777 sertai Khemah Belia Sook Paroki kesembilan 2022
Oleh Melisa Floly Asip
Dec 19 2022
KENINGAU – Khemah Belia Paroki Sook kini telah menjangkau tahun ke-sembilan (KBP9) dan kali ini, KBP9 diadakan di Gereja Katolik Kristus Raja, Tulid.
Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula Nov 25-27 lalu yang menghimpunkan 777 orang belia dari seluruh Paroki Sook. Turut hadir, ko-ordinator Komisi Belia Keuskupan Keningau, Sdra. Roney Eming dan pembimbing rohani KBP Paroki Sook, Sr Maria Thomas FSIC.
Bapa Uskup Cornelius Piong dalam ucapannya semasa Misa Kudus Perutusan KBP9 menyatakan sukacitanya atas perkembangan umat khususnya para belia di Paroki Sook. Bapa Uskup mengimbas kembali pada 45 tahun yang lalu, keadaan sungguh berbeza di Zon Tulid, Sook berbanding sekarang.
Prelatus itu juga berpesan kepada para belia agar menjadi peribadi yang tidak tertumpu kepada mengumpulkan kuantiti yang ramai sahaja sebaliknya, lebih fokus menjadi peribadi yang berkualiti, yang tabah menghadapi cabaran hidup serta setia mengimani, dan melayani Yesus Kristus.
Menyedari akan kepentingan para belia kepada masa depan Gereja, bukan sahaja di Keuskupan Keningau, bahkan di seluruh dunia, Bapa Uskup berpesan, “Tanpa belia, tiadalah harapan,” katanya mengakhiri ucapan.
Fr Boniface Kimsin, selaku Paderi Paroki Sook juga meluahkan rasa syukur dan ucapan syabas atas penganjuran KBP9 yang berjaya ini
Paderi itu menyeru agar para belia bangkit dan bersemangat kembali dan menegaskan bahawa, mereka adalah orang-orang yang penuh harapan dan kebolehan.
“Semoga akan ada di antara para belia yang akan menyahut panggilan menjadi paderi dan religius di Keuskupan Keningau menggantikan para paderi yang sudah lanjut usia agar semua umat dapat menikmati pelayanan Sakramen-sakramen dengan lebih kerap lebih-lebih lagi di tempat-tempat yang jauh serta terpencil,” tambah klerus itu lagi.
Pengerusi Belia Paroki Sook, Fynder O’feil Fred, mengucapkan penghargaannya kepada semua yang terlibat dalam pelaksanaan program KBP9 ini dan menyatakan bahawa beliau menghargai kebersamaan para belia dan dan berharap agar mereka akan semakin berani menjadi saksi-saksi Kristus dan sentiasa bersemangat dalam mewartakan Injil sesuai dengan tema KBP9, “Bangkitlah, Aku telah menjadikan kamu saksi tentang apa yang telah kamu lihat”(Kis 26:16).
Menurut Fynder O’feil, para belia telah ditempatkan bersama keluarga angkat selama tiga hari program KBP9 ini berlangsung.
Dan peserta berpeluang merasakan sendiri pengalaman bersama dengan keluarga angkat mereka dalam aktiviti yang dikhaskan untuk belia bersama dengan keluarga angkat masing-masing. Pastinya ini adalah satu pengalaman baru yang menyeronokkan serta mendorong belia agar lebih berani dalam pewartaan iman.
KBP9 ini juga merupakan satu program tahunan KBK Paroki Sook dalam mempersiapkan para belia bagi pewartaan ke rumah-rumah nanti dan sentiasa menjadi program yang dinanti-nantikan oleh semua belia di Paroki Sook setiap tahun.
Sempat tertangguh pelaksanaannya selama beberapa tahun akibat pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.
Namun, para belia di Paroki Sook ini telah melunaskan kerinduan mereka untuk kembali berkumpul dan meraihkan kebersamaan melalui penganjuran KBP9 pada tahun ini.
Misa Perutusan KBP9 telah menutup tirainya dengan mengumumkan tuan rumah bagi Program Khemah Belia Paroki ke-10 (KBP10) iaitu Gereja Roh Kudus, Sook. – Herald Malaysia