Sesi perkongsian selepas Doa Rosari
Oleh Kumbeber
Okt 26 2023
TENGHILAN, Tuaran – Program Jelajah Ikon Bonda Maria sempena Bulan Rosari dari Kg Ponopuan ke Kg Molisau pada 11 Okt lalu, menerima sambutan luar biasa daripada umat Katolik di Chapel tersebut.
Program dimulakan dengan Doa Kerahiman Ilahi bersama umat yang hadir, dipimpin oleh Kat Emily Henry, tepat jam 3.00 petang sambil menantikan kedatangan Patung Bonda Maria.
Berpakaian baju-T serba putih, umat di Chapel St Maria Goretti Kg Molisau dan Kg Saradan bersyukur kerana akhirnya patung Bonda Maria sampai ke tempat mereka.
Sebelum itu, umat di Chapel St Maria Gorreti telah pun membuat persiapan beberapa hari lebih awal dengan mengadakan gotong-royong membersih kawasan, dan menghias tempat meletakkan patung berkenaan di dalam Chapel.
Lebih menarik, Rektor Paroki St John Tuaran, Fr Thomas Yip turut bersama di dalam upacara kali ini, yang merupakan satu ‘kejutan’ kepada umat yang hadir.
Dalam keadaan hujan renyai-renyai, rombongan dari Chapel St Hillary Ponopuan tiba kira-kira jam 3.30 petang, disambut puluhan umat di hadapan Chapel St Maria Goretti.
Sepanjang perarakan, umat menyanyikan lagu-lagu bertemakan Bonda Maria, sempena memperingati bulan Rosari.
Sebelum semua umat berarak masuk ke dalam Chapel, Pengerusi Komiti Umat Pastoral Katolik (KPUK) Chapel St Maria Goretti Kg Molisau dan Kg Saradan, Hillary Samuin, mengungkapkan madah “Siapalah kami ini hingga Ibu Tuhan mengunjungi kami?”.
Kemudiannya disusuli jawapan daripada Katekis dari Chapel St Hilary Ponopuan, “Apa yang dikatakan kepadamu, buatlah itu”.
Hillary Samuin kemudiannya memulakan sesi petang itu dengan membuat sedikit perkongsian mengenai pesan Para Rasul yang terkandung di dalam buku Rosari sepanjang bulan Oktober ini.
Sesi berikutnya ialah Doa Rosari, yang dipimpin oleh Kat Petronella Rosini Ruhan dan dibantu para umat bagi menyambut kelima-lima Misteri Rosario Suci.
Selesai Doa Rosari, wakil dari Majlis Pastoral Paroki (MPP) St John Tuaran, yang juga mantan Pengerusi Komiti Pelayanan Pastoral Zon (KPPZ), Albert Tuin mengajak beberapa umat untuk membuat perkongsian mengenai pengalaman mereka sepanjang patung Bonda Maria berada di Chapel masing-masing.
Wakil dari Chapel St Hilary Ponopuan, Kat Moliana Gambuda dan Hilary Samuin telah mengambil bahagian dalam sesi perkongsian tersebut.
Umat Katolik mengambil kesempatan untuk berdoa sepanjang dua hari Ikon Bonda Maria berada di Kg Molisau sebelum dibawa ke Chapel St John Of The Cross Tinuhan.