Oleh Sabrina Dalusim
Oct 2 2023
MENGIKUTI program Inisiatif MCYMC ini adalah satu berkat dari Tuhan bagi saya dan saya sangat bersyukur kerana berpeluang untuk ikut serta. Melalui program ini, ia sangat membantu diri saya untuk membuka mata, akal budi serta melihat sendiri apa yang terjadi di dalam dunia sekarang.
Sepanjang program ini, banyak tempat yang kami lawati dan bersemuka secara langsung khususnya orang-orang terpinggir yang tidak mempunyai tempat tinggal, atau makanan, kanak-kanak yang ditinggalkan oleh ibu bapa, orang-orang tua, orang asli dan para migran.
Apa yang membuat saya tersentuh adalah ketika lawatan ke perkampungan sahabat migran. Melihat mereka tersenyum gembira melihat kedatangan kami seolah-olah rahmat bagi mereka kerana masih ada orang yang peduli dengan mereka. Pada masa ini, kami sama-sama memuji Tuhan dengan bernyanyi. Dan apa yang menyentuh saya di sini ialah walaupun mereka hidup susah, perlu kerja keras untuk meneruskan hidup, Tuhan memberi mereka talenta seperti bermain muzik dan suara yang merdu. Mereka luahkan apa yang mereka mahu katakan melalui nyanyian, ianya sangat menyentuh hati saya.
Walaupun sasa singkat tetapi saya sangat terinspirasi dengan mereka kerana mereka sangat setia dan meletakkan Tuhan nombor satu dalam kehidupan mereka.