Oleh Winnie Jimis (CJCKK)
LIMBAHAU, Papar – Pada 26-27 April 2024, Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan telah menganjurkan bengkel untuk membincangkan Protokol Paroki Ekologi di di Paroki Holy Rosary, Limbahau, Papar. Seramai 52 wakil Komiti Keadilan Ciptaan Tuhan (KKCT) dari 15 Paroki di bawah keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Bengkel bermula dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Russell Lawrine, Penasihat Rohani, diikuti dengan sesi pengenalan dari wakil setiap paroki. Semasa perkongsian, ramai peserta mengkongsikan masalah yang mereka hadapi kerana mereka masih baru dalam pelayanan ini serta belum memahami sepenuhnya tanggungjawab dalam Komiti Keadilan Ciptaan Tuhan. Fr Russell dalam ucapan pembukaan memberi semangat kepada peserta untuk meneruskan pelayanan dalam mempromosikan dan menghidupi pesanan Bapa Suci Fransiskus dalam “Laudato Si” – menjaga rumah kita bersama.
Dalam sesi “Moving towards Ecological Parish”, Sr Calista Saliun menyampai isi penting dalam dokumen ‘Laudato Si’ yang ditandatangani oleh Bapa Suci Fransiskus pada tahun 2015, di mana Bapa Suci ingin surat Ensiklikal ini ditambah sebagai sebahagian daripada “Ajaran Sosial Gereja” untuk menangani krisis Perubahan Iklim yang memberi kesan buruk kepada makhluk Ciptaan Tuhan dan juga ancaman kepada orang-orang miskin. Sr Calista juga telah memaklumkan bahawa satu “Pledge” telah ditandatangani oleh semua uskup agung atau uskup di Malaysia pada 13 Julai 2023 untuk menjadikan semua Keuskupan di Malaysia sebagai Keuskupan Ekologi. Oleh yang demikian, objektif utama Bengkel adalah untuk membincangkan pelaksanaan protokol-protokol yang terkandung dalam pledge terutama sekali di peringkat paroki.
Dr Susan Pudin dalam sesinya memberi beberapa panduan menyenaraikan protokol-protokol dalam lima (5) bahagian iaitu Kepimpinan dalam Transformasi Ekologikal, Kerohanian Ekologi, Pendidikan Ekologi dan Integrasi, Membina Daya Tahan, Advokasi dan Ekologikal Akauntabiliti. Paroki boleh memilih aktiviti yang boleh dicapai di paroki masing masing dan mengikut keperluan.
Evangelisa Anna Anselimus, Pengerusi Komiti Keadilan Ciptaan Tuhan di Paroki Holy Rosary Limbahau seterusnya berkongsi tentang ‘Pelancaran Ecological Parish Protocols’ untuk Paroki Limbahau yang telah dilancarkan pada 4 Mei 2024. Perkongsian ini memberi gambaran aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan di paroki masing masing.
Selepas perkongsian, para peserta diberi masa untuk membincangkan dan menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di paroki masing masing sesuai dengan apa yang terkandung dalam protokol-protokol yang telah disediakan. Selepas perbincangan, setiap paroki telah membentangkan aktiviti-aktiviti yang mereka rancangkan dan akan laksanakan.
Dalam ucapan penutup, Sr Calista Soliun berterima kasih kepada semua perwakilan atas penglibatan aktif sepanjang bengkel berlangsung dan berharap agar mereka dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang di paroki mereka masing-masing untuk menuju ke arah Paroki Ekologi.