Msgr Gilbert, Tim Penganjur dan peserta mengambil gambar bersama
Oleh Caroline Liew
Nov 1 2023
KENINGAU – Komiti Katekatikal KSFX Keningau menganjurkan ‘Study Day’ untuk para katekis pembimbing yang melayani di Paroki KSFX pada 23 Sept bertempat di Dewan MPP KSFX . ‘Study Day’ Katekatikal peringkat paroki yang julung kali diadakan itu disertai seramai 298 katekis pembimbing dengan berfokus kepada Hukum Kanonik yang disampaikan sepenuhnya oleh Msgr Gilbert Lasius.
Hukum Kanonik 1983 menjadi fokus ‘Study Day’ kali ini bertujuan untuk memberi pendedahan, meningkatkan pengetahuan serta sebagai ruang untuk soal jawab mengenai struktur dan tatatertib gereja Katolik khususnya kepada para katekis pembimbing yang hadir.
Msgr Gilbert Lasius sebagai penyampai sesi mengendalikan ‘Study Day’ dalam dua bahagian iaitu bahagian yang pertama adalah Pengenalan Kitab Hukum Kanonik (KHK), Tujuan dan Fungsi KHK, serta Sumber–sumber Utama KHK.
Bahagian kedua adalah sesi soal jawab dengan para peserta ‘study day’. Apa yang menarik dalam sesi soal jawab, majoriti soalan yang ditanyakan adalah berkait rapat dengan hukum-hukum dalam perkhawinan serta terdapat juga soalan-soalan yang melibatkan calon bimbingan. Melalui respon dan klarifikasi Msgr Gilbert Lasius, para peserta ‘Study Day’ mendapat pencerahan serta pelbagai input lain.
Pengerusi Penganjur Rita Titing, ISKB berharap semua katekis pembimbing yang hadir di ‘Study Day’ ini dapat menanggapi dan menggunapakai input yang diterima dari Msgr Gilbert dalam pelayanan serta sentiasa ada sikap merujuk dan belajar sebagai proses pembentukan. Bagi Katekis Pembimbing yang tidak sempat hadir, Rita Titing berharap mereka dapat mendengar perkongsian dari peserta yang hadir dan program pembentukan yang seterusnya agar semua dapat hadir bersama.
‘Study Day’ Katekatikal diakhiri dengan doa penutup.