Para peserta yang mengikuti Kem Hari Orang Muda Sedunia di Good Shepherd Manggatal
Oleh Christa Jane, Tim Soccom HOMS GSM 2023
Jan 9 2024
MANGGATAL – Kem Hari Orang Muda Sedunia (HOMS) 2023 yang ke-38 telah berlangsung dengan jayanya di peringkat Paroki Good Shepherd Manggatal (GSM) pada 24-26 Nov 2023 bersempena dengan perayaan Pesta Kristus Raja. Kem belia tahunan ini adalah anjuran Tim Pelayanan Belia Paroki (TPBP) Good Shepherd Manggatal di mana penyertaannya mencapai jumlah sasaran peserta iaitu seramai 190 peserta terdiri dari pelbagai Paroki di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
Objektif utama HOMS adalah membawa Orang Muda Katolik (OMK) untuk merayakan HOMS sebagai belia Katolik. Selain itu, kem HOMS itu juga bertujuan untuk membuat OMK mempunyai hubungan yang mendalam dengan Yesus Kristus, menjangkau dan mengalami “Sense of Belonging” serta mengajak OMK berpatisipasi dalam misi pelayanan bersama.
Program bermula dengan ketibaan peserta pada sebelah petang, disusuli dengan Misa Pembukaan HOMS yang dirayakan oleh penasihat rohani Tim Pelayanan Belia Paroki, Fr Mattheus A Luta.
Dalam homilinya, Fr Mattheus mengajak para OMK untuk merenung apa motivasi pelayanan sepanjang perjalanan mereka sebagai OMK dan juga menyeru semua belia untuk terus tetap bersemangat dalam melayani sesama dan menjadi alat Tuhan seperti Bonda Maria yang “bangkit dan langsung pergi”.
Kem itu diteruskan dengan sesi pertama yang bertajuk “Sodop OMK” iaitu Welcoming Night Concert untuk para peserta sebelum menerokai sesi-sesi lain pada hari berikutnya.
Pada hari kedua, kem belia dimulakan dengan doa pagi yang singkat kemudian sesi kedua iaitu Katekisis yang bertajuk “Jesus Love Me, This I know” disampaikan oleh Nelly Charle. Dalam sesinya, beliau menekan bahawa tiada kasih yang lebih besar dan baik selain daripada kasih Tuhan Yesus itu sendiri.
Pada sesi seterusnya iaitu Animasi dengan tajuk “I love you, You love me” oleh Florina A Liew, para peserta menonton video singkat kemudian mereka diminta untuk memberi perkongsian dalam kumpulan tentang apakah dan bagaimanakah untuk mendalami cintakasih.
Sesi keempat iaitu “Sunduan Ih Kopiobpinaya (Part 1)” atau “Sense of Belonging” disampaikan oleh Florina A Guslin. Dalam sesi ini para OMK diajak untuk berpatisipasi dalam kumpulan masing-masing untuk mengekspresikan diri melalui kreativiti mereka dengan mencipta pakaian daripada bahan kitar semula.
Sesi berikutnya adalah “Sunduan Ih Kopiobpinaya (Part 2)” daripada Clothilda A Eric, di mana rasional sesi itu diadakan adalah untuk membawa para OMK untuk menyedari betapa indah peribadi mereka di dalam Yesus dan mereka lebih menghargai setiap nilai, keunikan dalam karakter mereka, seterusnya berusaha untuk mengasah dan mengembangkan potensi diri mereka dalam pelayanan bersama.
Acara kemuncak hari kedua adalah “Sodop Piombolutan”. Dengan pujian dan penyembahan, peserta diajak untuk mencari kedamaian serta membina hubungan dan persahabatan dengan Yesus melalui Doa Taize.
Para OMK diminta untuk menulis kata-kata peneguhan dan doa kepada sahabat seperjalanan OMK yang boleh menjadi pencetus dalam membina OMK yang berbuah dalam pelayanan, berkomitmen, bersatu dan berjalan bersama di dalam kasih Yesus.
Hari terakhir kem, bermula sesi Animasi iaitu “Saya Bangkit dan Bergegas Pergi” oleh Gary Fidelis. Para peserta HOMS 2023 berani untuk mengatakan ‘YA’ dalam apa juga jenis pelayanan dalam Gereja Katolik. Para OMK menggunakan talenta mereka yang diberikan oleh Tuhan dengan menghasil lakonan atau skidshow ringkas.
Sesi diakhiri “Tungag om Paraldo Kasangan di Tuhan” disampaikan oleh Alexander Anting dan dalam sesinya para peserta bermain games secara berkumpulan untuk menguji adakah OMK sudah bersedia untuk mengongsikan Sukacita Tuhan kepada sesama selepas HOMS selesai.
Tema “Maria Bangkit dan Langsung Pergi” (Lukas 1:39) telah membantu OMK membina relasi yang mendalam dengan Yesus Kristus secara berterusan melalui Misa Kudus dan menyemarakkan lagi Kasih Yesus antara sesama.
Sukacita ini akan dikongsikan dengan penuh iman dan pengharapan seperti petikan Roma 12:12 “Bersukacitalah dalam Pengharapan”.
Melalui tema ini, OMK yang dikenali sebagai “figura sejarah terkemuka” dan “misionari sukacita” Tuhan sejak dahulu lagi, akan tetap bersukacita dalam pengharapan kerana dengan memiliki pengharapan, OMK lebih optimis (semangat kerana percaya) untuk menjalani kehidupan.
Pengharapan juga menjadikan hidup penuh damai sejahtera dalam iman terhadap Yesus Kristus.