Oleh GS
BUNDU TUHAN – Seiring dengan perjalanan Gereja Sinodal dan seruan pembaharuan komitmen rangkaian keluarga Katolik di Paroki Bundu Tuhan maka Komiti Kristian Dasar (KKD) pusat paroki telah menganjurkan program pembentukan dan pembaharuan semula KKD pada 18 Mei 2024 yang lalu. Seramai 100 orang dengan lima orang mewakili setiap pecahan 20 KKD di pusat paroki telah menyertai program itu. Program itu dirangka dan dilaksanakan sebagai satu daripada program susulan selepas perhimpunan paroki pada bulan Oktober 2023 lalu.
Paderi Paroki Fr Federick Raymond, menyatakan dengan jelas bahawa KKD bukan setakat mengurus majlis atau perayaan, makanan atau jamuan, berdoa rosary, membersih gereja, atau membuat persembahan pentas di gereja sahaja tetapi KKD lebih berperanan besar sebagai satu pertemuan yang berpusatkan Sabda Tuhan dan berkongsi untuk percambahan iman di kalangan komuniti kejiranan.
Melalui program ini, para peserta diberi penerangan tentang sejarah penubuhan dan tujuan penubuhan KKD yang bermula di Eropah pada tahun 1960 dan berkembang di Malaysia pada tahun 1976 melalui imbasan sejarah penubuhan KKD maka para peserta lebih memahami tujuan penubuhan dan peranan KKD dalam komuniti Katolik di paroki itu.
KKD merupakan perkumpulann keluarga Katolik untuk berdoa bersama, mendengar dan berkongsi Sabda Tuhan, melayani sesama serta melakukan penginjilan di kawasan kejiranan. Inti utama pertemuan KKD ialah berpusatkan Sabda Tuhan. Melalui program ini, semua peserta disarankan untuk menyeragamkan tatacara pertemuan dengan menggunakan kaedah doa 7-langkah.
Sehubungan dengan itu, Gabriel Singi dalam sesi yang disampaikan telah membimbing para peserta untuk mengendalikan doa 7-langkah. Setiap peserta melalui kumpulan kecil telah melalui bengkel singkat bagimana mengendalikan dan memimpin doa 7-langkah. Dalam program ini, telah dibuat ketetapan untuk menyeragamkan perjalanan Doa KKD 7-langkah bagi semua 20 KKD di pusat paroki.
Sesi soal-jawab di akhir program telah memberikan ruang kepada para peserta untuk mengutarakan segala kemusykilan untuk dijawab. Dalam perkongsian secara bertulis yang diberikan kepada penganjur, para peserta memberikan maklum balas yang sangat positif. Rata-rata memberikan maklum balas gembira kerana dapat mengetahui sejarah dan tujuan penubuhan KKD serta dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang perjalanan doa KKD 7-langkah.
Semoga KKD di pusat paroki Bundu Tuhan akan terus berperanan sebagai ‘platform’ untuk membangunkan kerohanian yang berpusatkan Sabda Tuhan demi perkembangan Kerajaan Tuhan di paroki ini sesuai dengan seruan gereja dalam tempoh perjalanan Gereja Sinodal.