Webinar bertajuk ‘Menghadapi Krisis Ekonomi Di Tengah Pandemik COVID-19’ diadakan pada 8 Ogos yang lalu
Sr Anita James, fsic
Aug 11 2020
KOTA KINABALU – Situasi krisis ekonomi yang sedang berlaku secara global akibat pandemik menjejaskan hidup ramai orang termasuk di kalangan umat tempatan yang berpendapatan rendah.
Fr Ambrose Atang, Penasihat Rohani Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Agung Kota Kinabalu (Archdiocesan Human Development Commission, AHDC) berkata Gereja sangat prihatin tentang krisis yang melanda dunia pada masa ini. Gereja bukan hanya prihatin tentang sisi rohani dan liturgi dalam kehidupan umat tetapi juga hal-hal yang menyentuh kehidupan sosial.
Dalam usaha mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik COVID-19, AHDC telah mengadakan webinar bertajuk ‘Menghadapi Krisis Ekonomi Di Tengah Pandemik COVID-19’ pada 8 Ogos yang lalu sebagai respon gereja terhadap isu ini.
Moderator bagi sesi webinar adalah Puan Anne Lasimbang, ahli AHDC.
YB Senator Adrian Lasimbang membincangkan kesan negatif pandemik terhadap ekonomi domestik penduduk Sabah dan dasar yang diambil oleh kerajaan sebagai “jalan keluar” untuk mengatasi krisis tersebut.
Senator Lasimbang menyarankan agar komuniti-komuniti di Gereja mencari jalan untuk menggerakkan umat melakukan program jangkamasa panjang bagi meningkatkan ekonomi sara diri. Dia juga mencadangkan agar Gereja memberikan saranan-saranan ekonomi yang boleh dia suarakan kepada pihak kerajaan.
Victor William Sabin, Pegawai Kaunselor Kredit, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Pejabat Bank Negara Malaysia, Kota Kinabalu membincangkan senario ekonomi dalam dan luar negara akibat pandemik COVID-19.
Antara lain Victor menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil oleh para majikan atau peniaga untuk mengelakkan muflis dan peluang-peluang baru di pasaran yang boleh diceburi. Dia turut menjelaskan tentang isu Moratorium yang sedang hangat dibincangkan dalam negara masa kini.
Seorang lagi narasumber, Gerald Jitoni, Setiausaha Pusat Biodiversiti Sabah yang juga Ketua Komiti Pembangunan Insan di Holy Nativity Terawi, membincangkan kesan negatif COVID-19 terhadap ekonomi petani, pekebun, peladang dan penternak kecil. Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan untuk pemulihan.
Cosmas Kaling Bodon, Ketua Komiti Hal Ehwal Ekonomi (KHEE) di bawah AHDC pula telah menbincangkan cara alternatif yang boleh dilakukan oleh pekerja bergaji bulanan atau harian di sektor swasta, untuk mengukuhkan ekonomi keluarga mereka di masa krisis.
Peranan wanita dalam pemulihan ekonomi tidak dilupakan. Puan Angeline Daransun, Penyelaras Program Sosio-Ekonomi PACOS mengupas topik kesan negatif pandemik kepada suri rumah dan wanita serta langkah-langkah konkrit yang boleh diambil untuk memulihkan ekonomi keluarga.
Dominic Lim, Penyelaras Komisi Pembangunan Insan AHDC, menutup perkongsian dengan menjelaskan pandangan Gereja tentang Krisis Ekonomi dari sudut Ajaran Sosial Gereja.
Katanya dalam usaha menangani masalah ekonomi, hal terpenting yang harus diutamakan adalah Prinsip Maruah Insan yang harus menjadi dasar kepada usaha-usaha yang dilakukan agar kebaikan bersama tetap terjaga.
Beliau turut mengingatkan tentang pentingnya anjakan paradigma untuk memperbaiki ekonomi setempat terutamanya, agar tidak ada orang atau komuniti terutamanya golongan miskin yang disisihkan dalam menangani masalah ekonomi yang sedang berlaku.
Webinar yang berlangsung selama dua jam ini diakhiri dengan doa penutup, pada jam 12 tengahari. Oleh kerana webinar ini juga dipaparkan secara live di Facebook, sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perbincangan dan perkongsian yang telah diadakan, boleh menyaksikan program tersebut di laman Facebook: AHDC-KPI Keuskupan Agung KK.