Uskup Cornelius Piong bergambar bersama PMPP, Pengerusi-pengerusi KUK, Zon dan umat di depan Dewan Baloi Pisompuruan Takau
By Emelty Paulus
May 16 2023
KENINGAU – Sebuah lagi dewan baharu telah diberkati dan dirasmikan di Gereja KUK St Stephen Liau pada 23 April 2023 yang lalu. Upacara perberkatan dan perasmian Dewan Baloi Pisompuruan Takau telah disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong selepas misa kudus. Turut hadir dalam misa ini ialah Pengerusi MPP KSFX, Nancy Nelly Joneh dan Pengerusi Komisi KOMSOS Keuskupan Keningau, Didiroy Joneh.
Memetik dalam pembacaan hari minggu itu, Uskup dalam homilinya, mengingatkan umat supaya dalam perjalanan hidup iman kita ini, sentiasa fokus dan menuju kepada destinasi kita yang sebenarnya iaitu rumah Bapa di Syurga dan apa tujuan kita untuk mengikut Yesus? “Kita mengikuti Yesus kerana kita percaya kepada Dia kerana Dialah jalan dan kebenaran hidup” ujar prelatus itu seperti dalam Yohanes 14:6 “Akulah jalan kebenaran dan kehidupan, tiada orang yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku”.
Menyentuh kepada komunikasi sosial, prelatus itu mengucap syukur kerana sabda Tuhan dibawa setiap hari kepada umat melalui saluran Radio Online KekitaanFM yang hampir tiga tahun bersiaran di Keuskupan Keningau. Uskup berpesan kepada umat agar menggunakan alat-alat saluran yang ada yang diberikan Tuhan kepada kita. Mengakhiri homilinya, Uskup Cornelius memberi pesan lagi agar melalui semuanya ini, umat menghargai apa yang telah diusahakan oleh anggota KOMSOS. “Komunikasi yang ada di tengah-tengah kita, gunakanlah itu untuk mahu mengenal dan mengasihi Tuhan agar kita dapat terus melayani Tuhan”, tambahnya lagi.
Pengerusi MPP juga mengucapkan tahniah dan mengucap syukur dengan terbinanya dewan di KUK ini. “Gunakanlah apa yang sudah Tuhan anugerahkan kepada kita untuk lebih membangunkan umatNya. Kita gunakan apa yang Tuhan bagi kita ini untuk lebih membangun iman umat di tempat ini selain memiliki dewan dan pelbagai kemudahan lain”, ujarnya. “Bukan sahaja kita memilikinya tetapi kita memastikan kualiti iman umat di tempat kita seawal usia dari kecil sehingga dewasa terpelihara”, kata Nancy mengakhiri ucapannya.
Jais @ Hendry Siarus selaku pengerusi penganjur perayaan mengucap syukur dan merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang dalam pembinaan dewan ini sehingga akhirnya Baloi Pisompuruan Takau ini terbina dan dapat digunakan kepada semua umat khususnya di KUK St Stephen Liau. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi, “Apabila Roh Kudus bekerja bersama kita, jangan takut dan terjadilah seperti yang kita kehendaki”, katanya. Semoga dengan berdirinya dewan ini umat terus mengamalkan semangat hidup berkomuniti agar dapat terus berjalan bersama.
Selesai misa perutusan, Uskup Cornelius Piong diiringi oleh pengerusi MPP, pengerusi penganjur dan pengerusi-pengerusi KUK serta umat berarak ke dewan untuk memotong reben sebagai gimik perasmian Dewan Baloi Pisompuruan Takau KUK St Stephen Liau dan menandatangi plak serta memberkati dewan tersebut. Acara ini diteruskan dengan pelbagai pengisian daripada umat KUK St Stephen Liau seperti persembahan tarian dan nyanyian serta cabutan umat bertuah.