Sumbangan amal kasih kepada warga tua oleh Komiti Katekis Kuala Penyu, Simon Masusih kiri
KOMSOS Kuala Penyu
Jun 2 2020
KUALA PENYU – Komiti Katekis Paroki Kuala Penyu telah menjalankan aktiviti amal bantuan keperluan asas pada 31 Mei – 1 Jun, kepada 40 keluarga yang telah dikenalpasti di sini, antaranya umat yang lumpuh, buta, warga emas yang tidak boleh bekerja lagi dan ibu-ibu tunggal yang mempunyai ramai anak.
Wabak coronavirus yang melanda seluruh dunia telah memberi impak negatif kepada kehidupan manusia tidak kira bangsa atau agama. Penularan virus yang tidak dapat dilihat ini memaksa negara kita mengambil langkah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian tersebut.
Malangnya dalam usaha kita mencegah penularan virus tersebut, sedar tidak sedar, sebilangan masyarakat kita kehilangan punca pendapatan dan kekurangan keperluan asas yang diperlukan.
Menyedari akan masalah tersebut ini, harapan komiti ini agar sumbangan yang diberikan oleh umat setempat sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah yang dihadapi oleh umat yang sangat memerlukannya.
Sumbangan kasih yang diberi adalah barang keperluan seperti beras, gula, kopi, susu, roti, minyak makan, mee Maggie, kicap, cuka, sos, perisa makanan dan kopi 3 dalam 1.
Penghantaran tersebut diketuai oleh Pengerusi Komiti Katekis Paroki Kuala Penyu, Simon Masusih dan disertai oleh Kat Fred Judin Tanggulon, Kat Edward Ukau, Kat Margaret Pan, Kat Patricia Petrus, Kat Rojer Kimsiong dan Kat Remejius Jissim Useh.
“Apa yang penting dalam Komiti Katekis ialah Aktiviti Amal Covid-19 merupakan satu bentuk pelayanan yang suci, jujur dan dengan keikhlasan hati. Semoga Tuhan memberkati pelayanan ini,” kata Simon.
Terima kasih juga kepada semua ahli Komiti Katekis Paroki Kuala Penyu yang telah memberikan sumbangan kasih semasa PKPB.