
Oleh Tim Media SYD6
KENINGAU – “Anda semua orang muda Katolik (OMK) adalah Pewarta Sukacita, Belas Kasih dan Harapan kepada gereja masa kini,” laung Kardinal Sebastian Francis dengan penuh semangat semasa menyampaikan homilinya di Misa Penutupan Sabah Youth Day 6 (SYD-6) pada 20 Sept 2024.
“Anda semua yang hadir disini (OMK Sabah) adalah contoh bagi para belia yang lain,” puji Kardinal Sebastian sambil memandang ke arah lebih 3000 belia yang berhimpun di Dataran Keuskupan Keningau. Penyertaan SYD-6 merupakan yang paling ramai berbanding SYD sebelum ini.
SYD-6 bermula sejak 15 Sept lagi, di mana para penganjur mula berkampung di Tapak Utama, iaitu Katedral St Francis Xavier, keningau (KSFX). Koordinator SYD-6, Roney Eming menyeru agar para penganjur bersedia menyambut para peserta dengan penuh mesra. Sr Terecia Loukang pula memberi kata semangat agar penganjur melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa takut dan gentar, tetapi yakin bahawa mereka mampu melakukannya.
Hari pertama, adalah kedatangan para peserta ke Zon Keluarga Nazareth (Keluarga Angkat) yang dibahagikan kepada 10 zon. Pada sebelah malam, para peserta diraikan dalam Sesi Welcoming oleh umat di setiap zon keluarga angkat. Kepelbagaian cara sambutan menjadikan para peserta mengalami variasi pengalaman semasa berada di keluarga angkat.
Hari kedua SYD-6 bermula dengan Misa Kudus Pembukaan oleh Uskup Cornelius Piong. Prelatus itu memulakan homilinya dengan alu-aluan kedatangan para peserta, penganjur dan juga keluarga-keluarga angkat. “Apa pun cabaran yang kamu lalui, ingat para belia, sentiasa datang untuk memohon bantuan Bonda Maria,” tutup prelatus itu.
Hari kedua juga para belia dibahagikan kepada sembilan kumpulan besar untuk mengikuti sembilan topik yang berbeza iaitu iaitu Kesihatan Mental, Media, Pujian Penyembahan, Belia dan Advokasi, Keluarga dan Perdamaian, Kerjaya dan Panggilan, Discipleship dan Mission, Kepimpinan serta Boy and Girl Relationship. Semua input itu dipilih kerana ia berkait rapat dengan kehidupan para belia masa ini. Pada sebelah malam pula, para peserta dibawa untuk merenungkan kebesaran kasih Yesus melalui Jalan Salib. Dalam perjalanan jalan salib, peserta merenung setiap perhentian dengan beberapa video yang dimainkan dan aktiviti yang diselitkan seperti merenung serta menulis renungan di dalam buku SYD-6 menjadikan sesi Jalan Salib lebih dihayati.
Pada hari ketiga pula, semua aktiviti dilakukan disetiap zon masing-masing. Melalui sesi Youth Serving Youth, yang memperkenalkan para belia tentang tujuh tema ajaran sosial Katolik serta bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan seharian agar dapat membantu mereka yang memerlukan. Misa Kudus turut diadakan di setiap zon, setelah itu para peserta mendengar perkongsian daripada peribadi-peribadi yang pernah mengalami peristiwa luar biasa yang mengubah kehidupan mereka melalui sesi Kasih Yang Sempurna. Hari ketiga ditutup dengan Sesi Adorasi.
Hari keempat SYD-6 adalah hari yang paling mencabar buat para peserta. Sesi dimulakan dengan Mission Walk yang mana para peserta perlu berjalan dari 5 lokasi berbeza ke Tapak Utama SYD6 yang jaraknya dalam lingkungan 1.7km – 5.0km. Perjalanan mereka bukanlah kosong tetapi penuh dengan misi seperti berkongsi mengenai pengetahuan mengenai para missionaries terdahulu sambil memungut sampah sarap sepanjang perjalanan. Sebelah petang pula, Misa Kudus di Tapak Utama SYD6 oleh Uskup Agung John Wong. Prelatus dalam homilinya, menekankan pentingnya sinodaliti di kalangan para belia, dengan melakukan tiga hal iaitu “Misi, Partisipasi dan Kesatuan”. “Dalam melaksanakan ketiga-tiga perkara tersebut Yesus menjadi dasarnya,” ujar prelatus itu. Malaysian Catholic Youth Day (MCYD) turut diumumkan pada Misa tersebut.
Sebagai penutup hari keempat SYD6, Magnificat Fiesta diadakan di Dataran KSFX, menyatukan peserta dalam suasana ceria dan penuh syukur. Malam terakhir ini dimeriahkan dengan persembahan bertema dari pelbagai paroki, termasuk Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu dan beberapa paroki lain, serta dari Catholic Student Group (CSG). Persembahan ini mendorong peserta untuk memperdalam hubungan peribadi dengan Tuhan dan menjawab panggilan-Nya dengan keberanian seperti Bonda Maria.
Uskup Julius Dusin Gitom memberikan berkat dan menekankan tujuh sikap Bunda Maria yang ditonjolkan semasa fiesta: iman dan ketaatan, bersyukur, rendah hati, kesetiaan, kepedulian, ketabahan, dan kekudusan. Prelatus menekankan bahawa sikap-sikap ini boleh menjadi teladan dalam kehidupan sehari-hari, dan mengajak peserta untuk melihat diri secara positif, seperti Bonda Maria yang mengatakan “Ya!” ketika menerima khabar gembira.
SYD-6 melabuhkan tirainya dengan Misa Kudus Pengutusan pada hari kelima. Kardinal Sebastian turut memberikan satu “first class relic” iaitu cebisan kulit St Francis Xavier, kepada Keuskupan Keningau. Melalui gimik yang mendebarkan akhirnya, Paroki St Dominic, Lahad Datu, Keuskupan Sandakan telah terpilih sebagai tuan rumah bagi SYD bagi edisi yang ketujuh.
Selesai sahaja SYD-6, tanpa menunggu lama, para belia mulai memenuhi ruangan media sosial dengan perkongsian mengenai “sukacita, belas kasih dan harapan” yang mereka alami sepanjang SYD-6. Semoga semangat Bonda Maria menjadikan OMK, seorang yang berani untuk Bangkit dan Bergegas melaksanakan Misi.