Oleh Genevee Hazel (Soccom Gereja St Mark) dan Macshamus Bilcher (Soccom Katedral St Mary)
SANDAKAN – Gereja St Mark mengadakan Pesta Gamatan pada 22-23 Jun 2024 sempena gabungan dua perayaan iaitu Kaamatan dan Gawai. Program itu diadakan mengikut visi dan misi gereja “komuniti berpusatkan Kristus, melayani sesama dengan kasih”.
Pesta Gamatan bermula pada 22 Jun 2024, dengan aktiviti Zumba bersama trainer, Jenny dan aktiviti funfair sebagai langkah mencari dana bagi pembangunan Gereja St Mark yang dikendalikan oleh Kerasulan Belia Katolik St Mark dan St Peter.
Seterusnya, acara kemuncak diadakan pada 23 Jun 2024 dengan perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Paderi Paroki Katedral St Mary, Fr Simon Kontou. Perarakan masuk Misa Kudus diiringi dengan persembahan tarian daripada etnik Timores.
Dalam homilinya, Fr Simon memberikan perumpamaan bahawa gereja merupakan bahtera di tengah laut bergelora dan umat yang berjalan bersama dalam hidup masyarakat, merupakan orang yang berada dalam bahtera terebut. Paderi itu juga mengatakan bahawa kehidupan manusia sama seperti kehidupan Yesus di mana ada badai, pergolakan yang membuatkan manusia jatuh. Namun, Sabda Tuhan memanggil kita untuk percaya dan berpegang teguh dalam ajaran Yesus dalam apa sahaja situasi kehidupan. Fr Simon juga menegaskan agar mereka terus berharap dan memohon kepada Tuhan apabila bedepan dengan masalah.
Selesai Misa Kudus, meneruskan aktiviti di dewan serbaguna gereja St Mark bagi acara pentas dimulakan dengan perarakan masuk Fr Simon Kontou, Fabian Koret, Pengerusi Komiti Pastoral, Hilary Henry, Pengerusi Pesta Gamatan, Jaikry @ Jack D Joseph, Timbalan Pengerusi Pesta Gamatan dan Dimeh Koyopo diiringi tarian etnik Sarawak. Mengetam padi dan menyumpit yang melambangkan etnik Sabah dan Sarawak diadakan bagi merasmikan Pesta Gamatan.
Fr Simon bersyukur kepada Tuhan yang memberkati kehidupan mereka semua dan berterima kasih kepada penderma yang bermurah hati serta berpesan agar mereka bergembira di dalam perayaan itu tanpa mengira latar belakang dan bangsa.
Hilary juga mengungkapkan rasa Syukur kepada Tuhan serta berterima kasih atas kesempatan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya selaku pengerusi pesta itu. Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang bermurah hati.
Pesta Gamatan diteruskan dengan pelbagai acara iaitu persembahan pentas daripada pelajar Sekolah Seni Malaysia Sabah (SSMS) dan etnik Sarawak, pertandingan Sugandoi Dazanak, cabutan tiket bertuah dan pertandingan Zandi Tavanus Gamatan 2024.
Pesta Gamatan St Mark 2024 diakhiri dengan doa penutup oleh Fr Simon Kontou dan gotong royong. – Dospo