Antara games yang dikuti oleh para belia
By Juanis Marcus
Mac 16 2023
TENOM – Selepas melalui tempoh-tempoh yang malap dalam pelayanan belia terutamanya pada era pandemik, belia KUK Gereja Tritunggal Mahakudus, , Tenom bangkit untuk mengadakan pertemuan pada 7 Mac 2023 di perkarangan Gereja Tritunggal Mahakudus.
Pertemuan yang bertemakan “Bangun, Bangkit dan Bersatu” itu bertujuan untuk menyemarakkan semula semangat pelayanan belia, mengungkapkan rasa syukur atas penyertaan Tuhan disepanjang waktu-waktu yang sukar dan memberi input mengenai kepimpinan dan kesatuan serta tentang keindahan liturgi.
Para belia datang seawal jam 6.00pagi lagi untuk mendaftar, sarapan dan disusuli dengan sesi suai kenal. Sesi pertama bermula pada jam 9.00 pagi yang disampaikan oleh Juanis bertajuk “Kepimpinan dan Kesatuan belia”.
Melalui sesi ini para belia dapat mengenali bahawa setiap peribadi itu adalah berjiwa sebagai seorang pemimpin. “Tiada pemimpin belia yang sempurna, kerana kita adalah manusia yang lemah.
Namun dengan mengenal setiap kelemahan dan kekuatan masing-masing, para belia harus memimpin diri mereka untuk saling melengkapi antara satu sama lain, dengan cara itu kepimpinan dan kesatuan dapat berjalan seiringan,” kata Juanis.
Sesi kedua pula disampaikan oleh David Malanting, Pengerusi Liturgi KUK Gereja Tritunggal Mahakudus, yang membawa para belia untuk mengenal erti sebenar liturgi gereja. David juga mengucapkan tahniah kepada para belia kerana mempunyai keinginan untuk mengenal makna liturgi, kerana topik sedemikian sering tidak menjadi pilihan para belia dengan alasan ia adalah topik yang membosankan.
“Liturgi adalah sarana yang diturunkan oleh Yesus Kristus sendiri kepada kita semua, dan tujuannya adalah Yesus itu juga. Dalam Liturgi adanya Ekaristi yang mana kita dapat bersatu dengan sungguh-sungguh Yesus itu sendiri.
“Dengan kata mudah liturgi menyediakan kita untuk kehidupan bersama dengan Bapa di surga nanti, ingat itu para belia,” tegas David menutup sesinya.
Pada sebelah petang pula, para belia bersama-sama dengan penuh semangat dan sukacita mengikuti permainan-permainan yang telah disediakan. Kemuncak pertemuan pula diadakan pada sebelah malam melalui program yang dipanggil ‘Friendship Night’.
Para belia melakukan pujian dan penyembahan bersama, Makan Malam dengan suasana tradisional, penyerahan hadiah kepada para pemenang dalam permainan, keputusan King and Queen malam tersebut dan ditutup dengan saling memberi salam damai sambil diiringi lagu Kesatuan, Kesetian dan Kekudusan dalam Yesus Kristus.
Pengerusi KUK Gereja Tritunggal Mahakudus, George Kungin yang turut hadir pada malam tersebut juga sempat memberi sepatah kata untuk memberikan motivasi kepada para belia. “Program hari ini memberi petunjuk bahawa, sesukar manapun keadaan, jika para belia terus berakar kepada Yesus Kristus, tiada yang mustahil untuk para belia terus maju ke hadapan,” jelasnya.
Katekis Annie(tengah), David Malanting, pemberi sesi (kanan, paling belakang) bergambar dengan para belia