Paderi muda Fr Wilfred James ditahbis oleh Uskup Cornelius Piong pada 13 Feb di Rumah Retret Tatal Keningau
Oleh Didiroy Joneh
Feb 16 2021
KENINGAU – Enam tahun semenjak pentahbisan paderi yang terakhir, Katedral St Francis Xavier kini menerima seorang lagi paderi Keuskupan yang ditahbis Sabtu lalu, 13 Februari oleh Uskup Datuk Cornelius Piong.
Pentahbisan Imamat Fr Wilfred James berjalan dengan sempurna di Rumah Retreat Keuskupan Keningau, Tatal mengikuti SOP ketat, dengan kehadiran umat dan kalangan ahli keluarga seramai 50 orang sahaja.
Fr Wilfred mengucap syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses pembentukannya selama ini, terutamanya kepada kedua orang tuanya walaupun tidak berada di dunia ini lagi, namun dia percaya mereka turut bersukacita bersama Allah Bapa di Syurga.
Fr Wilfred juga berterima kasih atas galakan dan undangan daripada Uskup Piong sendiri selama ini untuk menjadi seorang paderi, katanya, “Doakan kami paderi baru dan semua mereka yang dalam pembentukan ketika ini agar sentiasa teguh dan kuat di dalam pelayanan masing-masing.”
Uskup Piong di dalam ucapan berkata, “Pelayanan kita perlulah sentiasa bersumber dan berlandaskan kepada Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus.
“Sebagai seorang paderi kita perlu melayani sebagai satu tim dengan rakan sepelayanan, oleh itu teruskan usaha dalam mengenal Yesus agar terjalan cintakasih kepadaNya yang memampukan kamu melayani dengan komited dan efektif.”
Harapannya lagi agar kepimpinan dan pelayanan sebagai paderi dapat melahirkan komuniti umat Allah yang sentiasa bangga dengan identiti Kristianinya, komited pada misinya dan yakin kepada Kristus sebagai jalan kebenaran, kehidupan dan mencapai destinasinya.
Bekas graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hubungan Antarabangsa (HONS) ini akhirnya memilih untuk melayani Tuhan seumur hidup.
Upacara pentahbisan sedang dijalankan oleh Uskup Piong kepada Wilfred James, dibantu oleh Fr Rudolf Joannes
Fr Wilfred James berasal daripada Keningau, dilahirkan pada 24 Julai 1981 dan menerima pentahbisannya pada umur 40 tahun, merupakan anak ke-10 daripada 11 orang adik beradik.
Menariknya lagi dua orang kakaknya juga merupakan religius Sister daripada Kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC) iaitu Sr Olga Mary, FSIC yang melayani di Kota Marudu dan Sr Martina, FSIC di Katedral Sandakan.
Wilfred James merupakan seorang yang aktif dalam pelayanan sebagai Kordinator Belia dan Kampus Ministri Keuskupan Keningau sejak 2003 sehingga 2012 dan akhirnya menyahut panggilan sebagai paderi pada tahun 2013 dengan Tahun Inisiasi di St Peter College, Kota Kinabalu.
Menyingkap cerita panggilannya, katanya benih panggilan suda ada sejak Sekolah Menengah lagi ketika dalam ingkatan tiga. Ketika dia mengutarakan kepada kedua orang tuanya bahawa dia ingin menjadi paderi, bapanya menggalakkan dia namun kerana usianya yang masih terlalu muda pada waktu itu, maka syaratnya dia harus menghabiskan pelajarannya dahulu.
Setelah tamat Sekolah Menengah, dia melanjutkan pengajian di UUM dan di sana dia aktif dalam pelayanan Mahasiswa Katolik. Selepas tamat pengajian dan aktif dalam pelayanan belia, dia telah dihantar ke Philippine Institute of Formation Fondacio Asia, Quezon City, katanya, “peluang itu saya gunakan sebagai retret di mana saya cuba fikirkan halatuju pelayanan saya seterusnya.”
Sekembali di Keningau dan selama lima tahun melayani di Pejabat Belia Keuskupan Keningau akhirnya dia memberanikan diri untuk menyahut penggilannya dan memasuki Rumah Pembentukan menjadi paderi pada Februari 2013 di Kota Kinabalu.
Wilfred begitu komited dalam pembentukannya dan pada 3 November 2016 telah dilantik sebagai Lektor oleh Uskup Richard Ng dan setahun kemudian dilantik sebagai Acolyte oleh Uskup Agung Simon Poh di Kolej St Peter, Kuching, Sarawak.
Dalam tugas pastoral pertamanya pada tahun 2014, dia ditempatkan di Legion Of Mary, Charismatic Renewal Movement dan Children Liturgy, dan seterusnya di Hospital Sentosa (Sarawak Mental House) dan pelbagai tempat sehingga ditahbis sebagai dikon pada Oktober 2020 lalu di Keningau.
Doa Litani kepada Santo dan Sangti memohon doa dan sokongan daripada mereka untuk pentahbisan ini dan untuk Gereja seluruhnya
Di akhir Misa Kudus Uskup Piong berkata “Tuhan itu penuh dengan kejutan, seperti hari ini sesuatu yang tidak disangka akhirnya terjadi” dan Uskup mengambil kesempatan mengajak para belia agar mengambil masa merenung dan bertanya pada diri sendiri “di mana anda berada, relasi anda dengan Tuhan, relasi anda dengan gereja” kerana Tuhan sentiasa memanggil.
Uskup juga berterima kasih kepada Pengerusi MPP Nancy Nelly Joneh dan Tim Pelaksana kerana manjalankan tugas pelayanan dengan begitu baik sekali. Uskup Piong mengumumkan bahawa paderi baru Fr Wilfred James akan melayani di St Valentine Beaufort berkuatkuasa pada 13 Mac 2021.
Pengerusi Nancy juga berkongsi di dalam ucapannya tentang persahabatannya dengan paderi baru itu; dia telah bersahabat dan menjadi rakan sekelas dengan Fr Wilfred sejak Sekolah Rendah sehingga tamat tingkatan lima dan seterusnya masing-masing dengan pelayanan mereka. Tetapi akhirnya ditemukan kembali di kala seorang menjadi paderi dan seorang lagi menjadi pengerusi Majlis Pastoral Paroki, begitulah panggilan Tuhan yang misteri kata Nancy.
Turut hadir dalam Misa Pentahbisan kali ini adalah Fr Charles Chew, Fr Rudolf Joanes, Fr David Gasikol serta Fr Gilbert Lasius.
Satu lagi Pentahbisan Imamat akan dijalankan pada 27 Februari 2021 iaitu pentahbisan Dikon Gilbert James, OFMCap di St Theresa Tambunan.