Para peserta pertandingan Poster Kreatif bergambar dengan hasil lukisan masing-masing
Oleh Tim Penganjur
Nov 2 2023
SANDAKAN – Paroki Katedral St Mary, Sandakan telah menyambut Perayaan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia kali ke-109 yang bertemakan, “Bebas Memilih untuk Berhijrah atau Menetap” dengan menganjurkan tiga program pada tahun ini. Program pertama ialah Pertandingan Poster Kreatif, kedua ialah Rekoleksi dan yang ketiga, kemuncak perayaan iaitu Misa Kudus Minggu Migran dan Majlis Kesyukuran.
Pada 16 Sept, Pertandingan Poster Kreatif telah dijalankan di Dewan, Pusat Paroki St Mary, Sandakan. Pertandingan ini bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran umat terutamanya di kalangan remaja mengenai hal-hal berkaitan migran dan perantau, khususnya di Paroki Katedral St Mary, Sandakan dan membentuk tingkah laku dan nilai positif di kalangan warga migran dan tempatan.
Seramai 20 peserta hadir ke pertandingan di mana tujuh orang menyertai kategori-1 (umat paroki berumur 10-13 tahun) dan 13 orang menyertai kategori-2 (umat paroki berumur 14-18 tahun). Ahli keluarga dan kawan-kawan turut hadir memberi sokongan.
Kemudian, pada 23 Sept, lebih kurang 60 umat telah hadir dan menyertai Program Rekoleksi sempena perayaan ini. Objektif rekoleksi ini pula ialah membuat umat dapat lebih mengetahui dan mengenal tentang pelayanan pastoral bagi migran dan perantau, lebih memahami secara mendalam akan pesanan Bapa Suci Fransiskus sempena perayaan ini, mengetahui apakah misi dan peranan sebagai migran dan perantau dan dapat mengeratkan serta memperbaiki lagi hubungan sesama sebagai umat Tuhan Gereja Sinodal yang berjalan bersama dijiwai oleh Roh Kudus.
Setelah itu, aturcara program rekoleksi diteruskan di Dewan, Pusat Paroki St Mary dan Sesi Pengenalan tentang Apakah itu Komiti Pelayanan Pastoral bagi Migran dan Perantau (KPMP) telah disampaikan oleh Freddy Graman yang melayani sebagai Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP). Beliau menerangkan tentang bagaimana bermulanya pelayanan pastoral bagi migran dan perantau di Keuskupan Sandakan dan juga Paroki Katedral St Mary, Sandakan. Beliau juga menjelaskan tentang apakah antara objektif pelayanan ini dan memberitahu bahawa Paroki Sandakan dalam proses untuk membentuk AJK rasmi KPMPnya.
Kemudian, Sesi pertama bertajuk, “Apakah Pesanan Bapa Suci Fransiskus?” telah disampaikan oleh Anna Teresa Peter Amandus yang melayani sepenuh masa di Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan sebagai Pentadbir Pejabat Pastoral dan juga bertugas untuk Migrant Desk Keuskupan. Semasa sesi ini, beliau mengulas isi-isi utama pesanan Bapa Suci tersebut agar para peserta dapat lebih memahami dan mendalami apa yang Bapa Suci ingin sampaikan melalui pesanan tersebut. Selepas sesi ceramah, Anna menjalankan sesi renungan dan perkongsian kumpulan.
Sesi kedua pula bertajuk, “Misi Kita sebagai Migran dan Perantau”. Sesi ini telah disampaikan oleh Fr Simon Kontou. Beliau merupakan Pembimbing Rohani Komisi Pelayanan Pastoral bagi Migran dan Perantau Keuskupan Sandakan (KPMK) yang telah dilantik oleh Uskup Sandakan dan Rektor bagi Paroki Sandakan. Fr Simon menyentuh tentang apakah yang paling penting dalam pelayanan ini. Beliau menyeru agar migran dan perantau saling membantu dan membangunkan sesama bukan sahaja dalam kalangan komuniti sendiri, tetapi juga dengan seluruh komuniti gereja.
Para peserta telah berkesempatan untuk bersoaljawab dengan Fr Simon tentang beberapa perkara yang sedang mereka hadapi dalam komuniti masing-masing. Maka, beliau turut mengingatkan bahawa, dalam pelayanan dan penjangkauan kepada para migran dan perantau, haruslah sentiasa berhubung dengan orang atau pihak yang tepat, mendapatkan fakta atau maklumat yang betul apabila berhadapan apa juga jenis situasi, dan bijaksana dalam mengendalikan isu-isu yang hendak diselesaikan.
Selepas sesi-sesi input tersebut, satu sesi pembasuhan kaki yang bertemakan, “Bukan untuk Dilayani, Tetapi untuk Melayani” telah dijalankan. Sesi ini telah dikendalikan oleh Tim Pujian dan Penyembahan di mana para peserta dibawa dalam suasana doa dan hening sambil menjalani sebuah upacara simbolik di mana mereka mencontohi apa yang Tuhan Yesus Kristus lakukan kepada para muridNya seperti dalam petikan alkitab, Yoh 13:4-15 iaitu saling merendahkan hati untuk melayani sesama. Sesi ini juga memberi peluang kepada para peserta untuk bermaaf-maafan, melakukan perdamaian dan menyampaikan penghargaan buat sesama dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan sepelayanan dan juga sesiapa sahaja yang berada dalam ingatan mereka. Selepas pembasuhan kaki, para peserta bersalam-salaman sambil diiringi dengan lagu puji-pujian dalam suasana sukacita dan damai sebagai penutupan rekoleksi ini.
Keesokannya pula, 24 Sept, Misa Kudus Minggu Migran yang diselebrankan oleh Uskup Julius Dusin Gitom yang dijalankan di Katedral St Mary.
Memetik homili Uskup Julius, beliau mengatakan, “Betapa susahnya sekiranya kita tidak mempunyai pekerjaan. Kebanyakan para migran terpaksa keluar dari tempat mereka, pergi ke tempat lain untuk mencari pekerjaan. Mungkin ada di kalangan kejiranan kita yang bermigrasi ke tempat lain seperti di Semenanjung Malaysia, Singapura dan tempat-tempat lain untuk mencari pekerjaan. Kita di sini pula, menerima kedatangan para migran daripada Indonesia, Filipina, Myanmar dan pelbagai tempat lain. Pada dasarnya, manusia bebas berhijrah dan bermigrasi. Tema perayaan kita pada tahun ini yang telah dipilih oleh Bapa Suci Fransiskus ialah bebas memilih untuk bermigrasi atau tetap tinggal. Tetapi, kadangkala kita tidak mempunyai pilihan lain dan ini disebabkan oleh banyak faktor seperti tiadanya peluang pekerjaan, tiada keamanan (peperangan, penindasan dan lain-lain) di tempat asal. Maka, di sini kita mengingati Keluarga Kudus dari Nazaret di mana keluarga Tuhan Yesus terpaksa menjadi pengungsi (pelarian). Berhijrah bukan kerana pekerjaan tetapi untuk menyelamatkan diri daripada diburu oleh Raja Herodes. Begitulah sebab-sebab mengapa orang bermigrasi. Kita juga mengingati Abraham. Dia juga adalah migran. Dia bermigrasi ke tempat yang lebih baik yang telah Tuhan janjikan kepadanya. Apapun sebab dan tujuan orang bermigrasi, impian kita sama, iaitu supaya kita mempunyai kehidupan yang lebih baik, lebih aman dan damai. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga mengetahui banyak rintangan, kesusahan dan penderitaan yang para migran terpaksa hadapi. Di seluruh dunia, ramai orang bermigrasi, berpindah daripada negara asal mereka dengan menjangkakan bahawa tempat lain lebih baik dan selamat.”
Uskup juga sempat mengongsikan pengalaman pahit salah seorang sahabatnya sewaktu berumur 10 tahun di mana, semasa dalam perjalanan ke tempat yang dituju, dia dan para penumpang bot menghadapi banyak masalah seperti berada di tengah lautan selama 10 hari apabila bot yang mereka naiki rosak. Ada juga cubaan lanun untuk merompak mereka. Di samping itu, ada yang mati kerana sakit.”
Uskup menyambung dengan melontarkan soalan sebagai refleksi bagi semua, “Di tempat kita ada peluang pekerjaan. Maka, ada ramai migran di tempat kita. Adakah kita menerima mereka? Adakah kita memberi peluang kepada mereka? Ataupun kita hanya melihat mereka sebagai satu komoditi yang harus kita gunakan? Kita lihat di ladang-ladang di Sandakan dan seluruh Sabah. Kebanyakan pekerja kita adalah migran. Sebenarnya mereka juga menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi kita. Tetapi, kebanyakan daripada kita tidak sedar bahawa mereka adalah manusia. Jadi, itulah sebabnya Bapa Suci mengatakan bahawa mereka adalah teman seperjalanan kita semasa di dunia. Mereka adalah saudara-saudari kita. Maka, mereka yang ada peluang membantu, harus membantu. Jadi, saya bersyukur kerana gereja kita tetap mengingati hari migran sedunia, memperingati seluruh manusia, bukan sahaja Katolik tetapi semua orang di dunia.”
“Mungkin sekarang kita berada di tempat atau zon yang selesa, tetapi kita tidak tahu apa akan terjadi kepada generasi akan datang, bagaimana keadaan mereka. Mungkin mereka terpaksa bermigrasi. Jadi, selagi kita mempunyai peluang, kita harus membantu. Cabaran kita ialah untuk bersama-sama dalam semangat Gereja Sinodal iaitu kita harus bersatu, berpartisipasi dan menjalankan misi bersama, bukan dengan umat Katolik sahaja tetapi dengan semua orang, sama ada tempatan atau migran. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada anda semua untuk membaca Pesanan Bapa Suci Fransiskus sempena perayaan ini.”
“Bapa Suci mengatakan, “Jalan Sinod yang telah kita jalani sebagai Gereja, menuntun kita kepada golongan yang paling terdedah kepada ancaman, di antaranya banyak migran dan pengungsi. Hanya dengan berjalan bersama, kita akan melangkah jauh dan mencapai tujuan bersama dari perjalanan kita.” Maksud Bapa Suci ialah, jika kita tidak berjalan bersama di dunia ini, kita tidak akan sampai ke tujuan kita. Sikap menolak, iri hati seperti dalam perumpamaan Injil pada hari ini, tidak akan membenarkan kita untuk berjalan bersama sebagai Gereja Sinodal.”
“Perumpamaan Injil mengatakan tentang pekerja kebun anggur yang terakhir datang bekerja kerana mereka tergolong antara yang lemah, sudah tua dan tidak mampu lagi bekerja di tengah panas terik sepanjang hari. Mereka tidak mempunyai peluang kerana mereka lemah, tetapi Tuhan yang digambarkan sebagai pemilik kebun anggur itu menerima dan mengambil mereka semua untuk bekerja, tiada yang dipinggirkan. Maka, cabaran kita ialah menerima semua orang sebagai saudara dan saudari kita kerana Tuhan menerima semua orang sebagai putera-puteri kesayanganNya. Oleh yang demikian, marilah kita berdoa supaya kita mempunyai semangat yang sama, semangat pekebun anggur dalam perumpamaan Injil pada hari ini, menerima semua orang, memberi peluang kepada semua orang. Amin.”
Sebelum beralih ke acara majlis kesyukuran di dewan, Uskup telah diberi kesempatan untuk menyampaikan ucapannya sempena perayaan tersebut kerana Rektor Paroki Katedral St Mary Sandakan iaitu Fr Simon Kontou tidak dapat merayakan acara kemuncak sambutan tersebut atas sebab komitmen pelayanan lain pada masa yang sama.
Uskup mengalu-alukan kehadiran daripada Majlis Pastoral Paroki (MPP), Komiti Pastoral Filipino, Indonesia, Komiti Penyelaras Kadazan dan Cina, religius serta semua umat. Beliau mengucapkan tahniah kepada MPP dan AJK Penganjur yang merancang perayaan Hari Migran dan berterima kasih kepada para umat yang bekerjasama untuk menjayakan perayaan ini, khususnya yang telah menyumbangkan tenaga, material demi kejayaan Hari Migran pada tahun ini.
“Saya melihat bahawa kita semua bersemangat merayakan Hari Migran ini dengan memakai pakaian-pakaian tradisi masing-masing. Maka dengan ini, Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai semangat untuk bekerjasama, mempunyai semangat untuk berjalan bersama sebagai Gereja Sinodal. Inilah semangat yang kita mahu dalam paroki kita, bahawa kita tidak membezakan siapa-siapa, berjalan bersama sebagaimana yang Bapa Suci mahukan kita lakukan bersama. Maka, dengan ini, sekali lagi, saya ucapkan selamat merayakan Hari Migran di paroki kita,” kata prelatus itu.
Selepas Misa Kudus, Uskup dan para umat bergerak ke Dewan, Pusat Paroki St Mary untuk sambutan majils kesyukuran.
Majlis tersebut menjadi lebih bermakna di mana para umat secara individu, berkumpulan dan mengikut komuniti bermurah hati dan memberi sokongan kepada sambutan perayaan ini dengan mengongsikan makanan masing-masing bagi acara makan tengah hari bersama.
Klip video sempena Hari Migran yang telah dikongsikan oleh Episcopal Commission for the Pastoral Care of Migrants and Itinerants (ECMI), Malaysia, Singapore and Brunei telah ditayangkan.
Kemudian, klip video daripada Global Shepherds Berhad (GSB), Sandakan juga turut ditayangkan bagi memberi pengenalan akan pelayanan mereka yang menjangkau kepada golongan migran dan perantau di Paroki Sandakan.
Acara penyampaian hadiah para pemenang tempat pertama bagi Pertandingan Poster Kreatif pada 16 Sept lalu diadakan di mana penyandang tempat ketiga, kedua dan pertama dirahsiakan terlebih dahulu, pada hari tersebut.
AJK Penganjur juga telah mengadakan Cabutan Tiket Bertuah untuk mencari dana bagi Tabung Komiti Pelayanan Pastoral bagi Migran dan Perantau Paroki (KPMP) Katedral St Mary Sandakan. Mereka bersyukur dan berterima kasih kerana sambutan para umat kepada aktiviti pencarian dana ini amat mengalakkan dari segi pemberian sumbangan hadiah berupa material dan wang ringgit, juga kepada pembelian tiket-tiket bertuah tersebut. Dana ini akan digunapakai oleh pihak KPMP pada masa akan datang bagi menampung aktiviti dan program pelayanan mereka.
Sepanjang majlis kesyukuran itu, aturcara santai turut diselitkan bagi hiburan para hadirin seperti menyanyi, menari dan penyampaian hadiah misteri.
Majlis kesyukuran tersebut selesai sekitar jam 4 petang. – Dospo