Oleh Hernica Lambertus
Oct 2 2023
PROGRAM MCYMC Initiative ini sangat membantu diri saya melihat lebih luas tentang kehidupan orang lain yang hidup di dalam kesedarhanaan tanpa kemewahan dan membawa saya merasakan cinta kasih Yesus yang hadir di dalam setiap peribadi mereka. Melalui program ini juga, saya dapat merasakan kegembiraan dan kesenangan dalam melakukan segala aktiviti bersama dengan orang tua, belia, orang asli, migran dan kanak-kanak.
Banyak program melayani yang kami lakukan tetapi ada satu program yang benar-benar menyentuh diri saya iaitu, pada hari kedua, di mana kami melayani orang-orang tua yang kurang berkemampuan, kurang sihat, hidup tanpa keluarga dan hidup di dalam keputus-asaan dan sangat memerlukan bantuan. Tetapi mereka sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang mereka dapat seperti makanan yang telah disediakan untuk mereka. Ini adalah pengalaman yang mengajar saya untuk selalu bersyukur di setiap waktu walaupun hidup di dalam kekurangan.
Dari program ini, ia membantu diri saya untuk lebih yakin berjumpa dan bertegur sapa dengan orang lain dan mempunyai perasaan lebih berani dalam memberikan perkongsian kepada rakan-rakan lain. Program ini juga telah membantu saya untuk mendapatkan banyak pengalaman baik yang boleh saya tanamkan di dalam diri saya. Saya juga mempunyai peluang untuk berkenalan dengan belia dari diosis lain dan dapat mendengarkan perkongsian dari mereka yang dapat memberikan inspirasi terhadap diri saya.