
Oleh Alicia Dora Paul
ADRIAN EDY SIAW CHEE HUA atau lebih senang membahasakan dirinya Edy ialah belia yang berasal dari Papar, Sabah. Walaupun dalam usianya yang masih muda, namun dunia sukarelawan sudah menjadi tidak asing lagi dalam kehidupan seharian.
Menurut Edy, kumpulan sukarelawan mereka tidaklah ramai, cuma ada dalam 10 orang sahaja di kalangan rakan-rakan sekolahnya dan kawan bermain bola. Sikapnya yang pemurah dan suka membantu wajar dijadikan contoh dan teladan. Berikut adalah perkongsian yang dikongsikan oleh Edy bersama Catholic Sabah.
CS: Bagaimanakah Edy boleh terlibat dengan aktiviti sukarelawan dan bantuan kemanusiaan?
Saya memulakan misi bantuan kemanusiaan sejak tahun 2020 lagi semasa dunia dilanda pandemik Covid-19. Pada masa itu, tiba-tiba hati saya tergerak untuk membantu orang. Mungkin Tuhan membukakan pintu hati saya untuk aktiviti sukarelawan. Sebelum pandemik, saya memang tidak pernah terlibat dengan apa-apa misi kebajikan. Malah, sewaktu zaman persekolahan pun saya tidak pernah bersedekah.
Oleh sebab itu, saya rasa bahawa panggilan untuk membantu orang adalah “phone call” dari Tuhan yang mahu saya melakukan kerja-kerja amal kepada masyarakat. Mukjizat yang Tuhan berikan kepada saya telah mengubah kehidupan saya 360 darjah. Dahulu, saya terlalu mengejar kebahagiaan duniawi namun kini saya lebih fokus untuk persiapan diri sendiri untuk akhirat nanti.
Apakah faktor yang mendorong Edy untuk meneruskan misi bantuan itu sehingga kini?
Mungkin sebab sudah menjadi rutin saya untuk keluar membantu orang dan ramai yang memberikan sokongan untuk misi bantuan kemanusiaan itu. Maka saya kena teruskan misi itu sampai bila-bila sebab di luar sana ramai lagi mereka yang susah dan perlu dibantu. Dalam masa yang sama, saya berharap agar lebih ramai orang yang nampak perjalanan misi bantuan itu dan akhirnya akan memulakan misi bantuan kemanusiaan mereka juga.
Bagaimana penerimaan keluarga dengan penglibatan Edy dalam kerja-kerja bantuan itu?
Keluarga menerima dan memberi sokongan yang sangat baik. Namun, perasaan risau terhadap keselamatan dan kesihatan saya sentiasa ada. Contohnya semasa pandemik Covid-19, keluarga risau saya akan terjangkit virus. Selain daripada itu, sekiranya saya melakukan kerja amal di tempat yang jauh dan berbahaya, mereka pasti gelisah. Tetapi saya cuma berfikir akan satu perkara sahaja. Bila niat kita baik, Tuhan pasti akan permudahkan dan sentiasa menjaga kita walau di mana pun berada. Kita kena yakin dengan kuasa Tuhan.
Pada pendapat Edy, bagaimanakah misi bantuan kemanusiaan itu boleh dikaitkan dengan pertumbuhan iman sebagai seorang belia Katolik?
Semasa membantu mereka yang memerlukan, secara tidak langsung mengajar saya untuk bersyukur kepada Tuhan. Bila tengok kehidupan mereka yang susah, saya merasakan bahawa kehidupan saya cukup baik dari mereka dan perkara itu mendekatkan diri saya dengan Tuhan. Saya selalu berfikir bahawa apa yang terjadi dalam kehidupan kita semuanya rencana Tuhan. Apa yang kita makan setiap hari pun semua melalui rahmat yang Tuhan berikan. Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa semua yang kita ada di dunia ini hanyalah pinjaman dari Tuhan. Saya rasa mungkin Tuhan beri saya sedikit kelebihan dan peluang untuk buat misi bantuan kemanusiaan itu dan saya akan teruskan selagi termampu.
Apakah cabaran sebagai seorang sukarelawan?
Cabaran itu bagi saya tidaklah sebesar mana dan tidak pernah juga rasa mahu berputus asa sebab kita buat benda yang kita suka dan untuk pelayanan kita. Sudah tentu apa yang kita buat di dunia semua ada ujian dan rintangan, sekecilkecil perkara yang kita buat pun kadangkadang ada halangan juga. Mungkin itu cara Tuhan mahu tengok kita berusaha.
Kalau mahu bercakap soal penat, saya boleh katakan bahawa membuat aktiviti amal dan sukarelawan memang memenatkan. Tetapi saya fikir kalau kita penat, selepas tidur dan berehat esoknya kita bangun badan sudah terasa segar kembali. Namun kenangan semasa melakukan misi bantuan itu mungkin tidak akan berulang lagi. Saya selalu berfikir bahawa orang susah di luar sana mungkin setiap hari berdoa meminta bantuan sama Tuhan, maka Tuhan menjawab doa orang tersebut melalui kita untuk membantu mereka.
Apa pesanan Edy kepada belia Katolik, mungkin ada yang berbesar hati untuk membantu tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula?
Bila kita ada niat untuk membantu mereka yang memerlukan, teruskan sahaja niat itu. Anggap itu sebagai mukjizat daripada Tuhan sebab bukan semua orang berpeluang untuk membuat kerja-kerja kebajikan. Bila kita membantu, ia bukan soal berapa besar, berapa banyak yang kita berikan tetapi tentang nilai kemanusiaan dan prihatin yang ada dalam diri kita. Teruskan pelayanan sebab itu adalah yang dituntut dalam agama kita.
Apakah harapan Edy untuk masa akan datang?
Harapan saya adalah agar lebih ramai lagi golongan susah yang dapat dibantu di masa akan datang, tidak kiralah di Sabah, Sarawak atau di mana-mana sahaja. Seterusnya saya berharap ramai yang akan terus memberikan sokongan kepada misi ini, sama ada dari segi sumbangan ataupun doa. Terima kasih kepada yang telah menyumbang sehingga ke hari ini.
Yang terakhir, semoga lebih ramai lagi individu yang melibatkan diri dalam misi bantuan ini, tidak kira sama ada sumbangan kecil atau besar, ingatlah bahawa mungkin bagi kita sumbangan itu kecil sahaja, tapi bagi mereka yang memerlukan, besar maknanya.