Uskup Cornelius Piong melaksanakan Ritus Pentahbisan Wilfred James menjadi dikon, 1 Okt di Dewan Dataran Keuskupan Keningau
Oleh An Richard, Komsos Keningau
5 Okt 2020

KENINGAU – Di kala pandemik, Tuhan masih memberkati apabila Keuskupan Keningau telah sama-sama bersukacita menyaksikan Wilfred James ditahbis menjadi dikon pada 1 Oktober lalu.
Ritus pentahbisan yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong telah diadakan di Dewan Dataran Keuskupan Keningau dengan hadirin sejumlah 500 umat dan dengan pematuhan SOP.
Disebabkan kehadiran umat adalah terhad, pentahbisan yang dijalankan pada musim PKPB ini turut disiarkan secara langsung melalui Youtube rasmi Keuskupan Keningau yang dilaksanakan oleh KOMSOS keuskupan.
“Kita berkumpul pada hari ini adalah sebagai tanda kita memberikan sokongan untuk perjalanan pembentukan menjadi paderi bagi saudara kita, Wilfred James yang ditahbis menjadi Dikon” kata pembukaan oleh Uskup Piong.
Sesudah pembacaan Sabda Allah, Wilfred James dipersembahkan kepada Uskup oleh Fr Rudolf Joannes untuk upacara pentahbisan.
Ketika Wilfred James berumur 15 tahun, dia menyatakan hasrat untuk menjadi paderi kepada bapanya. Namun disebabkan umur yang masih muda dan masih bersekolah, bapanya menyarankan dia untuk menghabiskan persekolahannya pada waktu itu di SMK Gunsanad terlebih dahulu.
Pemuda yang memulakan pelayanan awal sebagai pelayan altar ini, berasal dari Kg Patikang dan dilahirkan pada 24 Julai 1981. Memulakan pendidikannya di SK Banjar kemudian ke SMK Gunsanad dan menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia.
Kemudian Wilfred dihantar belajar di Institute of Formation Fondacio Asia (IFF-Asia), Quezon City Philippines. Peluangnya ini digunakan sebagai retret peribadi, merenung pelayanan dan kemahuan diri.
Sebelum menyahut panggilan menjadi paderi, Wilfred melayani di Pejabat Belia Keuskupan di Keuskupan Keningau selama lima tahun. Tempoh tersebut juga digunakan untuk bersama dengan ibu tercintanya.
Dikon bersama Uskup Piong, para paderi dan dua orang kakaknya yang juga adalah religius FSIC, Sr Martina James (tiga dari kiri) dan Sr Olga Mary James (tiga dari kanan).
Pada Januari 2013, Wilfred menyahut panggilannya dan memasuki pembentukan menjadi paderi (Tahun Inisiasi) di Kolej St Peter, Kota Kinabalu.
Dikon Wilfred berkata, “Persiapan menjadi dikon sememangnya satu proses yang dilalui oleh setiap calon dikon. Selain daripada menjalani retreat terpimpin. Terima kasih kepada Fr Dr Charles Chiew kerana membantu saya dalam persiapan ini. Persiapan lain yang saya lakukan adalah doa-doa dan renungan-renungan peribadi.
“Bahan-bahan doa dan renungan peribadi ini merangkumi amanat Bishop kepada calon dikon yang mana dibacakan dalam upacara pentahbisan. Amanat ini memperdalamkan lagi pemahaman saya kepada tugas-tugas seorang dikon dan harapan gereja kepada seorang dikon,” ujar Wilfred, anak ke-10 daripada 11 orang adik beradik.