Oleh Alexander Dairus (SOCCOM Paroki KB)
KOTA BELUD – Seramai lapan kanak-kanak di bawah Zon Timbang dibaptis oleh Paderi paroki, Fr Jalius Sading sempena sambutan pesta penaung Chapel St Theresa of Avila, Kg Bungaliu, Kota Belud pada 13 OKt 2024. Pesta itu diraikan dua hari lebih awal selaras dengan jadual lawatan outstasi paderi.
Dalam homilinya, Fr Jalius menjelaskan maksud pembacaan Injil pada hari tersebut iaitu Mar 10:17-30 mengisahkan tentang orang kaya sukar masuk ke dalam kerajaan Allah. “Kebijaksanaan lebih penting daripada kekayaan dan segalanya di dunia ini”, ujar Fr Jalius. “Orang kaya yang bijaksana akan menggunakan kekayaannya untuk membantu orang lain. Sebaliknya, orang kaya yang kurang bijaksana akan menggunakan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri lalu menyebabkan ia sukar masuk syurga. Firman pada hari ini juga ditujukan kepada orang miskin. Tuhan Yesus tidak mengatakan orang miskin senang masuk syurga, tetapi orang miskin yang bijak akan melihat kemiskinannya untuk menjadikan dia rendah hati di hadapan Allah dan sesama. Sebaliknya, orang miskin yang tidak bijaksana akan melakukan hal-hal yang melanggar perintah Allah kerana terdesak dengan kemiskinannya. Hal ini juga, menyebabkan orang miskin sukar masuk syurga”, tegas beliau. Fr Jalius menasihati umat agar sentiasa bijaksana dengan tidak terlalu risau akan kehidupan kita di dunia, hidup sesuai dengan kemampuan serta jangan suka membandingkan diri sendiri dengan keupayaan orang lain.
Sebelum doa pengutusan, Eddy Bariu, Pengerusi Chapel dijemput untuk memberikan kata-kata aluan. Beliau berterima kasih kepada semua umat yang terlibat menjayakan Pesta Santa Penaung dan pembaptisan bayi. Eddy juga mengharapkan agar semua umat zon Timbang akan terus bersemangat dan bersatu hati melayani di ladang Tuhan. Fr Jalius juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penanggung kerana sudah menyerahkan anak mereka untuk dibaptis dalam gereja Katolik dan menyeru agar ibu bapa dan penanggung akan terus membimbing iman anak-anak sehingga dewasa.
Selesai upacara Misa Kudus, Fr Jalius memberkati aktiviti yang diadakan sempena hari tersebut seperti makan bersama secara pot-luck, mini fun-fair anjuran orang muda Katolik (OMK), acara cabutan tiket bertuah dan persembahan karaoke terbuka. Acara berlangsung dengan meriah walaupun dalam keadaan cuaca yang hujan pada sebelah petang.