Para peserta yang mengikuti Bengkel dan Latihan ‘Cinta Bijak’, 29-30 Jun
Oleh Mujimah @ Maureen Ayong
Jul 27 2023
PAITAN – Program Bengkel dan Latihan ‘Cinta Bijak’ telah diadakan di Dewan Chapel St Francis Assisi, Sukang pada 29-30 Jun 2023.
Tujuan bengkel dan latihan ini adalah untuk memberi pemahaman dan pendedahan kepada para mentor (kumpulan Pelayan hidup keluarga, Misi Paitan) sebelum mengadakan program yang berkaitan dengan keluarga dan perkahwinan.
Dalam Misa Kudus, Fr Arthur berkata “berdasarkan injil Tuhan, bukan semata-mata hanya tahu Kristus tetapi seharusnya ‘kenal’ Kristus sama seperti dalam keluarga kita, harus kenal pasangan kita untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
“Dalam pengalaman saya dari oustasi ke satu oustasi, ramai yang tidak pergi ke gereja kerana mereka belum ada berkat kahwin. Ini bermakna mereka tidak boleh menyambut Tubuh Yesus kerana mereka malu. Itulah saya memanggil para katekis dan kita semua di Misi Paitan untuk membantu mereka tentang soal Sakramen perkahwinan supaya mereka dapat pemberkatan. Ini adalah tanggungjawab kita untuk membantu mereka tetapi kita harus dibentuk juga, menambah ilmu supaya iman kita juga bertumbuh. Maka dengan itu, bengkel latihan untuk para mentor dan ibu bapa dijemput hadir,” kata Fr Arthur.
Bengkel dan latihan cinta bijak ini dikendalikan sepenuhnya oleh penyampai sesi daripada Keuskupan Sandakan iaitu Cesar dan Eva, Rekha dan Felix serta John Tan. Pengisian tentang cinta bijak mengikut topik masing-masing telah disampaikan dengan begitu baik dan mudah di fahami.
Seramai 16 peserta kumpulan pelayanan keluarga Misi Paitan yang menyertai bengkel dam latihan cinta bijak ini. Dua hari masa bengkel dan latihan ini dipergunakan sepenuhnya untuk memahami lapan topik yang bertajuk:
Sesi 1: Sebuah Misi Bercinta,
Sesi 2: Dialog: Menjadi Satu,
Sesi 3: Mengenali Mu, Mengenali Ku,
Sesi 4: Membina Kesatuan,
Sesi 5: Seks, Pelukan Suci,
Sesi 6: Teman Sejiwa Seumur Hidup,
Sesi 7: Mengurus Kewangan,
Sesi 8: Kaedah Pengurusan Kesuburan Semulajadi,
Sesi 9: Raptai dan Perkara yang patut dan tidak patut dilakukan semasa upacara perkahwinan di dalam gereja.
Semua peserta didedahkan dengan memberi perkongsian dan aktiviti menjawab berdasarkan soalan melalui buku cinta bijak yang diberi kepada para peserta.
Selain daripada itu, setiap pasangan mentor yang menyampaikan topik mereka, memberi perkongsian pengalaman masing-masing secara terbuka berdasarkan pengalaman hidup mereka. Peserta turut diberi peluang secara bergiliran untuk berkongsi pengalaman masing-masing berdasarkan topik.
Aktiviti seperti ini telah memberi lebih pemahaman kepada peserta dengan mudah terhadap topik-topik yang ada di dalam buku cinta bijak. Beberapa peserta yang mengongsikan pengalaman hidup mereka seperti, cinta itu adalah unik dan indah apabila disertai oleh Tuhan.
Perasaan ingin membantu atau membimbing seseorang juga boleh berubah kepada perasaan yang mendalam terhadap pasangan dahulu untuk lebih lagi taat kepada cinta bersama. Ada juga peserta mengongsikan pengalaman hidup mereka seperti dalam topik “menjadi satu” untuk memilih kesatuan atau perpaduan dalam konflik. Ada yang memilih untuk menggunakan alat L.I.F.E., kesatuan emosi dan alat Berhenti-Renung-Hubung sebagai alat penting. Kadang-kadang setiap pasangan berbeza pendapat yang berkemungkinan mengakibatkan pergaduhan. Dengan menggunakan alat ini, ianya membantu pasangan tersebut mengawal emosi yang mengakibatkan pergaduhan. Dalam Sesi 2, mendengar dengan hati, perkongsian daripada para mentor dan peserta dapat membantu komunikasi suami dan isteri bagaimana menggunakan empati dan bukan hanya simpati.
Semoga pendedahan ini memperbaiki semua keluarga yang hadir dan seterusnya membantu keluarga yang lain. – Dospo