Salah satu kumpulan yang terlibat dalam energizer 1 dipanggil Human knot
Oleh Komiti Kateketikal Zon Sugud
Apr 13 2023
SUGUD, Penampang – Kem Kanak-Kanak dengan tema ‘Hadiah yang sempurna’ telah dianjurkan oleh Komiti Kateketikal Zon Sugud pada 10-12 Mac lalu di Dewan Komuniti Gereja Assumption of Our Lady. Kem yang mendapat sambutan hangat ini dihadiri oleh 131 orang, yang terdiri dari 78 kanak-kanak dari umur 9-13 tahun, 33 orang tim penganjur dan 20 orang fasilitator. Namun ada kanak-kanak yang berumur lapan tahu mengikuti kem ini dengan kebenaran ibu bapa mereka.
Objektif kem ini adalah mengajar dan mengajak kanak-kanak berdikari, bertanggungjawab, mencungkil bakat, lebih mengenal diri, bermurah hati serta bekerjasama antara sesama.
Hari pertama, setelah pendaftaran, dimulakan dengan acara suai kenal dan pengenalan tentang kem, kemudian diikuti dengan ceramah dan sesi energizer 1. Ceramah pertama yang bertajuk ‘Hadiah dari Bapa’ disampaikan oleh Rosie Johny, antara lain, menggarisbawahkan mesej bahawa Yesus adalah hadiah yang istimewa dari Bapa di syurga kerana Dia telah membawakan penyelamatan bagi manusia.
Ceramah diteruskan dengan tajuk ‘Manjadi Hadiah yang Bermakna’ oleh Janet Manin. Di sini ia mengajak kanak-kanak untuk lebih mengasihi antara sesama kerana Tuhan Bapa adalah kasih.
Katekis Athanasius, Penasihat Kem Kanak-Kanak, meneruskan ceramah dengan tajuk yang sama, membawa kanak-kanak menjadikan diri sendiri sebagai hadiah yang bermakna kepada Tuhan dan sesama di dunia yang penuh dengan cabaran.
Selesai ceramah, aktiviti diteruskan dengan sesi energizer 1 iaitu ‘Simpulan Manusia’ (human knot) secara berkumpulan. Dalam aktiviti itu, para peserta muda dibimbing untuk saling berkomunikasi untuk mengenalpasti punca masalah, saling membantu untuk memberikan pendapat dan seterusnya menyelesaikan masalah melalui kerjasama kumpulan.
Para peserta mengisi sampul surat J’mail rakan-rakan di photobooth
Aktiviti diteruskan dengan taklimat J’mail (Jesus Mail) oleh Leanne David. Peserta diberikan satu sampul surat dan menandai sampul itu dengan nama mereka lalu digantung di photobooth. J’mail itu bertujuan menggalakkan para peserta untuk memberi kata-kata sokongan, semangat dan peneguhan melalui surat atau tulisan. Sampul surat itu akan dikembalikan kepada semua peserta di penghujung program.
Pada sebelah malam pula, selepas makan malam yang disediakan oleh KWK, aktiviti diteruskan dengan Doa Jalan Salib dipimpin oleh Katekis Athanasius Ebol dan beberapa fasilitator, dalam Bahasa Melayu. Peserta diajak untuk merenung kisah sengsara Yesus. Kemudian peserta diberi taklimat untuk acara pentas tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang Kem Kanak-Kanak dijalankan.
Peserta bersedia untuk aktiviti senamrobik
Pada hari kedua kem, peserta bangun seawal jam 5.00 pagi untuk doa pagi dan senamrobik yang dipimpin oleh Bobby Laurie. Selesai bersarapan pagi, program dimulakan dengan energizer 2 iaitu ‘Lulus Ayat’ (Pass the Verse). Dalam aktiviti ini peserta diajak untuk menyebarkan khabar gembira dari Tuhan sebagai seorang Kristian.
Semasa sesi perkongsian kumpulan, peserta disoal bagaimana mereka sebagai sebuah komuniti menjadi hadiah yang bermakna kepada orang sekeliling.
Salah satu kumpulan yang melawat orang tua di sekitar gereja
Kem diteruskan dengan aktiviti ‘Hunt for Love’ di mana para peserta melawat dan berdoa bersama warga emas di Kg Sugud yang berdekatan dengan gereja. Di sini peserta diajar untuk menghargai orang yang lebih dewasa dan membawa kasih sepanjang aktiviti itu.
Acara pentas adalah sesi yang ditunggu-tunggu oleh peserta dan ibu bapa di mana setiap kumpulan diberi tema persembahan mengikut kreativiti mereka sendiri. Ibu bapa juga berpeluang untuk membuat persembahan pentas dan para peserta gembira dengan persembahan pentas daripada ibu bapa mereka.
Persembahan lakonan daripada ibu bapa
Pada hari ketiga, peserta bersiap seawal jam 7.00 pagi untuk doa pagi dan sarapan diikuti dengan latihan koir untuk Misa Kudus pada jam 10.00 pagi yang dipimpin oleh Fr Gilbert Marcus dan dibantu oleh Diakon Bradley.
Evaluasi program dan perkongsian peserta dijalankan setelah Misa, diikuti dengan tayangan video pendek sepanjang kem tersebut, penyerahan J’mail dan acara bergambar.
Program diakhiri dengan ucapan daripada Koordinator Kem Kanak-Kanak, Olga Vallentine, yang mengucapkan syabas kepada semua AJK, fasilitator dan semua yang terlibat dalam menjayakan kem itu walaupun masa persiapan adalah singkat. Olga bersyukur dan memuji Tuhan atas cinta kasih Tuhan kerana program berjaya dijalankan.
Peserta membuat persiapan koir untuk Misa Kudus