tiada pemberkatan perkahwinan mereka di gereja sebab bapa saya belum dibaptis. Oleh itu, kami semua adik beradik belum dibaptis.
Apa yang membuat saya mahu dibaptis dalam Katolik ini adalah penyelamatan dari Tuhan dan saya mahu mendalami lebih tentang Katolik jadi dengan dibaptis, saya selangkah lebih dekat dengan Tuhan Yesus.
Saya mengikuti kelas IKD semasa saya di tingkatan dua, namun kelas terhenti beberapa lama disebabkan perintah kawalam pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 yang menular dan kebiasaannya saya pergi ke gereja seorang diri. Ini adalah cabaran yang saya alami. Walaupun keluarga saya tidak aktif ke gereja, mereka tidak menghalang saya mengikuti kelas IKD. Mereka memberi sokongan penuh kepada saya, begitu juga dengan pembimbing IKD saya, sentiasa memberi kata-kata motivasi supaya saya terus bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti gereja.
Saya berasa gembira dan bersyukur setelah menjadi ‘anak Tuhan’, sebab saya berfikir bahawa kini saya mempunyai hala tuju dalam kehidupan dan ada kepercayaan.
Sukar untuk saya ungkapkan perasaan ini tetapi hidup saya menjadi lebih tenang dan teratur. Saya ingin terus mengimani Katolik dan saya berharap iman saya akan menjadi lebih teguh. Saya juga berharap agar saya dapat menjadi pembimbing umat Katolik yang lain.