Oleh Juanis Markus
KENINGAU – Uskup Cornelius Piong menegaskan bahawa Pelayan Liturgi Sabda Kanak-kanak (LSKK) mempunyai peranan penting kerana melalui bimbingan mereka, kerohanian kanak-kanak dapat dipersiapkan untuk menjadi ahli Gereja yang baik.
Kata-kata ini disampaikan oleh prelatus itu semasa menyampaikan homili semasa Misa Kudus Rekoleksi Tahunan LSKK pada Dis 14, di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal.
“Kanak-kanak yang mempunyai asas rohani yang teguh akan menjadikan mereka mampu menghadapi cabaran kehidupan dalam proses pembesaran mereka lebih-lebih lagi mereka adalah harapan untuk memimpin Gereja dan Keuskupan kita kelak,” kata Uskup Cornelius.
Bapa Uskup Cornelius juga berpesan kepada 434 pembimbing LSKK yang hadir bahawa mereka harus melayani dalam kesatuan kerana ia dapat membantu para pembimbing LSKK untuk bertahan dalam pelayanan yang semakin mencabar pada masa kini.
“Saban tahun dinamik pelayanan semakin mencabar, oleh sebab itu melayani dalam semangat kesatuan adalah sangat digalakkan.
“Tambahan pula, kesatuan dapat menjadi kesaksian konkrit kepada kanak-kanak yang dibimbing oleh anda semua,” kata Uskup Cornelius pada akhir homlinya.
Pada rekoleksi ini, Msgr Gilbert Lasius iaitu Pembimbing Rohani Komisi Liturgi Keuskupan Keningau turut menyampai sesi.
Antara isi penting yang disampaikan oleh Msgr Gilbert ialah bagaimana menghadapi pelbagai cabaran dalam pelayanan LSKK. Katanya,“Pada ketika ini, para pembimbing LSKK juga mungkin terlibat dua atau tiga pelayanan lain dalam Gereja.
“Walau apa pun pelayanan kita, para pembimbing LSKK harus memberi perhatian kepada perkara-perkara yang dapat menyalurkan rahmat Tuhan kepada sesama iaitu pelayanan Sabda, Sakramen, doa dan Gereja,” pesan Msgr Gilbert. Semasa Misa penutup rekoleksi, para pembimbing LSKK memperbaharui Janji Komitmen mereka untuk terus melayani demi kemuliaan Tuhan. – Herald Malaysia