Barisan hadapan menentang coronavirus
By DOSPO
Jun 3 2020
Menjadi barisan hadapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah perkara yang tidak mudah dan menakutkan bagi sesetengah orang. Menjadi barisan hadapan bermaksud melepaskan kepentingan diri untuk berkhidmat atau melayani orang lain semasa tempoh pandemik yang sukar.
Apa yang sebenarnya berlaku di dalam hati sanubari seorang individu yang bekerja di barisan hadapan, menentang novel coronavirus? Setiap mereka mempunyai cerita tersendiri tentang bagaimana mereka telah menjadi duta kecil Yesus sepanjang PKP.
Chelsea Anselmus Bungkak berasal dari Kg Notoruss, Penampang, sudah berkhidmat selama enam tahun sebagai seorang jururawat. Dia juga merupakan seorang ibu dan mempunyai seorang anak berusia lebih satu tahun.
“Kami diwajibkan hadir bertugas oleh pihak Kementerian Kesihatan, perasaan takut itu memang ada. Tetapi, ini adalah salah satu cabaran yang perlu saya hadapi apabila bergelar sebagai seorang jururawat.
“Perkara yang paling mencabar ketika bertugas semasa PKP adalah apabila tiba masa untuk merawat pesakit. Meskipun saya sudah memakai alat perlindungan diri yang lengkap semasa merawat pesakit, namun risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 itu tetap ada.
“Perkara yang paling menyentuh bagi saya di sepanjang PKP ini, adalah apabila seorang pesakit yang tinggal jauh sanggup berjalan kaki dari rumah ke pusat rawatan sebab tiada kenderaan untuk dinaiki bagi mendapatkan rawatan.
“Ada jaga pesakit yang kehilangan punca pendapatan dan terpaksa meminjam wang dari orang lain semata-mata ingin mendapatkan rawatan di pusat rawatan. Mereka sanggup datang mendapatkan rawatan walaupun amat terkesan dalam musim PKP ini.
“Sehingga ke hari ini, perkara yang saya amat bersyukur adalah diberikan kesihatan yang baik untuk memberi rawatan kepada pesakit dan balik ke rumah untuk bertemu dengan keluarga selepas pulang dari kerja.”
Valentine Tony atau lebih dikenali sebagai Ojoe berasal dari Telupid, berbangsa campuran Dusun Labuk dan Dusun Liwan (Ranau dan Tambunan).
Dia menyediakan perkhidmatan charter/runner dan sudah melakukannya hampir setahun di Telupid. Sebelum ini dia aktif sebagai seorang juruacara Majlis sekitar Sabah namun terpaksa dihentikan seketika akibat pandemik ini.
“Masa PKP diumumkan rasa takut jugalah. Sebab tahun ini sudah ramai yang booking saya untuk menjadi emcee majlis perkahwinan mereka. Ada yang dari Lahad Datu, Sandakan, Tawau, Ranau, Kota Kinabalu, Telupid dan beberapa tempat lagi. Saya menjadi bingung dan sedih sebab hilang pendapatan. Terfikir juga mahu buat runner tapi bolehkah ber-runner sekarang? Tengok SOP dan sekatan jalan raya yang ketat pada masa itu, saya segera minta nasihat dari kawan polis dan petugas-petugas frontliners di PKOB Daerah (Pusat Kawalan Operasi Bencana). Syukur kerana dibenarkan juga (menjadi runner).
“Perasaan takut memang ada. Apatah lagi bila saya lihat masih ramai orang tidak peka dan buat endah tak endah tentang isu COVID-19 ini. Keluar-masuk kereta tidak pakai mask dan sanitizer. Tapi saya teruskan juga, lawan perasan sebab saya tidak ada pendapatan lain. Saya tidak tinggal sama keluarga, saya tinggal sendiri dan sewa tempat tinggal sendiri. Kalau saya tidak buat apa-apa, saya mahu makan apa?
“Bagi saya yang paling mencabar adalah sikap orang sekeliling. Ramai yang masih tidak patuh dengan arahan pihak yang berkawal untuk menjaga daerah. Seram tengkuk kadang-kala melihat masih ada yang relaks pulang kampung jalan ramai-ramai. Bila ada kes kena tangkap baru mahu diam.
“Ada juga pelanggan yang marah sebab pesanan mereka lambat sampai walaupun sudah beberapa kali saya jelaskan tentang PKP yang masih ketat. Kos menjadi runner pun ada, biarpun minyak turun mendadak tapi permintaan untuk runner sangat tinggi. Jadi hampir setiap minggu saya perlu membeli face mask dan sanitizer. Kadang-kala dapat murah, kadang-kala, aduh, harga tiga kali ganda. Tapi terpaksa, sebab sangat perlu.
“Cabaran lain, sudah tentu tenaga. Setiap hari bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 6.00 petang, saya tidak berhenti bergerak ambil dan hantar barang serta beli barang. Saya tidak pernah terlepas untuk tolong orang beli barang dapur. Ini pun cabaran juga.
“Bayangkan kalau senarai barang penuh satu lembar, dan ada jenama spesifik yang dia mahu. Kalau yang boleh tolak ansur, okay sikit, tapi kalau memang jenis teguh pendirian, saya pusing satu pekan cari sampai jumpa jenama barang itu.
“Masa PKP ini, ada badan-badan NGO dan individu-individu yang bermurah hati menyalurkan bantuan untuk keluarga-keluarga yang putus pendapatan. Selalunya mereka meminta saya membeli barang-barang keperluan untuk mereka ini.
“Keluarga pertama yang saya hantar bantuan, secara jujur saya hampir menangis di hadapan mereka. Bayangkan, anak-anak kecil bertepuk-tepuk tangan nampak saya bawa plastik beg besar keluar dari kereta. Lepas memberi bantuan itu dan berbual sedikit, saya jalan masuk kereta. Sempat saya jenguk sekejap di rumah itu, wah melompat girang yang terlalu gembira mereka nampak makanan itu. Anaknya pegang tin sardin seperti dia pegang harta yang paling berharga.
Susan Petrus berasal dari Tambunan dan sudah bekerja di salah satu farmasi di Sandakan selama 1 tahun 5 bulan.
“Sebenarnya saya sangat takut untuk turun kerja sepanjang PKP ini. Namun apa yang membuatkan saya untuk terus bertugas adalah yang pertama sudah semestinya untuk menjalankan kewajipan saya sebagai staf, yang kedua adalah untuk membantu rakan sekerja saya. Sebab sejujurnya kami kekurangan staf.
“Tipulah sekiranya saya cakap tidak takut dengan keadaan ini. Lebih-lebih lagi bila ditugaskan di bahagian depan pintu untuk periksa suhu pelanggan sebelum masuk farmasi.
“Apa yang paling mencabar bagi saya masa itu adalah masa untuk pergi dan balik kerja. Saya terpaksa tempah perkhidmatan GRAB. Saya tidak tahu berapa orang yang sudah menaiki kereta tersebut dalam satu hari, dan saya tidak tahu sama ada orang itu sihat atau tidak. Sebab seperti yang sudah sedia maklum virus Covid-19 ini boleh melekat di mana-mana sahaja.
“Cabaran yang kedua semasa ditugaskan untuk periksa suhu badan pelanggan. Apabila mesin pemeriksaan suhu bermasalah, ini menyebabkan keadaan lambat sehingga ada pelanggan yang marah.
“Perkara yang paling menyentuh hati saya masa bertugas apabila ada pelanggan yang berumur lingkungan 70-an ke atas datang untuk membeli face mask. pelanggan ini tidak dibenarkan masuk hospital kerana tidak ada face mask, namun kebetulan pada masa itu pihak farmasi kehabisan stok. Keadaan ini telah membuat senior staf saya secara tidak kelihatan memberikan dia face mask yang sepatutnya disediakan untuk staf sahaja.
Clement Simeon Linus berasal dari Sandakan, kini berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama setahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
“Sebagai seorang jururawat, sudah semestinya tugas saya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan. Pertama sekali, perasaan takut memang ada terutama berhadapan dengan pesakit positif Covid-19, tetapi saya percaya dengan mengikuti SOP yang betul, semua akan berjalan lancar.
“Perkara yang paling mencabar bagi saya adalah apabila saya diarahkan untuk menjaga pesakit Covid-19 selama satu bulan. Di sini saya perlukan kekuatan mental dan fizikal. Saya perlu memakai full Personal Protection Equipment (PPE) selama 3-4 jam dan membuat saya rasa kepanasan. Selain itu ada juga segelintir pesakit yang degil tidak ‘self-quarantine’ sehingga menyebabkan pertambahan bilangan pesakit masuk ke wad.
“Meskipun banyak perkara yang mencabar namun saya tidak lupa akan perkara yang paling menyentuh hati saya iaitu apabila ada pesakit memberi ucapan terima kasih sebagai tanda memahami dan menghargai kerja yang dilakukan.
“Saya sangat gembira melihat pesakit yang berjaya sembuh dan discaj untuk kembali ke rumah masing-masing. Saya juga terharu melihat rakan sekerja saya yang bertungkus lumus dalam meneruskan tugas dan ada yang tidak dapat bersama dengan keluarga demi tanggungjawab di Hospital.
Daphney Vitalis berasal dari Ranau bertugas sebagai seorang jururawat sejak 2010 dan telah bertugas di sektor swasta dari 2010 sehingga 2013 dan kemudian bertugas di Hospital Duchess of Kent Sandakan dari 2013 sehingga sekarang.
“Sebagai seorang jururawat, adalah tanggungjawab saya untuk bekerja, berjuang dan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada seluruh lapisan masyarakat. Namun, sebagai seorang manusia biasa yang juga mempunyai ibu bapa, adik dan keluarga terdekat, perasaan risau dan takut itu tetap ada. Tipulah kalau saya tidak takut dengan situasi kita yang bahaya sekarang.
“Melihat ramai frontliner yang terkena jangkitan sehinggakan ada anggota kesihatan yang meninggal dunia akibat jangkitan virus ini, membuatkan saya bertambah takut dan tertanya bagaimana sekiranya saya sendiri terkena dengan penyakit ini.
“Perkara yang paling mencabar apabila saya dipilih untuk menyertai tim Covid-19 dalam jabatan saya. Perasaan risau, takut, tertekan, serba salah, beban kerja, tanggungjawab semuanya bercampur baur.
“Ada banyak perkara yang menyentuh hati saya yang bertugas di barisan hadapan semasa PKP. Antaranya, di tempat kerja, semangat kerja berpasukan yang tinggi walaupun ada antara rakan-rakan yang terpaksa meninggalkan anak dan suami di rumah, ada yang sedang mengandung malah ada yang kurang sihat tapi tetap datang bekerja.
“Pesakit di wad Covid-19 yang tidak kenal antara satu sama lain, menjadi ‘keluarga’ sementara dikuarantin. Mereka berdoa, makan bersama-sama dan masih mampu tersenyum walaupun berada di wad.
Airene A. Gumanas @ Anne berasal dari Sandakan, mendapat pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta dalam jurusan Sains Komputer dan Perniagaan. Tahun ini merupakan tahun ke-10 dia bertugas di Paroki Katedral St Mary’s Sandakan dan sepanjang PKP, dia tetap turun bekerja.
“Kalau boleh, saya mahu ‘stay at home’ sahaja. Namun, ada tugasan dan pelayanan yang perlu saya jalankan. Berbekal dengan doa, harapan dan fikiran positif, saya kuatkan hati dan semangat, percaya Tuhan Yesus menyertai dan melindungi saya dari segala bahaya terutama sekali ‘musuh yang tidak kelihatan’ ini.
“Sepanjang tempoh PKP/PKPB, rumah ibadat pada ketika ini ditutup bagi umat awam. Oleh itu, tidak ada Misa Kudus mahupun aktiviti kerohanian dijalankan. Perasaan ketika mengikuti ‘Online Broadcast Mass’ buat pertama kali, sangat berbeza sekali jika dibandingkan dengan menghadiri Misa Kudus seperti sebelum PKP. Rindu mahu hadir ke Gereja dan menerima Tubuh Kristus. Suatu pengalaman dan perasaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
“Terdahulu, paderi paroki memaklumkan kepada saya bahawa saya dikehendaki untuk bersedia mengendali hal-hal teknikal ‘Online Broadcast Mass’ untuk ‘Easter Triduum’. Sesuatu yang baharu bagi saya. Hati saya berdebar dan risau, ‘Bolehkah saya lakukan ini?’
“Oleh sebab PKP, pergerakan yang amat terhad dan peralatan yang diperlukan tidak lengkap, saya merasa keseorangan pada masa itu dan sedikit ‘overwhelmed’. Setelah lama tidak mempraktikkan apa yang dipelajari, saya bermula dari kosong.
“Walaupun ‘bergelut’, saya bersyukur dan menghargai pengalaman ini. Saya amat bersyukur dan berterima kepada Tuhan kerana berkat dan rahmatNya, beberapa orang rakan saya, dekat dan jauh, banyak membantu membuat ‘setup’ sehinggalah ‘Online Broadcast Mass’ dapat dijalankan.
‘Setelah itu, satu lagi ‘mission impossible’ saya terima ialah ‘Listen Live’ Internet Radio Rohani Paroki; ini juga bermula dari kosong. Proses penyediaan memakan masa hampir seminggu. Hampir berputus asa, namun atas dorongan dan kata-kata semangat daripada sahabat handai, semuanya dapat diatasi dengan baik.
Baca penuh: https://newsupdatedospo.blogspot.com/2020/05/menjadi-duta-duta-kecil-yesus-semasa.html