Umat migran dan komuniti Katolik berakamkan gambar kenangan semasa lawatan ke St Mary’s Chapel, Kionsom, Inanam
By Joseph Bingkasan
Mar 28 2024
INANAM – Komuniti migran dan perantau yang tinggal di sini yang kebanyakannya berasal dari Indonesia, tidak berasa terpinggir kerana Gereja tempatan sentiasa mengadakan program untuk menyantuni mereka.
Baru-baru ini, Komiti Pelayanan Migran dan Perantau (KPMP) Paroki St Catherine, Inanam bersama komuniti Keluarga Katolik Indonesia (K3I) Paroki Inanam telah mengadakan lawatan ke St Mary’s Chapel, Kionsom.
Pengerusi KPMP, Alice Tailoh, berkata tujuan lawatan ini adalah untuk mendekatkan lagi para migran yang tinggal di sekitar St Mary’s Chapel supaya mereka tidak berasa terasing.
“Program menyantuni komuniti perantau seperti ini diadakan selalu. Pihak gereja tidak mahu warga migran rasa terpinggir walaupun berada di perantauan,” Alice Tailoh menjelaskan objektif acara itu.
Dalam program ini, seramai 25 warga migran hadir bersama. Pelbagai acara telah diadakan di samping bersolidariti bersama umat Katolik setempat yang turut hadir di majlis itu.
Kehadiran pelawat dari paroki disambut oleh pengerusi KUK St Mary’s Chapel Kionsom, Alice William dan ahli jawatankuasa yang lain.
Turut hadir dalam majlis ini ialah pengerusi Komiti CARITAS St Catherine Inanam, Flora Salemuda.
“Tidak kurang dari 20 warga Indonesia hadir dalam setiap Misa dan Ibadat Sabda Ahad,” kata Alice William.
Menurutnya kebanyakan keluarga komuniti migran ini bekerja di kilang dan ladang ternakan yang beroperasi di sekitar Pekan Inanam, Kampung Kionsom dan perkampungan berhampiran.