Uskup Peter Shao Zhumin dari Keuskupan Yongjia (Wenzhou)
Feb 22 2023
Pihak berkuasa di China telah menahan Uskup Peter Shao Zhumin dari Keuskupan Yongjia (Wenzhou) bersama sama dengan seorang paderi, yang juga adalah setiausaha kepada uskup tersebut, setahun selepas dia dibebaskan dari tahanan, media melaporkan. Uskup bersama setiausahanya, Fr Paolo Jiang Sunian ditahan awal tahun ini, dan sehingga kini tidak ada berita keberadaannya atau khabar ia dibebaskan, demikian dilaporkan oleh China Aid pada Feb. 18
Media melaporkan yang mereka dihalang untuk menghadiri pengkebumian Fr Leo Chen Nailiang, seorang paderi yang setia kepada Vatikan dan dilihat sebagai ‘pemberontak’ oleh Parti Komunis China, seperti juga Uskup Zhumin.
Fr Nailiang menjadi seorang Katolik sekitar tahun 1940an. Sebelum kematiannya, dia melayani sebagai paderi paroki di Pingyang, Wenzhou dan amat dikenali dikalangan umat, lapor media tersebut.
Parti Komunis menganiayanya dengan berbagai cara termasuk memasukkannya ke kem buruh paksa selama beberapa tahun untuk ‘re-edukasi’.
Pihak berkuasa dilaporkan telah mengharamkan semua Katolik, yang taat setia kepada Vatikan, daripada menghadiri Misa Kudus pengkebumian Fr Nailiang. Tiga paderi dari paroki Rui’an telah memimpin misa pengkebumian tersebut.
Uskup Zhumin, 59 tahun, ditahbis menjadi Uskup Koadjutor bagi Keuskupan Yongjia, di Wilayah Zhejiang pada Nov 10 2011, dengan mandat dari Sri Paus. Dia menjadi Uskup Yongjia pada Sept 7 2016, selepas kematian Uskup Vincent Zhu Wei-Fang. Bagaimanapun, dia mendapat tekanan dari pihak berkuasa kerana perlantikannya tidak diiktiraf oleh Konferensi Para Uskup Gereja Katolik China(BCCCC)- badan seliaan pihak berkuasa – dan juga Persatuan Katolik Patriotik China. Selain itu, uskup tersebut sering menolak untuk turut serta dalam dua badan seliaan kerajaan tersebut, yang mengundang kemarahan pihak berkuasa.
Dia telah ditahan beberapa kali sejak 2011. Sebelum ini, dia pernah ditahan pada April 7 2022, apabila pihak berkuasa menerbangkannya ke tempat lain bagi menghalangnya merayakan Minggu Suci.
Pada Oktober 25 2021, uskup tersebut pernah ditahan selama dua minggu atas tuduhan ‘pelancongan’.
Uskup Zhumin merupakan salah seorang uskup yang seringkali diganggu dan ditahan kerana menolak untuk patuh kepada arahan regim China. Gangguan ini berterusan walaupun Vatikan telah menandatangani 2 tahun perjanjian sementara dengan China pada 2018, diperbaharui pada Oktober 2020 hingga Oktober 2022, bagi mengakhiri perbalahan mengenai pelantikan uskup. – UCA News (Terjemahan oleh Catholic Sabah)