Oleh Herald Malaysia
DURIAN TUNGGAL, Melaka – Gereja Kecil St Martin de Porres di Gading meraikan ulang tahun ke-36 pada 7-10 Nov lalu dengan mengangkat tema, “Meraikan, Mendengar, dan Berjalan Bersama” berfokus kepada Keluarga, Gereja dan Ekologi.
Kemuncak perayaan disambut pada hari Minggu, November 10 di mana kira-kira 400 umat dari jauh dan dekat, berhimpun untuk berdoa kerahiman Ilahi jam 3.00 petang, diikuti Misa dalam bahasa Melayu.
Fr Albet Arockiasamy dari Tampin, Negeri Sembilan merupakan selebran utama manakala khutbah disampaikan oleh Fr Joseph, paderi paroki Gereja Our Lady of Guadalupe Krubong.
Dalam homilinya, Fr Albet bercakap tentang cabaran untuk memberikan yang terbaik kepada Kristus dan orang lain. Paderi itu mengajak umat merenung bagaimana Yesus mengajar kita untuk mengasihi dan memaafkan, walaupun dunia menggalakkan kita untuk membalas dendam.
Fr Albet mengingatkan umat bahawa pengampunan adalah bahagian penting dalam kehidupan Kristian, dan dengan mengasihi orang lain seperti diri sendiri, kita mengikuti teladan Kristus. Dia juga menekankan bahawa untuk benar-benar mengasihi Tuhan dan sesama, kita mesti menjadi “garam dunia” dan “cahaya dunia”, seperti yang ditunjukkan oleh St Martin de Porres dalam hidupnya.
Fr Albet juga berkongsi kisah St Martin semasa kecil yang sukar dan akhirnya diterima untuk menyertai Ordo Dominican. Kehidupan St Martin ditandai dengan kerendahan hati, pelayanan dan kasih sayang kepada orang lain, terutamanya golongan miskin dan terpinggir. Dia menunjukkan bahawa walaupun dalam keadaan yang sukar, kita boleh menggunakan bakat dan pemberian kita untuk membawa kasih Tuhan kepada orang lain.
Paderi itu juga mengimbas semula tentang Perhimpunan Pastoral Serantau Semenanjung Malaysia 2024 baru-baru ini di Pusat Majodi, yang memberi tumpuan kepada empat aspek utama Keluarga, Gereja, Ekologi dan Komuniti. Beliau menggalakkan umat beriman untuk berdoa bersama sebagai sebuah keluarga, membaca Firman Tuhan setiap hari, dan menjaga alam sekitar.
Katanya, Gereja memanggil kita untuk meluaskan kasih sayang dan kepedulian kita kepada mereka yang memerlukan, termasuk yang miskin, dan membina hubungan dengan orang dari semua agama. St Martin, melalui kerja-kerja amal dan belas kasihannya, menjadi contoh hidup bagaimana kita juga dipanggil untuk melayani orang lain dan berjalan bersama sebagai Gereja sinodal. – Herald Malaysia