Reaksi muka penerima Sakramen Komuni Pertama anak-anak migran
Oleh Stanley Ung (Photo: Frakie Tan)
Okt 26 2023
KKIP – Seramai 24 anak-anak migran telah menerima Sakramen Komuni Pertama semasa perayaan Misa Kudus Hari Minggu Misi Sedunia di Gereja Divine Mercy, KKIP pada 22 Okt lalu yang dipimpin oleh Fr Sylvester Wong.
Sebahagian besar daripada penerima Sakramen Komuni Pertama adalah pelajar dari Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK).
Peristiwa itu merupakan khabar gembira kepada bagi anak-anak migran kerana ia merupakan titik permulaan yang baik untuk menerima sakramen. Hal ini kerana, ramai anak-anak migran setelah tamat persekolahan di SIKK tidak sempat menerima sakramen dan terpaksa balik ke negara asal (Indonesia).
Fr Sylvester berkata dalam homilinya, “Setiap kita yang telah menerima sakramen, mulai dari Sakramen Pembaptisan haruslah menjalankan misi Tuhan untuk mewartakan Injil dan penyelamatan Tuhan.”
Paderi menambah bahawa untuk menjalankan misi Tuhan itu tidak mengira bangsa, warna kulit atau agama sebab manusia adalah sama dan dicipta mengikut imej dan wajah Tuhan itu sendiri.
Selesai Misa, Majlis Kesyukuran dan fellowship diadakan bersama anak-anak migran, penanggung, ibu bapa, barisan KUK Gereja Divine Mercy dan Komiti Kateketikal paroki Telipok.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Indonesia dari Jawa Tengah dan Adonara oleh anak-anak SIKK.