Oleh Herald Malaysia
Oct 31 2020
Setelah mendapat khabar pemergian Kardinal Anthony Soter, 88, Sri Paus Fransiskus mengungkapkan rasa dukacita dan takziah melalui surat yang dialamat kepada Uskup Agung Julian Leow Beng Kim, Uskup Agung Kuala Lumpur dan kepada para klerus, religius, umat awam Keuskupan Agung Kuala Lumpur. Dalam suratnya, Sri Paus berdoa agar roh Kardinal Soter bersemadi dengan tenang.
KUALA LUMPUR – Setelah mendapat khabar pemergian Kardinal Anthony Soter, 88, Sri Paus Fransiskus mengungkapkan rasa dukacita dan takziah melalui surat yang dialamat kepada Uskup Agung Julian Leow Beng Kim, Uskup Agung Kuala Lumpur dan kepada para klerus, religius, umat awam Keuskupan Agung Kuala Lumpur. Dalam suratnya, Sri Paus berdoa agar roh Kardinal Soter bersemadi dengan tenang.
Beliau juga menyatakan penghargaan di atas “ketaatannya sebagai saksi Khabar Gembira, kemurahan hatinya dalam pelayanan di Gereja Malaysia serta komitmennya yang tidak kenal lelah dalam mempromosi ekumenisme serta dialog antara agama.
Pada akhir suratnya, Sri Paus memberikan Berkat Apostoliknya sebagai penghiburan dan damai Yesus Kristus kepada semua yang berdukacita di atas pemergian Kardinal Soter.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Kardinal Soter yang meninggal pada hari Rabu, 28 Oktober 2020.
Istana Negara menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada keluarga, insan tersayang dan komuniti Katolik serta berharap mereka bersabar dan kuat menghadapi masa sukar serta menyedihkan itu.
“Seri Paduka Baginda mengiktiraf legasi dan sumbangan Fernandez sepanjang perkhidmatannya kepada negara dan rakyat Malaysia. “Pemergian mendiang satu kerugian besar bagi masyarakat Roman Katolik dan negara,” kata hantaran tersebut.
Semasa menjadi Uskup Pulau Pinang dan kemudiannya sebagai Uskup Agung Kuala Lumpur, Soter dikenali sebagai pembela hak manusia dan sangat cergas dalam mempromosi dialog antara agama.
Mendiang juga merupakan uskup pertama di Malaysia yang menggunakan moto episkopal dalam Bahasa Malaysia, ‘Keadilan dan Keamanan’ (Justice and Peace).
Kardinal Soter disahkan menghidap barah lidah pada tahun 2019 dan menerima rawatan paliatif di Rumah Warga Emas St Francis Xavier. – Herald Malaysia