Oleh Alicia Dora Paul, Catholic Sabah
KOTA KINABALU – Seramai 54 ahli Social Communication Committee (SOCCOM) dari 15 paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah menyertai Bengkel Asas Kewartawanan Untuk Wartawan Katolik bertempat di Pusat Katolik Keuskupan Agung Kota Kinabalu pada 31 Okt.
Menurut Sr Bibianah Thecla Densia fsp selaku ahli jawatankuasa penganjur, antara objektif utama bengkel itu adalah untuk memberi bimbingan kepada ahli SOCCOM tentang bagaimana untuk membuat liputan berita berkenaan aktiviti di paroki masing-masing, di samping menggilap potensi mereka dalam bidang penulisan. Melalui bengkel itu juga, SOCCOM berharap agar lebih ramai lagi ahlinya berkebolehan menulis dan menghantar berita ke Catholic Sabah untuk berkongsi khabar sukacita dari paroki mereka kepada ramai lagi pembaca di luar sana.
Program itu dimulakan dengan doa pembukaan dan lagu pujian yang dipimpin oleh Sr Bibianah Thecla Densia fsp.
Acara diteruskan dengan topik yang pertama iaitu pengenalan kepada peranan dan tugas SOCCOM di paroki yang disampaikan oleh Ruben Sario. Ruben berkata, SOCCOM di peringkat paroki memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan penglibatan komuniti Katolik di kawasan masing-masing dengan memastikan mereka mendapat maklumat yang jelas mengenai aktiviti, acara, dan ajaran Gereja. Secara keseluruhan, SOCCOM bertindak sebagai “suara” paroki, menghubungkan para umat, komuniti tempatan, dan Gereja yang lebih luas melalui komunikasi yang jelas, inklusif, dan berlandaskan iman.
Selepas itu, program diteruskan lagi kepada teknik penulisan berita yang disampaikan oleh Johannes Jimmy. Dalam sesi kedua, Johannes memberi pendedahan tentang bagaimana untuk menulis berita yang menarik dan mengolah cerita berasaskan teknik 5W (what, where, when, who dan why) dan 1H (how). Selain itu, peserta juga diperkenalkan kepada teknik penulisan berita berdasarkan piramid songsang. Melalui teknik itu, peserta dapat mempelajari bagaimana sesuatu berita dimulakan, dikembangkan sehingga kemuncak cerita dan juga kesimpulan sebagai penutup.
Bengkel penulisan berita mengakhiri acara pada waktu pagi di mana semua peserta diberikan satu senario dan diminta untuk menulis berita pendek berdasarkan maklumat yang disediakan. Kemudian, Ruben dan Johannes memberikan komen dan pendapat mereka berkenaan kesesuaian penggunaan perkataan, tatabahasa dan susunan struktur ayat yang digunakan oleh peserta.
Selepas rehat dan makan tengahari, sesi diteruskan dengan dua lagi topik iaitu Pengenalan Kepada Fotografi Berita yang disampaikan oleh William Charles Mindus, dan Teknik Asas Rakaman Video menggunakan telefon bimbit yang disampaikan oleh Teddy Forte. Dalam kedua-dua sesi ini, penceramah memberi penekanan kepada penggunaan telefon bimbit sebagai alat penting dalam dunia digital. Teddy berkata, kualiti dan nilai sesuatu gambar atau video bukan diukur pada lensa yang besar dan mahal, cukuplah sekiranya kita memiliki telefon yang ada kamera dan paling penting, kita mempunyai ilmu serta kemahiran.
Selain peserta diajar dengan teknik fotografi dan videografi yang betul, peserta juga diajar cara-cara mengedit video ringkas menggunakan aplikasi CapCut. Di akhir sesi, Ruben telah membekalkan peserta dengan dua kerja rumah iaitu, menulis berita mengenai persiapan Adven dan menghasilkan video berkenaan persiapan sambutan Krismas di paroki masing-masing.
Bengkel berakhir pada jam 4.30 petang. Ruben Sario menggantikan Msgr Nicholas Stephen telah menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta. Sebelum bersurai, peserta disajikan dengan kuih-muih di perkarangan dewan.