Oleh Kimberly Tan, Parish Sosial Communications Ministry (SOCCOM)
SANDAKAN – Selama satu bulan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria berada di Katedral St Mary, Sandakan dan kini tiba masanya Salib Belia dan Ikon Bonda Maria dihantar ke Chapel St Petrus, Sungai Manila, Sandakan. Sr Noemi Mejia FSIC, Koordinator Belia Keuskupan Sandakan dan 12 orang belia Katedral St Mary telah bersama-sama dalam penghantaran Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria ini. Perjalanan dari Katedral ke Chapel St Petrus bermula jam 8:40 pagi selepas doa oleh Sr Noemi. Perjalanan ini mengambil masa 45 minit untuk sampai ke destinasi.
Acara bermula pada jam 9:30 pagi dengan tarian sumazau dari Belia Universiti Malaysia Sabah mengiringi kedatangan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria. Salib Belia dan Ikon Bonda Maria secara rasminya diserahkan kepada umat di Chapel St Petrus oleh Koordinator Parish Youth Apostolate, Michael Phoon kepada wakil ketua Belia St Petrus, Ajron Collin. Penyerahan itu disaksikan oleh seluruh umat di Chapel St Petrus dan juga wakil belia Katedral St Mary. Misa Kudus dirayakan oleh Uskup Julius Dusin Gitom pada jam 11.00 pagi.
Dalam homili, Uskup mengatakan kedatangan Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria di gereja ini sudah tentu membuat kita gembira lebih–lebih lagi bagi umat yang berada di gereja ini. Uskup mengajak semua umat untuk mengambil peluang merenung erti ‘Salib’ itu dalam kehidupan peribadi.
Acara diteruskan di dalam gereja St Petrus pada jam 1:30 petang dengan lagu puji-pujian, ucapan daripada Ketua Belia St Petrus, Ajron Collin, Koordinator Parish Youth Apostolate, Michael Phoon dan Koordinator Belia Keuskupan Sandakan, Sr Noemi Mejia, FSIC. Seterusnya sesi Ice breaking yang di ketuai oleh belia St Petrus. Sesi ini sangat meriah di mana ianya turut disertai bukan saja para belia tetapi para ibubapa yang hadir. Aktiviti penghantaran Salib Belia dan Ikon Bonda Maria selesai jam 3:30 petang dengan video ‘Kita Janji Jumpa di Keningau’. – Dospo