Para Pilihan Baptis mengabadikan gambar kenangan selepas rekoleksi
Oleh Jarisah Gondikit @ Theresa
Apr 8 2024
KOTA KINABALU – Seramai 41 para pilihan untuk menerima Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) dan dua orang Calon Penerimaan Masuk ke dalam Persekutuan Penuh dengan Gereja Katolik dari Paroki Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu telah mengadakan Rekoleksi di Kionsom Inanam sebagai salah satu aktiviti persiapan rohani mereka sebelum menerima Sakramen Inisiasi pada Minggu Paskah tahun ini. Turut serta dalam rombongan ialah seramai 28 orang pembimbing IKD.
Rekoleksi pada 8-10 Mac 2024 itu mengambil tema “Berjalan Bersama Dalam Yesus Kristus” sebagai serana untuk melihat kembali (rekoleksi) semua perkongsian dan pengalaman rohani yang telah para pilihan lalui sepanjang perjalanan iman mereka dalam IKD terutamanya mengenai empat dasar iman Katolik, iaitu, Apa yang diimani, Bagaimana iman diungkapkan, Bagaimana iman di amalkan dan Bagaimana berhubungan dengan yang diimani. Selain itu, rekoleksi itu juga bertujuan untuk menyemai semangat sinodal antara peserta, pembimbing dan paderi serta seminarian yang terlibat dalam menyampaikan sesi.
Sepanjang tempoh rekoleksi, para pilihan dan pembimbing bersama-sama memuji dan memuliakan Tuhan dengan lagu puji-pujian sebelum, selepas dan di antara setiap sesi. Para pilihan juga secara praktikalnya menghidupi kehidupan berdoa dengan Doa Rosari, Doa Santo Micheal, Doa Angelus, Doa Kerahiman Ilahi, Ibadat Pagi dan Malam, Doa Sebelum dan Selepas Makan serta Jalan Salip bersama-sama dengan para pembimbing.
Seawal hari pertama para pilihan telah dibahagikan kepada lima kumpulan dan setiap kumpulan diberikan tugasan berbentuk rohani yang kemudiannya disampaikan dalam bentuk persembahan kreatif pada malam sosial (malam terakhir).
Fr Terans Thadeus dijemput sebagai penceramah untuk menyampaikan dua sesi iaitu Syahadat Para Rasul (Apa yang kita Imani?) dan sakramen-sakramen Gereja (Bagaimana iman diungkapkan). Sesi bermula dengan Pentakhtaan Alkitab. Mengambil perumpamaan doa orang-orang Farisi dan Pemungut Cukai dari petikan Injil Lukas 18:9-14, Fr Terans menegaskan bahawa kita juga seharusnya mempunyai kerendahan hati seperti si pemungut cukai agar layak menjadi anak-anak Tuhan.
Menurutnya lagi, Syahadat Para Rasul adalah perjalanan Iman Katolik yang tidak pernah putus. Pengetahuan para pilihan tentang sakramen-sakramen yang telah mereka pelajari selama setahun disegarkan semula dalam sesi kedua oleh Fr Terans.
Seminarian Yosef Yup seterusnya menyampaikan dua perkongsian iaitu 10 Hukum Tuhan (Bagaimana mengamalkan Iman) dan Apa itu Doa? (Bagaimana berhubungan dengan yang diimani). Seminarian Yosef memulakan sesi dengan bertanya tentang tujuan hidup manusia. Dalam perkongsiannya, dia menjelaskan bahawa 10 Hukum diberikan bertujuan mendisiplinkan diri, agar manusia dapat bersatu dengan Tuhan di dalam kebaikan. Dia juga mengingatkan para pilihan bahawa iblis sentiasa berusaha merosakkan manusia dalam dua sektor iaitu Gereja Domestik iaitu keluarga dan Kepaderian.
Seterusnya, adalah tentang doa dengan petikan dari Injil Matius 6:8 “Bapamu mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu minta kepada-Nya.”
Dalam setiap sesi, para pilihan dan pembimbing diberi peluang bersoal jawab dengan penceramah. Sesi soal jawab ini membantu mereka lebih faham tentang tajuk yang disampaikan.
Pada malam terakhir, kenangan indah tercipta apabila setiap pilihan baptis menunjukkan talenta mereka melalui tugasan yang diberikan iaitu lakonan tentang Peristiwa Sedih Rosari, perumpamaan anak yang hilang, lakonan sikap yang sepatutnya semasa misa kudus, nyanyian dan tarian puji-pujian.
Selain itu, para pembimbing diberi kejutan dengan pemberian tanda penghargaan daripada para pilihan baptis.
Para pilihan dan pembimbing telah disegarkan secara rohani dan siap untuk dibaharui pada paskah nanti.