Pertemuan ‘Welcoming Junior Gathering’ (WJG) CSF UMS Sandakan secara online melalui Google Meet pada 24 Okt
Oleh Corey Felino Henry
Okt 29, 2020
SANDAKAN – Catholic Student Family (CSF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan telah mengadakan program ‘Welcoming Junior Gathering’ (WJG) pada 24 Okt yang lalu melalui aplikasi online Google Meet dengan tema “Young man, I say to you arise!” Lukas 7:14.
Program ini bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan pelajar Katolik yang baru sahaja masuk ke UMS cawangan Sandakan untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat ijazah.
Seramai 29 orang pelajar telah menyertai termasuk beberapa jemputan khas iaitu Sr Rusiah Garuk fsic, Fettwinda Sipaan, Herry Kamuntah dan Corey Felino Henry dari Diocesan Youth Apostolate. Christopher Aban dari Sandakan Parish Youth Apostolate dan Janarius Majin, wakil dari Gereja St Petrus, Sungai Manila. Seramai lima pelajar baharu telah mengikuti pertemuan ini manakala selebihnya merupakan pelajar yang sudah menuntut di kampus. Turut serta dalam WJG adalah alumni UMS.
Program dimulakan pada jam 8.00 malam dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Bellericter dan disusuli dengan ucapan alu-aluan dan pengenalan ahli CSF sesi 2019/2020.
Pengenalan dan sejarah penubuhan CSF UMS Sandakan diberikan oleh Macarius Sading, Presiden CSF, kemudian ucapan dari jemputan khas; Sr Rusiah, Christopher Aban dan Janarius Majin.
Aktiviti ‘Ice breaking’ telah difasilitasi oleh Voney Sinton dan Elvian Edmund dengan tujuan untuk berkenalan dengan pelajar baharu dan para jemputan. Acara diteruskan dengan sesi perkongsian daripada pelajar kampus UMS dan alumni UMS dan seterusnya sesi soal jawab untuk pelajar-pelajar baharu.
Di dalam ucapannya di akhir program, Macarius Sading menggalakkan pelajar baharu agar menyerlahkan dan meneroka potensi serta bakat dalam diri mereka agar bakat-bakat ini dapat digunakan untuk melayani Tuhan. Program WJG berakhir pada jam 10.15 malam dengan doa penutup pimpinan Ferudelin Lanus.
Semoga melalui program ini, pelajar-pelajar kampus khususnya di UMS cawangan Sandakan akan dapat meneruskan pertemuan seumpama ini agar semangat dan kesatuan komuniti pelajar kampus khususnya umat Katolik dapat terus disegarkan dan saling menyokong antara satu dengan yang lain.