Oleh Fredie Robinson, ACCKK
PACE BENE, Papar – Retret Katekis Pembimbing Diosis Agung Kota Kinabalu telah diadakan pada 30 Ogos sehingga 1 Sep 2024 di Pusat Retret Pace Bene, Papar.
Syukur kepada Tuhan, atas berkat dan rahmatNya, para Ahli Jawatankuasa (AJK) Tertinggi Komiti Kateketikal telah mengorbankan masa dan cuti umum untuk bersama-sama dengan Tuhan sekali lagi mengimbas kembali panggilan asal kami sebagai Katekis Pembimbing termasuk yang lama dan baru.
Tujuan utama retret tahunan ini diadakan adalah untuk memberikan ruang bagi para Katekis Pembimbing berkumpul bersama sebagai satu keluarga untuk merenungi semula dan melalui pembentukan rohani disamping menguatkan tujuan dan misi panggilan kami selaras dengan panggilan pembaptisan kita untuk ‘menggemakan’ Khabar Gembira dan Keselamatan seluruh umat Kristian dan mereka yang inginkan penyelamatan melalui Tuhan Yesus Kristus.
Retret tiga hari itu dianjurkan oleh pihak Komisi Katekekital Diosis Agung Kota Kinabalu yang diketuai oleh pengerusi, Sr Dariah Ajap dan di bawah bimbingan penasihat rohani Fr Erik Jerome, dihadiri oleh 109 peserta yang merupakan pewakilan AJK Tertinggi Komiti Kateketikal semua paroki Diosis Agung Kota Kinabalu.
Pemimpin Retret (Retreat Master) adalah Fr Erik Jerome yang merupakan paderi paroki Kiulu juga pembimbing Rohani Komisi Kateketikal telah memberikan kandungan retret khusus untuk para pemimpin di kalangan pembimbing Katekis yang merangkumi enam aspek khususnya ciptaan Tuhan akan manusia menurut rupa dan gambar Tuhan, kerohanian dan sifat-sifat seorang pemimpin yang melayani memerlukan komitmen untuk berdoa, membaca Firman Tuhan, menerima Sakramen gereja dan takut akan Tuhan. Sesi-sesi yang diadakan cukup teliti walaupun bersifat santai dengan hiburan jenaka yang mengasyikkan oleh pemimpin retret, namun cukup kesungguhan dan renungan semasa sesi adorasi, rekonsiliasi dan ruangan antara sesi.
Kami sangat bersyukur kerana beroleh kesegaran dan suatu kenikmatan semasa retret, diinspirasi oleh rahmat Tuhan dalam pelayanan dan beriktibar untuk terus melayani walaupun akan melalui pelbagai cabaran yang menanti, sesuai dengan panggilan kami menjadi seorang katekis pembimbing. Kami berharap akan dapat menganjurkan sesi seumpama di peringkat daerah masing-masing melalui gabungan kluster paroki bagi mengongsikan segala yang kami lalui melalui retret di Pace Bene kepada para katekis pembimbing yang lain.