Oleh Juanis Marcus
SOOK, Keningau– Hari Pentakosta menjadi amat bermakna bagi umat pada 19 Mei 2024, di KUK Gereja St Petrus, Kg Lanas, Sook apabila gereja tersebut turut diberkati sewaktu gereja Katolik menyambut kelahirannya.
Pemberkatan dilakukan melalui Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong dibantu oleh paderi paroki Gereja Roh Kudus, Sook, Fr Clement Abel dan Fr Paul Mikin yang datang dari Paroki St Peter, Bundu, Kuala Penyu. Gimik perasmian pula disempurnakan oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup.
Semasa homili, Uskup Cornelius mengungkapkan rasa syukurnya kerana gereja tersebut boleh diberkati. “Akhirnya gereja ini telah diberkati, dan umat di sini jangan lupa untuk berdoa kepada Roh Kudus, untuk berkarya dalam kehidupan kita sehari-hari, kerana Roh Kudus tidak pernah memaksa kita tetapi kitalah yang harus memohonnya.” Prelatus itu turut menambah bahawa umat di Kg Lanas dapat menikmati gereja yang lebih besar dan selesa pada hari ini kerana adanya individu-individu yang mempunyai sikap ambil peduli.
Semasa ucapan, Eble Duai selaku pengerusi pelaksana berterima kasih kepada Uskup Cornelius Piong kerana sudi memberkati Gereja St Petrus Faber, Lanas itu. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin awal atas sumbangan mereka untuk melengkapkan keperluan seperti kerusi, PA system dan sebagainya.
“Kepada Fr Paul Mikin, yang kita jemput jauh dari Kuala Penyu, jutaan terima kasih kepadanya kerana, paderi tersebutlah yang mengambil inisiatif awal mencari dana pembangunan Gereja St Petrus Faber ini. Sebagai tanda terima kasih kepada Fr Paul, kami telah bersetuju dalam peringkat kuk untuk menukar nama gereja ini kepada Gereja St Paul Miki,” tutup Eble Duai.
Gereja St Petrus, Kg Lanas ini terletak di bawah naungan Paroki Sook, dan mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan dari Pekan Kecil Sook. Ia mula dibina pada permulaan tahun 2023, dan siap sepenuhnya pada awal bulan Mei 2024.
Gereja yang berukuran 80 kaki Panjang, 50 kaki lebar ini pasti akan memberi keselesaan kepada umat untuk beribadat kelak.