Oleh Herald Malaysia
SETELAH berminggu-minggu bergelut dengan rutin kampus yang padat, akhirnya pada cuti semester yang lalu membolehkan saya kembali ke kampung halaman yang terasa seperti oasis yang menenangkan. Setibanya di rumah, saya disambut hangat oleh ibu bapa yang senyumannya sehangat matahari pagi.
Pagi hari di kampung dimulai dengan suara ayam berkokok dan embun yang masih melekat di dedaunan.
Setelah sarapan, saya mengambil waktu sejenak untuk membaca Alkitab di bawah pohon rendang di halaman belakang. Salah satu ayat kegemaran saya, Mazmur 23:1, “Tuhan adalah gembalaku, takkan kekurangan aku,” mengingatkan saya akan kedamaian dan pemeliharaan Tuhan dalam setiap aspek kehidupan. Ayat ini memberikan ketenangan di tengah-tengah hiruk-pikuk rutin sehari-hari.
Selepas itu, saya membantu ibu bapa saya di ladang kelapa sawit. Kami berjalan bersama-sama sambil mendengar kicauan burung, dan merasakan sentuhan angin yang lembut.
Menuai kelapa sawit adalah aktiviti yang menyeronokkan. Setiap buah sawit yang jatuh ke dalam bakul terasa seperti hasil kerja keras yang memuaskan. Saya dan ayah bergilir-gilir mengangkat tandan sawit yang berat itu ke dalam troli, manakala ibu menyediakan makanan ringan untuk kami nikmati di antara waktu kerja.
Setiap kali saya rasa penat, saya teringat ayat yang saya baca pagi ini, dan ia memberi saya kekuatan baharu.
Pada sebelah petang, saya mengajak ayah memancing di sungai berhampiran rumah. Kami duduk di tebing, melempar mata kail, dan menunggu ikan datang. Bunyi gemersik air dan angin sepoi-sepoi membuatkan suasana sangat mendamaikan.
Kami bercakap tentang zaman kanak-kanak hingga harapan dan impian untuk masa depan. Tiba-tiba, saya merasakan tarikan kuat di hujung mata kail. Rupa-rupanya saya telah berjaya menangkap seekor ikan yang agak besar.
Wajah ayah saya berseri, bangga melihat kejayaan saya. Aktiviti memancing ini juga mengajar saya tentang kesabaran dan ketabahan, dua perkara yang sangat berharga dalam hidup.
Pada waktu petang, ibu memasak ikan yang kami tangkap. Aroma yang sedap menular ke seluruh rumah, mengundang perut yang lapar.
Kami makan malam bersama di meja makan yang ringkas tetapi hangat. Setiap suapan makanan membawa kenangan manis dan kesyukuran. Semasa makan malam, kami bercakap tentang rancangan untuk hari-hari seterusnya dan mengimbau kembali detik-detik indah kami bersama.
Selepas makan malam, kami duduk di beranda rumah sambil melihat bintang-bintang berkelip di langit malam, memberikan pemandangan yang tidak dapat ditemui di bandar. Kami berbual hingga larut malam, menikmati kebersamaan kami yang sudah jarang dapat bersama.
Cerita ayah dan ibu mengingatkan saya tentang kepentingan sentiasa bersyukur dan bergantung kepada Tuhan dalam segala hal.
Percutian kali ini mungkin tidak diisi dengan perjalanan jauh atau aktiviti glamour, tetapi bagi saya, membantu ibu bapa di kebun, menjemur padi, memancing dan sekadar meluangkan masa bersama keluarga adalah pengalaman yang tidak ternilai.
Di tengah-tengah kesibukan kampus, kenangan manis ini akan sentiasa menjadi sumber ketenangan dan inspirasi.
Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai kasih sayang dan kemesraan keluarga, dan menguatkan iman saya pada setiap langkah perjalanan hidup saya.
Bertnego Balaraman dari Mempawah, Kalimantan Barat, merupakan Mahasiswa Pendidikan Bahasa Inggeris di Universiti San Agustitinus Hippo, Indonesia. – Herald Malaysia