PAPAR – Acara pentas berbalas lagu antara kumpulan wanita dan lelaki yang dipersembahkan oleh kumpulan kebudayaan dari Kg Dambai Papar menjadi tarikan dan juga sorotan komen dari perwakilan paroki lain semasa sambutan Hari Minggu Komunikasi Sedunia di St Joseph Papar yang lalu. Acara berbalas lagu dengan menggunakan ‘telefon tin’ menggambarkan tradisi komunikasi yang pernah wujud dalam masyarakat Kadazandusun mengimbas kenangan lama, setelah para perwakilan disajikan dengan tayangan video memperlihatkan dunia maya kecerdasan buatan (AI).
Gereja Katolik meraikan Hari Minggu Komunikasi Sedunia ke 58 pada 12 Mei, dengan membawakan tema ‘Kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan kebijaksanaan hati – Untuk komunikasi manusia sepenuhnya”, perutusan Bapa Suci Francis yang antara lain menekankan keprihatinan tentang penggunaan kecerdasan buatan dalam industri komunikasi sejagat.
Misa kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong bermula dari Dataran Terbuka Gereja St Joseph dengan susunan perarakan didahului oleh para perwakilan Komiti Sosial dan Komunikasi (SoKom) dari semua paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Bersempena dengan bulan Mei yang juga bulan perayaan Pesta Menuai bagi masyarakat Kadazandusun, sebahagian besar perwakilan dan umat yang hadir turut mengenakan busana tradisi.
Tuan rumah bagi Hari Minggu Komunikasi Sedunia peringkat Keuskupan dirayakan secara bergilir dan bagi tahun ini, Paroki Papar menjadi tuan rumah.
Dalam homilinya dan sebagai pesanan kepada semua perwakilan Komiti SoKom paroki, Uskup Agung John Wong menyentuh tentang tanggungjawab setiap yang dibaptis iaitu meneruskan misi Kristus. “Kerana Roh Kudus datang dan ada pada setiap kita, kita semua adalah penginjil. Kita semua ada tanggungjawab untuk meneruskan misi yang dipercayakan oleh Bapa kepada Anaknya iaitu menyebarkan Khabar Gembira,” jelas prelatus itu.
Tambah prelatus itu, khabar gembira itu menjadi nyata jika setiap orang dapat memperlihatkan cinta kasih antara sesama. “Tuhan itu menjadi nyata jika kita memiliki cinta kasih antara sesama,” jelasnya.
Semasa perarakan membawa persembahan, persembahan simbolik membawa logo Sokom oleh setiap perwakilan paroki dan dipersembahkan kepada Uskup Agung. Logo-logo itu kemudian diletakkan tersusun berdekatan dengan kawasan altar.
Gimik pelancaran perayaan dilakukan dengan mempertontonkan video singkat tentang ringkasan dari Pesanan Bapa Suci Francis sempena Hari Komunikasi Sedunia. Sejurus selepas itu, Uskup Agung mengumumkan paroki tuan rumah bagi Hari Komunikasi Sedunia pada 2025 iaitu Paroki Inanam.
Dalam ucapannya, Prelatus itu sekali lagi membawa para perwakilan untuk merenung apakah kandungan atau mesej komunikasi kita setiap hari. “Adakah mesej komunikasi kita itu mempersatukan atau memusnahkan, adakah ia membangunkan atau meruntuhkan?” pesan Uskup Agung John.
Seterusnya dia berpesan kepada semua perwakilan untuk menghindari nilai-nilai persaingan tidak sihat dan saling menjatuhkan dalam pelayanan. “Melihat kepada semua logo dari perwakilan paroki dan jika kita mempersatukan semua tenaga kita ini kepada satu arah, saya percaya kita boleh menciptakan keajaiban. Doa dan harapan saya adalah agar kita dapat berjalan bersama dan bukan persaingan,” pesan Bapa Uskup.
Acara kemudian diteruskan di Dataran Terbuka Gereja dengan jamuan dan juga beberapa persembahan pentas. Uskup Agung John juga turut dibawa melawat pameran yang disediakan oleh paroki-paroki. Antara pameran tersebut adalah alat-alat komunikasi terdahulu seperti alat pemutar piring hitam, perakam kaset, telefon lama, telefon mudah alih yang lama, kamera lama, mesin taip, radio lama serta basikal lama. – CS