By Averil
Dec 28 2020
KOTA KINABALU – Seramai 10 kanak-kanak Imigran (Indonesia) menerima Komuni Suci Pertama pada 19 Dis 2020 bertempat di bilik F6 Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu yang dipimpin oleh Fr Paul Lo.
Upacara penerimaan Sakramen Ekaristi dalam Misa Kudus secara tertutup dan terhad itu diadakan berdasarkan ‘Standard Operational Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Fr Paul dalam homilinya, menjelaskan kepada ibubapa yang turut hadir pada masa itu, bahawa tidak ada sebarang diskriminasi bagi anak-anak mereka untuk menerima komuni suci yang sepatutnya dilakukan sekaligus pada Nov lalu, namun disebabkan oleh keadaan Pandemik Covid-19 pada masa ini, terdapat sedikit kekangan bagi mereka untuk menghadiri ke gereja.
Beliau menasihatkan Ibubapa anak-anak yang menerima sakramen tersebut supaya membantu mereka di dalam pertumbuhan iman dan rohani agar iman dan kepercayaan itu sentiasa berkembang.
Paderi itu juga mengingatkan para penerima komuni suci pertama agar sentiasa menghadiri Misa Kudus pada setiap hari minggu untuk menerima Yesus dalam Ekaristi serta membuat pengakuan dosa sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun.
Sebenarnya, Penerimaan Komuni Suci Pertama dilakukan pada bulan Okt tahun ini, namun ditangguhkan kerana Pandemic Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga mendapat kelonggaran daripada Kerajaan Negeri Sabah bahawa rumah-rumah ibadat diberi kebenaran untuk dibuka kembali.
Semua penerima Komuni Suci Pertama ini telah mengikuti kelas dalam talian yang dilakukan oleh Pembimbing Pertemuan Minggu Gembira (PMG) bahasa Malaysia (BM), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan. Melalui kaedah ini, murid-murid tersebut mampu membuat persediaan secara rohani serta belajar seperti biasa dalam norma baharu.
Walaubagaimanapun, para Penerimaan Komuni Suci Pertama ini berasa sangat gembira dan bersyukur kerana mereka mendapat peluang untuk menerima Sakramen Ekaristi dan Pertobatan pada tahun ini.
Sebelum Misa Kudus bermula, kesemua mereka telah menjalani pengakuan dosa secara individu di hadapan paderi.
Selain ibubapa, turut hadir dalam upacara itu ialah para pembimbing.