
Oleh Sr Maria Thomas, FSIC & ES
TOBOH, Tambunan – Bertemakan “Kristus Misi Kita” dalam Iman, Harapan dan Kasih (1Kor 13:13) Kem Santo Tarsisius-2 (KST-2 ) dihadiri seramai 925 putera puteri altar dari seluruh Keuskupan Keningau pada 20-23 Jan 2025 di Paroki Holy Cross Toboh Tambunan yang merupakan tuan rumah bagi program tersebut.
Kem Santo Tarsisius-2 yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020 di Paroki yang sama, terpaksa ditangguhkan kerana berlakunya penularan Covid-19.
Kem itu dianjurkan oleh Tim Pelayanan Pelayan Altar Keuskupan di bawah naungan Komisi Liturgi Keusukupan Keningau di mana Fr Ronnie Luni sebagai pembimbing rohani dan Sr Maria Thomas, FSIC sebagai koordinator KST-2.
Objektif program itu adalah untuk mengumpulkan bersama semua pelayan altar dari sembilan paroki dan satu mission di Keuskupan Keningau, untuk pemantapan iman, agar mereka dapat terus bertumbuh di dalam iman, harapan dan kasih dalam melayani Yesus dan sesama serta mencungkil talenta mereka dalam persembahan yang diadakan pada malam fiesta Santo Tarsisius juga menerapkan sikap berkerjasama dalam tim dan sesama.
Semasa Misa Kudus penutupan KST-2, Uskup Cornelius Piong dalam homilinya, mengungkapkan rasa syukur kepada Tuhan kerana diberi kesempatan dapat bertemu melalui program itu.
Uskup juga menceritakan pengalaman masa lalunya melayani sebagai pelayan altar pada usia 14 tahun di St Michael, Penampang dalam Misa Kudus bahasa Latin merupakan satu kesempatan yang bermakna bagi dia kerana, melalui pengalaman itulah yang membantu dia sehingga pada masa ini.
Dia berpesan kepada para peserta untuk tidak mengabaikan atau mensia-siakan kesempatan baik yang boleh membantu mereka membangun hubungan dengan Yesus dan mengimani Dia tidak kira melalui pelayan altar atau apapun aktiviti pelayanan yang belia boleh implikasikan.
Uskup berharap agar para peserta juga dapat terus bertumbuh di dalam iman, harapan dan kasih melalui pengalaman mereka sebagai pelayan altar.
“Saya harap melalui kem ini, membantu kamu bangga dengan identiti kamu sebagai murid-murid Yesus,” kata uskup mengakhiri homilinya pada hari itu.
Selesai Misa, mewakili tim penganjur KST-2, Sr Maria Thomas, FSIC menyampaikan pemberian kasih sebagai tanda penghargaan, kepada Uskup Cornelius diikuti dengan penyampaian pertandingan Selfie&Wefie KST-2 oleh Msgr Gilbert Lasius kepada para pemenang.
Seterusnya acara diteruskan dengan ucapan daripada Koordinator KST-2, Sr Maria Thomas, FSIC sebagai penutup tirai kem itu.
“Semoga kamu bukan sahaja mencipta memori indah bertemu dengan kawan-kawan baharu tetapi juga menemui Yesus di wajah-wajah peserta, penceramah,
pengiring mahupun penganjur dan rakan-rakan sekeliling sepanjang berlangsungnya KST-2 ini.
“Seterusnya, lebih mengenali siapakah santo Tarsisius dalam peribadi kamu dan membuka hati untuk mahu datang lebih dekat lagi kepada Yesus dan menjadi terang kepada sesama dan keluarga,” ucap Sr Maria kepada para peserta program itu.
Mewakili pihak penganjur, Sr Maria turut memohon maaf atas segala kekurangan dan kecacatan dalam penganjuran KST-2.
Kem Santo Tarsisius diadakan dalam tempoh sekali dalam tiga tahun. Kem Santo Tarsisius-3 akan diadakan di Paroki St Valentine Beaufort pada tahun 2027.