Paderi Paroki Fr Edward Raymond memberi sakramen pengakuan cara pandu lalu di salah satu khemah yang disediakan di luar bangunan gereja
Oleh Erica Egtopen
Dis 18 2020
TUARAN – Dalam sejarah, disebabkan Pandemik COVID 19 pada masa ini yang belum redah penularannya di seluruh dunia, Negeri Sabah tidak terkecuali dengan wabak ini malah semakin meningkat jangkitannya pada setiap hari.
Walaubagaimanapun, keadaan ini bukanlah penghalang bagi Paroki Tuaran untuk menjalankan aktiviti di Gereja dan yang penting sekali haruslah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM.
Sepanjang Minggu Adven ini, Paroki St John telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Sakramen Pengakuan yang dibuat secara ‘Pandu Lalu’, untuk memberi peluang kepada seluruh umat di Paroki Tuaran membuat pengakuan.
Sakramen Pengakuan Pandu Lalu ini telah dimulakan sejak 30 Nov 2020 sehingga 22 Dis 2020. diadakan pada setiap hari iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Umat boleh datang buat pengakuan mengikut masa kesesuaian mereka dan perlu mendaftar nama terlebih dahulu sebelum datang membuat pengakuan.
Setiap hari ada tiga sesi dijadualkan untuk pengakuan iaitu sesi pertama pada jam 8.30-10.00 pagi, sesi kedua jam 10.30 pagi – 12.00 tengahari dan sesi ketiga jam 2.30 – 4.00 petang, yang dijalankan oleh Fr Edward Raymond, Fr Abel Madisang dan Fr Rhobby Mojolou.