235 anggota Pembaharuan Karismatik Katolik (CCR) memenuhi seluruh Dewan Pusat Keuskupan Agung (CAC), 6 Jan
KOTA KINABALU – “Firman jadi manusia, diam di antara kita” (Yohanes 1:14) berkumandang kuat, bersemangat dan bertenaga, memenuhi seluruh Dewan Pusat Keuskupan Agung (CAC), apabila 235 anggota Pembaharuan Karismatik Katolik (CCR) berkumpul untuk memuji dan menyembah Tuhan sempena Krismas dan Tahun Baharu yang diadakan di sini pada 6 Januari 2023.
Dianjurkan oleh Archdiocesan Service Team (ADST), badan tertinggi di Keuskupan Agung Kota Kinabalu yang menjaga hal-ehwal pelayanan CCR, para anggota CCR dari pelbagai paroki dan gereja; Kolopis, Kepayan, Inanam, Kobusak, Katedral Hati Kudus, Dontozidon, Tuaran, Inobong, Kota Marudu dan Tanjung Aru, datang bersama untuk kelompok doa gabungan yang dihoskan oleh CCR Tanjung Aru.
Ekspresi kegembiraan dapat dilihat apabila para anggota CCR bersalaman antara satu sama lain dalam semangat kesatuan dan persaudaraan, memandangkan kali terakhir kelompok doa gabungan dianjurkan adalah Rally Pentekosta yang diadakan di Katedral Hati Kudus pada tahun 2017.
Sesi pujian dan penyembahan dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu Krismas yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Fr Sylvester Wong, Penasihat Rohani ADST ketika membaca bacaan Injil Hari Penampakan Tuhan (Epifani) dan renungan Firman
Ini diikuti dengan bacaan Injil Hari Penampakan Tuhan (Epifani) dan renungan Firman oleh Fr Sylvester Wong, Penasihat Rohani ADST yang baru dilantik.
Fr Wong menghuraikan Hari Epifani ini bukan sahaja sebagai memperingati kunjungan orang-orang majus ke palungan, tetapi yang penting mereka mengiktiraf Yesus sebagai Mesias, dan mereka datang dengan rendah hati untuk memberi penghormatan kepadaNya dan mencari kebenaran yang ada di dalam Dia.
Fr Wong seterusnya menggesa kelompok doa gabungan CCR ini dan sambutan baik yang diterimanya mencerminkan pengiktirafan kita tentang Yesus sebagai Mesias dan kerinduan kita juga untuk mencari kebenaran yang ada dalam Dia.
Fr Wong menjelaskan mereka yang melihat Yesus di palungan adalah para gembala, mewakili golongan yang rendah dan tidak berpendidikan tetapi diberi kebenaran tentang Yesus, dan orang-orang majus, mewakili golongan terpelajar tetapi rendah hati dalam mencari kebenaran yang ada dalam Yesus.
Fr Wong juga mengingatkan semua yang hadir agar tidak menjadi seperti mereka yang tidak melihat Yesus di palungan: Raja Herodes, yang anti-Kristus, dan bersikap tidak memerlukan Tuhan dalam hidupnya, dan orang Farisi dan Saduki, yang terlalu sibuk dengan tugas mereka dan tidak terbuka kepada Kristus.
Fr Wong menggalakkan semua yang hadir untuk menyembah Yesus dengan sukacita, kerendahan hati dan mentakhtakan Dia dalam semua situasi kehidupan kita, mempercayai penjagaan dan pemberianNya. Yesus akan menunjukkan kepada kita Jalan, Kebenaran dan Kehidupan kepada Tuhan.
Didorong dan diteguhkan oleh Firman, semua yang hadir kemudian memasuki masa pujian dan penyembahan yang tinggi, mengumumkan Yesus sebagai Firman yang telah menjadi manusia dan diam di antara kita, mengucap syukur atas kasih dan berkatNya, menegaskan bahawa keselamatan datang dari Tuhan sahaja, meninggikan keagungan Yesus dan mengakui bahawa kita mengandalkan Tuhan untuk harapan dan kekuatan menghadapi semua situasi dan cabaran kehidupan.
Hector Jintoni, pengerusi ADST, mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir untuk bersama-sama memulakan tahun baharu dengan memuji dan menyembah Tuhan sebagai komuniti CCR keuskupan agung.
Dia juga mengumumkan program ADST yang akan datang, Retret para Pemimpin CHARIS dan pemilihan AJK baharu ADST yang akan diadakan pada 10-12 Februari 2023 di tempat yang sama ini. Dia menggalakkan semua kumpulan CCR di seluruh keuskupan agung untuk menghantar para pemimpin dan pemimpin berpotensi mereka ke retret ini.
Malam pujian dan penyembahan diakhiri dengan doa penutup dan berkat oleh Fr Sylvester Wong, nyanyian Feliz Navidad dan We Wish You a Merry Christmas, foto berkumpulan di palungan CAC dan hidangan ringan.