SAYA percaya Tuhan memanggil dengan pelbagai cara dalam perjalanan hidup saya. Namun, kesedaran Tuhan memanggil dengan cara istimewa melalui kehidupan religius perlu direnungi dan diamati dengan keterbukaan kepada kuasa Roh Kudus dan dengan penuh kebijaksanaan untuk mendengar kehendak Tuhan.
Saya lahir dalam keluarga yang sederhana dan beragama Katolik. Saya mempunyai 10 orang adik beradik (6 Lelaki dan 4 Perempuan) dan merupakan anak ke -7. Keinginan menyahut panggilan hidup religius bermula sewaktu saya tinggal di Hostel Mother of Divine Grace kerana menyambung sekolah di SM Arshad, Kota Belud. Bapa saya telah melakukan pilihan yang tepat dengan memberi saya cadangan untuk tinggal di asrama atas sebab memudahkan saya untuk ke sekolah.
Pelayanan yang diberikan oleh Sisters FSIC yang menjaga kami di asrama itu telah menyentuh kehidupan saya. Kesabaran, kelembutan dan juga ketegasan mereka terhadap penghuni-penghuni asrama telah membentuk peribadi saya dan mengubah cara saya melihat kehidupan saya berlandaskan cintakasih Kristus.
Saya berpendapat bahawa ramai remaja yang mengalami cabaran kehidupan seperti saya. Kehadiran Sisters FSIC yang menjadi tanda kehadiran Kristus untuk orang yang memerlukan membuatkan saya terpanggil untuk turut serta melakukan kehendak dan Misi Tuhan di dunia ini. Tuhan menanam benih cintakasih yang bukan saja dirasai tetapi untuk diberikan dan dikongsi bersama.
Pembentukan dalam kehidupan religius melalui FSIC dengan peluang-peluang yang diberikan membantu saya untuk lebih mendalami panggilan hidup saya. Pengalaman dalam pelayanan memberikan sukacita dan cabaran-cabaran yang dialami menguatkan apabila saya mengalami banyak campurtangan Tuhan. Namun, dalam melakukan misi Kristus saya menyedari kesombongan iman dan sikap kurang peduli merosakan hubungan sesama. Umat yang dilayani juga menyumbang dalam perkembangan iman dan kemahiran kerana keperluan mereka terhadap pendalaman iman mereka memberikan kesedaran untuk memperbaiki diri saya dalam meningkatkan mutu pelayanan.
Dalam memberikan hidup dan bakat dalam pelayanan saya, Santo Yohanes Pembaptis menyentuh hati saya dengan kerendahan hatinya. “Ia harus makin besar, tetapi aku harus makin kecil”. (Yoh 3:30). Saya bersyukur dan berterima kasih atas rahmat Tuhan dalam hidup saya.
Pelayanan tidak selalu manis, ada masanya sangat menyakitkan kerana banyaknya kelemahan dan kekurangan. Namun saya percaya ia tidak menghalang saya untuk menghidupi panggilan hidup saya, malah menjadikan iman saya semakin bertumbuh dan mengasihi Tuhan kerana Dia lebih mengasihiku dengan rahmat pengampunan. Dengan ini, semoga Tuhan lebih besar dan utama dalam hidup saya.
Kepada belia-belia di luar sana, jawablah panggilan untuk menjadi pelayan Tuhan, melayanilah dengan kepelbagaian. Tuhan memanggil dan aku jawab “Ya”!