Duta Vatikan ke Malaysia Uskup Agung Wojciech Zaluski (kanan), memberikan berkat apostolik daripada Bapa Suci kepada Uskup Bernard Paul
By Liza Magnus
Dec 19 2022
PLENTONG – “Dengarlah kepada Roh Kudus dan jadilah cahaya harapan untuk Keuskupan Melaka Johor (MJD) dan gereja di Malaysia!”
Seruan ini digemakan oleh Uskup Bernard Paul sempena perayaan Jubli Emas Melaka Johor pada Dis 3, 2022 sempena Pesta Sto Francis Xavier, Santo Penaung Keuskupan MJD.
Ditubuhkan sebagai Keuskupan Melaka Singapura pada tahun 1888, tetapi kemudiannya ‘berpisah’ dengan Singapura apabila Singapura keluar dari Tanah Melayu pada tahun 1972, keuskupan yang penuh dengan kisah sejarah ini, dengan bangganya meraikan jubli emasnya bersama para Uskup, paderi, religius dan lebih dua ribu umat yang datang.
Turut hadir ialah Wakil Sri Paus ke Malaysia, Uskup Agung Wojciech Zaluski, Uskup Agung Emeritus, Murphy Pakiam dan Uskup Diosis Pulau Pinang, Sebastian Francis.
“Bukan kerana tidak menghadiri Misa maka kita berdosa, bukan kerana kita melanggar 10 perintah Tuhan, kerana tujuh dosa atau melanggar peraturan kongregasi religius kita, tetapi kita berdosa apabila tidak mendengar Roh Kudus,” kata Uskup Bernard semasa menyampaikan homilinya.
Prelatus itu menjadi selebran utama dalam Misa Kudus yang dijalankan dalam pelbagai bahasa dan turut disiarkan secara langsung melalui Youtube.
Gembala Keuskupan MJD itu mengingatkan semula hadirin tentang sejarah para pendahulu yang mendengar Roh Kudus.
Sto Francis Xavier adalah pendengar Roh Kudus yang taat, meninggalkan negaranya dan menulis kepada para pelajarnya, agar melupakan cita-cita kecil mereka dan datang ke Timur untuk mewartakan Injil Kristus. .
“Begitu juga terdapat ramai individu, ketua-ketua komuniti, ketekis, religius, paderi dan Uskup, kerana mendengar Roh Kudus, mereka telah membuka pusat-pusat misi, sekolah, membuka pusat bantuan di perkampungan – inilah pergerakan Roh Kudus.”
Roh yang sama mengatakan sesuatu kepada komuniti pada masa kini.
1. Dengar rahmat pembaptisan kita bahawa kita dipanggil dan diutus
2. Dengar dan patuhlah misi dan visi MJD.
3. Dengar apa yang Roh Kudus katakan kepada Gereja Malaysia, untuk menjadi jambatan, penghubung dan inklusif.
4. Melalui Sinode 2023 kita diingati untuk menyedari bahawa kita dipanggil untuk mendirikan persekutuan, turut serta dan pergi bermisi
5. Dipanggil menjadi saudara kepada semua orang (Fratelli Tutti)
Pada akhir homilinya, Uskup Bernard menyatakan bahawa Roh Kudus selalu mengampuni, Roh Kudus tidak pernah putus asa dengan kita, Dia bersedia bekerjasama dengan kita, apa yang perlu, Dengar dan Buka hati kepada Roh Kudus. Dengan membuka dan mendengar kepaa Roh Kudus, kita akan menjadi Cahaya Kristus Duta Vatikan ke Malaysia, Wojciech Zaluski, dalam ucapannya mengungkapkan kegembiraannya berada di pesta Jubli Emas MJD dan menyampaikan berkat serta doa Bapa Suci Fransiskus kepada semua umat di MJD.
Kemudian, prelatus itu mengongsikan sebelum menghadiri perayaan Jubli Emas MJD, beliau telah membaca petikan dari Wahyu Bab 2, di mana Rasul Yohanes menulis kepada tujuh Gereja di Asia Kecil (Turki moden) yang meraikan jubli mereka, seperti MJD.
Setiap surat itu mewartakan Yesus, mengisytiharkan kemenangan dan kejatuhan gereja penerima dan memberi amaran kepada setiap jemaat agar bertobat. .
Katanya, “Beribu-ribu tahun kemudian, kita dapati keadaan gereja tidak banyak berubah. Kita boleh gantikan Efesus dalam surat itu dengan Melaka Johor.”
Pesan Roh Kudus pada gereja-gereja awal, tetap sama sehingga sekarang, “Sesiapa yang bertelinga, hendaklah dia mendengar apa yang dikatakan Roh Kudus kepada jemaat-jemaat,”(Why 2:7).
Prelatus itu berdukacita dan bimbang dengan kejadian yang berlaku di negaranegara di Eropah, misalnya di Jerman, di mana ratusan ribu Kristian meninggalkan Gereja setiap tahun.
Oleh itu, Nunsio itu berharap pengalaman merayakan Jubli Emas ini semakin memperkuat kesatuan, teguh dan kreatif dalam penginjilan agar umat sentiasa berasa dialu-alukan dan mendengar Roh Kudus. Dan jangan lupa kata Uskup Agung Wojciech, “sentiasa berdoa kepada Santa Perawan Maria dan Sto Francis Xavier.”
Sempena musim Adven, sama seperti gereja-gereja di Efesus, Smyrna, Pergamum, Thyatira 2,000 tahun yang lalu …
Saya berkata, “Maranatha, datanglah Tuhan Yesus. Datanglah ke dalam kehidupan kami, keluarga kami, Gerejagereja kami dan komuniti kami.” – Herald Malaysia