Laluan Sinodal dibuka dengan Misa di Katedral Frankfurt pada 30 Januari 2020. (Foto oleh ANDREAS ARNOLD/ DPA/ PICTURE-ALLIANCE/MAXPPP)
By Loup Besmond de Senneville
Oct 12 2023
VATIKAN – Tiada sesiapa di Dewan Paul VI boleh mengabaikan mereka. Sejak perhimpunan Sinode mengenai masa depan Gereja Katolik dibuka pada 4 Oktober, kehadiran para wakil Jerman telah menimbulkan banyak komen, jangkaan dan ketakutan. Sebabnya agak mudah – ianya adalah berkaitan dengan isu yang dipanggil Laluan Sinodal (Der Synodaler Weg). Ini, sudah tentu, adalah siri persidangan para uskup dan pemimpin awam Jerman yang dilancarkan pada tahun 2019 untuk membincangkan reformasi gerejawi memandangkan laporan buruk mengenai penderaan seks kanak-kanak dalam Gereja mereka. Sejak itu, pendekatan Jerman telah mendapat kritikan yang semakin meningkat di Vatican, termasuk daripada Bapa Suci Francis dan para penjawat Kuria Rom, yang melihat bahawa risiko perpecahan dalaman Gereja yang semakin merunsingkan. Dan di mata banyak penjawat Vatikan dan Sinode, orang Jerman juga melambangkan sesuatu yang mesti dielakkan oleh ahli perhimpunan Sinode ketika ini iaitu: mempolitikan perdebatan dan menjadikan sinode sebagai parlimen, yang mana Bapa Suci seringkali tegah.
Uskup Jerman yang hadir pada perhimpunan 4-29 Oktober adalah penyokong paling kuat bagi Laluan Sinodal – Uskup Georg Bätzing dari Limburg, presiden persidangan uskup kebangsaan (DBK). Sebagai tanda keazamannya untuk membuat suaranya didengari, dia bertemu dengan wartawan Jerman di Rom sejurus sebelum perhimpunan Sinode bermula, dan akan untuk berbuat demikian sekali lagi pada pertengahan Oktober. Diiringi oleh pegawai komunikasinya, yang juga turut hadir di Rom sepanjang Sinode, uskup berusia 62 tahun itu juga mengatur agar semua perbincangan diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman. Difahamkan, DBK membiayai pengambilan jurubahasa dan penterjemah sepanjang bulan Oktober.
“Keinginan untuk mengurangkan suara kami”
Terdapat sebab untuk ini. Sekretariat agung Sinode mengumumkan pada akhir September bahawa – untuk yang pertama dalam sejarah perhimpunan ini – tidak akan ada kumpulan kerja berbahasa Jerman. Seperti yang boleh dibayangkan, ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang besar. “Ia adalah hasrat untuk mengurangkan suara kami,” keluh sumber Jerman dalam Kuria Rom. “Sejak berakhirnya kepausan Benedict XVI, pengaruh Jerman perlahan-lahan tetapi pasti berkurangan,” tambah salah seorang rakan senegaranya yang berpangkalan di Rom. Bagi pihak penganjur Sinode, mereka telah mewajarkan keputusan ini dengan menunjuk kepada bilangan peserta yang kecil dari Jerman. Tetapi akibat ketiadaan kumpulan berbahasa Jerman, juga boleh memberi kelebihan kepada mereka yang mempertahankan pendekatan sinodal Jerman. “Para uskup tersebar dalam kumpulan yang berbeza,” kata sumber Rom yang lain. “Orang Jerman menerima idea bahawa mungkin ada perubahan dalam Gereja. Jauh di lubuk hati, beberapa uskup lain takut bahawa orang Jerman akan memusnahkan semangat suasana ‘antara kita’,” katanya. “Dan pemimpin Katolik dari seberang Rhine berhasrat untuk menggunakan Dewan Paul VI untuk mempertahankan demokrasi yang lebih besar dalam Gereja, seperti yang telah mereka lakukan di negara mereka sendiri.” Objektif sebenar mereka ialah umat awam harus lebih bersepadu dan dapat mengambil peranan besar dalam proses membuat keputusan. Lebih dari itu, mengenai subjek lain, seperti pentahbisan wanita atau pemberkatan pasangan homoseksual,” jelas seorang lagi pakar keuskupan Jerman.
Seorang kardinal di EWTN
“Kita tidak seharusnya meminimumkan orang Jerman, tetapi kita juga tidak boleh melebih-lebihkan mereka,” kata seorang Bapa Sinode, yang percaya bahawa amaran Paus terhadap konsep parlimen ditujukan secara langsung kepada penganjur Laluan Sinodal. Walau bagaimanapun tidak semua orang Jerman adalah sama pendapat. Salah satu yang menonjol dalam perhimpunan Sinode ialah Kardinal Gerhard Müller, bekas peneraju Dicastery for the Doctrine of the Faith dan seorang pengkritik keras Bapa Suci Francis. Dia telah diintegrasikan ke dalam kumpulan berbahasa Perancis. Kemunculannya di rangkaian EWTN pada 5 Oktober membangkitkan kegusaran beberapa ahli dewan. Mereka menuduh kardinal berusia 75 tahun itu melanggar arahan Paus kepada mereka untuk menggunakan “kebijaksanaan” dan tidak mendedahkan kandungan perbincangan yang berlaku di Dewan Paul VI. Ia adalah satu peringatan bahawa, semasa bulan perbahasan ini, suara orang Jerman perlu dipertimbangkan, walau apa pun fahaman politik mereka. – La Croix International