Fr Ronnie Luni menyerahkan hadiah kemenangan kepada johan dari St Theresa Tambunan, Raymond KSTV Stephen, ketua kumpulan, dan pemuzik McMarshall M Ongkudon, Roney Alfred (kanan)
Oleh Caroline Liew
Sep 21 2022
MEMBAKUT – Pesta Koir Belia 2022 yang berlangsung di Gereja St Patrick Membakut pada 3 Sep lalu telah menghimpunkan hampir 300 belia Katolik dari sembilan paroki dan satu mission yang ada di Keuskupan Keningau, untuk bersama-sama memuliakan nama Tuhan melalui persembahan lagu-lagu ciptaan belia sendiri dengan dua tema yang ditetapkan iaitu Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan (KACT) dan Perkahwinan.
Koordinator Pesta, Roney Alfred Eming menjelaskan bahawa tema Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan dipilih kerana pada zaman ini kita perlu berjalan bersama dalam menjaga alam ciptaan Tuhan yang semakin menghampiri titik kemusnahan jika tidak dijaga dengan baik. Ia menjadi tanggungjawab belia dan umat katolik untuk menjaga anugerah Tuhan yang telah diciptakan dan diberikan kepada kita.
Manakala tema kedua iaitu Perkahwinan bertujuan untuk memperbanyakkan lagi koleksi lagu perkahwinan yang boleh digunakan dalam Misa Kudus dan pemberkatan perkahwinan memandangkan lagu-lagu seumpama ini masih kurang dalam gereja kita.
Selesai Misa Kudus senja, Pesta Koir dijalankan pada jam 7.00 malam. Semua peserta dan tim penganjur bersama-sama menghadiri Misa Kudus yang dipimpin oleh Paderi Paroki St Patrick Membakut, Fr Benedict Daulis. Dia dibantu oleh Fr Ronnie Luni, Pembimbing Rohani Komisi Kerasulan Belia Katolik Keukupan Keningau.
Dalam homili, Fr Ronnie Luni berkata, “Pastinya kedatangan kamu di sini adalah untuk menjayakan Pesta Koir Belia. Apa yang menjadi keutamaan adalah kebersamaan, ada semangat kekitaan. Menang atau kalah adalah perkara yang kedua.”
Dalam ucapan perasmian Pesta Koir Belia 2022, Fr Ronnie berkata penganjuran Pesta Koir Belia 2022 ini adalah peluang menghidupkan seruan Bapa Suci Fransiskus untuk gereja sinodal iaitu berjalan bersama dalam semangat menjaga keharmonian alam ciptaan Tuhan dan menghargai setiap peribadi ciptaan Tuhan dan bahawa Tuhan sungguh-sungguh mengasihi kita.
Pesta Koir Belia Peringkat Keuskupan Keningau 2022 merupakan program Komisi Kerasulan Belia pertama yang melibatkan perhimpunan belia yang ramai setelah pandemik COVID-19 melanda. Persembahan koir yang ditampilkan bukan sahaja memberi peneguhan dan memberkati ratusan belia dan umat yang hadir di Paroki St Patrick Membakut tetapi juga telah menjangkau ribuan penonton atas talian melalui laman Facebook dan Youtube Komisi Belia Keuskupan Keningau.
Penganjur Pesta Koir Belia 2022 diwakili oleh setiap paroki di Keuskupan Keningau
Koordinator Pesta Koir Belia 2022, Roney Alfred, menyatakan harapannya, “Semoga dengan adanya Pesta Koir Belia 2022 ini akan mengembalikan semula semangat para belia kita khususnya di Keuskupan Keningau untuk terus menggunakan bakat dan anugerah yang dimiliki melalui ciptaan lirik lagu, melodi, muzik dan alunan suara dalam pelayanan mereka.
“Kepada semua peserta Pesta Koir Belia 2022, terima kasih kerana mengatakan ‘Ya’ untuk menggunakan bakat-bakat anda dalam pelayanan koir dan marilah kita bersama-sama menjadikan Pesta Koir Belia sebagai pemangkin semangat kita untuk melayani Tuhan dan memuliakan nama Tuhan,” kata Roney.
Sememangnya Pesta Koir Belia 2022 telah memberi pengalaman berbeza untuk setiap peribadi yang menyertai dan sudah tentu sebahagian daripadanya adalah menjadi yang terbaik di antara yang terbaik.
Dengan bantuan para juri yang berpengalaman, Paroki St Theresa Tambunan telah dinobatkan sebagai Juara Pesta Koir Belia 2022 juara sekaligus mempertahankan kejuaraan buat kali ke-5 dalam Pesta Koir Belia Keuskupan Keningau. Naib juara disandang oleh Katedral St Francis Xavier Keningau dan Paroki Roh Kudus Sook merangkul tempat ketiga.
Anugerah lirik lagu terbaik untuk Tema KACT diangkat oleh Katedral St Francis Xavier dan anugerah lirik lagu terbaik untuk Tema Perkhawinan diangkat oleh Paroki Holy Cross Toboh. Terdapat juga beberapa anugerah khas yang diberikan iaitu Konduktor Terbaik (Holy Cross Toboh Tambunan), Penampilan Terbaik (St Yohanes Pembaptis Sipitang) dan Etika Terbaik (St Patrick Membakut).
Untuk semua kelancaran pelaksanaan Pesta Koir Belia 2022, Roney Alfred menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang telah menjayakan program ini.
Di akhir program, Paroki St Anthony Tenom diumumkan sebagai Tuan Rumah Pesta Koir Peringkat Keuskupan Keningau yang akan datang.