Atas: Uskup Agung John Wong dan Fr Rusell Lawrine bersama penerima Krisma yang baru selepas Misa Kudus di Gereja St Paul Dontozidon. Bawah: Uskup Agung bersama Fr Sunny Chung bersama penerima Krisma Our Lady Queen of Peace, Kobusak dan St John The Baptist Kopungit.
Oleh Nelson Fernandez / CS
Nov 28 2020
DONTOZIDON – Uskup Agung John Wong berkata setelah menerima Sakramen Penguatan, para calon yang terdiri daripada golongan belia harus merenung cabaran hidup masa kini iaitu diri sendiri, hubungan dengan keluarga dan media sosial.
Dia berkata ini kepada 43 penerima Sakramen Penguatan di Paroki St Paul Dontozidon pada Misa Kudus 24 Nov, dan dibantu oleh paderi pembantu Fr Russel Lawrine.
Kemudian kepada 27 calon dari Gereja OLQP Kobusak dan St John Kopungit pada Misa Kudus 25 Nov di Gereja Our Lady Queen Of Peace, Kobusak dengan paderi pembantu Fr Sunny Chung.
Uskup Agung bertanya samada para calon sudah cukup bersedia apabila berada di luar yang penuh dengan cabaran dan dugaan di mana mereka bebas melakukan sesuatu perkara. Adakah mereka menghormati dan mendengar ibu bapa mereka dan melakukan perkara yang baik, dan adakah mereka dapat menangani masalah media sosial yang sering kali menjadi penghalang nombor satu?
Prelatus juga berkata kepada para belia bahawa mereka dicabar untuk menyahut panggilan Tuhan menjadi seorang religius iaitu samada paderi atau sister.
Sebagai persediaan peribadi sebelum menerima sakramen ini, semua calon telah mengikuti pengakuan di Katedral Hati Kudus pada minggu sebelumnya 16 Nov. Kemudian mereka mengikuti sesi Rekoleksi di gereja masing-masing pada 22 Nov yang disediakan oleh Komiti Kateketikal Paroki. Sr Dariah Ajap dari Komisi Kateketikal Keuskupan Agung mengendalikan sesi rekoleksi di St Paul Dontozidon dan Sr Martina James di Our Lady Queen of Peace Kobusak.
Komuni Suci Pertama
Fr Sunny Chung memberikan Komuni Suci Pertama kepada calon di Katedral Hati Kudus
Sementara itu, seramai 73 penerima calon Komuni Suci Pertama (KSP) Paroki St Paul Dontozidon telah menerima Sakramen Ekarisiti pada 24-25 Nov di Gereja Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu.
Perayaan tersebut dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil bagi mematuhi syarat SOP yang telah disediakan. Sebelum Misa Kudus bermula, semua calon Komuni telah mengikuti sakramen Pengakuan pada hari yang sama.
Fr Sunny Chung merayakan Misa Kudus pada 24 Nov jam 10.00 pagi, Fr Joshua Liew merayakan Misa pada jam 11.00 pagi manakala Fr Rusell Lawrine merayakan Misa pada 25 Nov jam 10.00 pagi. Di dalam homili anak-anak tersebut diingatkan tentang apa yang mereka akan terima dan tujuannya.