Fr.Joseph Gapitang bergambar bersama AJKT Komisium LOM
Oleh Juanis Marcus
Mar 10 2024
KENINGAU – “Sebagai ahli Legio of Marie (LOM), apakah setiap tindakan kita seperti Bonda Maria yang selalu menghadirkan Kristus dalam kehidupan kita?” tanya Fr Joseph Gapitang semasa memberikan homili pada Misa Kudus sempena Pembaharuan Janji Komitmen Legio of Marie di Katedral St Francis Xavier, Keningau.
Upacara Pembaharuan Janji Komitmen telah berlangsung pada 23 Feb yang lalu dan melibatkan ahli-ahli Komisium Keuskupan Keningau, ajkt daripada 13 kuria dan presidium dari sekitar KSFX.
Fr Joseph Gapitang, pembimbing rohani Komisium Legio of Marie Keuskupan Keningau, turut menambah agar para ahli LOM harus mengingat kembali peranan mereka iaitu melaksanakan pelbagai pelayanan untuk kemuliaan Tuhan.
“Senjata agar pelayanan kita itu berjaya adalah dengan meneladani sifat keibuan Bonda Maria seperti, kerendahan hati, kesetiaan dan sentiasa membawa Yesus dalam kehidupannya,” jelas klerus itu.
Paderi itu menegur agar sistem pertemuan (rapat) yang sedia ada tidak diubah sesuka hati oleh ahli-ahli LOM. “Saya mendengar terdapat presidium yang tidak membuat Doa Rosari terlebih dahulu tetapi terus membincangkan agenda mesyuarat. Ini sepatutnya tidak berlaku, kerana LOM harus mengutamakan devosi kepada Bonda Maria”.
Fr Joseph menutup homilinya berterima kasih kepada semua yang hadir untuk memperbaharui janji komitmen dan tindakan mereka menghiburkan hati Bonda Maria yang sering terluka dengan dosa-dosa manusia.
Betty, presiden Komisium LOM turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan syukur kerana hampir kesemua yang terlibat hadir untuk memperbaharui janji komitmen mereka. “Kesatuan ini akan memudahkan pelayanan LOM dimasa akan datang,” jelas beliau lagi.
Selepas pembaharuan Janji Komitmen di peringkat komisium, juga akan diadakan upacara yang sama diperingkat kuria dan presidium.