Fr Sunny Chung ketika upacara pemberkatan chapel St Michael the Archangel Kg Lutung, 2 Okt
Oleh Christina David
Oct 29 2022
INOBONG – “Hari ini impian kami, umat di Kg Lutung direalisasikan dengan chapel siap dibina dan diberkati oleh Fr Sunny Chung,” kata Stella Boritus pada 2 Okt lalu dalam ucapan Perasmian dan Pemberkatan Chapel St Michael the Archangel, di sini.
Turut hadir bersama dalam upacara pemberkatan dan perasmian adalah Fr Jack Johimi Pembantu Rektor Paroki (pada waktu itu), para katekis dan umat serta pasukan kereta pacuan empat roda TID 4×4 dan WRS.
Kg Lutung merupakan salah satu perkampungan terpencil yang terletak di Kawasan Kg Timpangoh Babagon Penampang, mempunyai hampir 12 buah keluarga yang mendiami kampung tersebut.
Perjalanan dari Kg Timpangoh ke Kg Lutung mengambil masa lebih dari satu jam dengan berjalan kaki menyusuri jalan raya berbukit dan tanah merah. Jarak jalan raya besar ke Kg Lutung hampir tujuh kilometer dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda bergantung kepada keadaan cuaca.
Rancangan pembinaan chapel ini telah lama difikirkan oleh paderi paroki sebelumnya iaitu mendiang Fr Alex Sipanul dan mendiang Fr Jimsy Julius terutamanya selepas lawatan Komiti Kateketikal ke Kg Lutung pada tahun 2015. Umat di Kg Lutung pada waktu itu hanya berkumpul di rumah salah seorang umat untuk melakukan aktiviti kerohanian seperti berdoa rosari atau semasa lawatan paderi ke sana.
Melalui inisiatif Komiti Kewangan dan Harta Benda Paroki Holy Trinity Inobong yang diketuai oleh Dr Felix Tongkul, komiti berjaya mengumpul sedikit dana melalui aktiviti Baazar, Jogathon serta hasil sumbangan umat di paroki. Dengan itu proses pembinaan chapel ini dimulakan pada tahun 2019. Walau bagaimanapun proses pembinaan memakan masa yang agak panjang kerana bergantung kepada kewangan yang ada.
Nama St Michael The Archangel dipilih sendiri oleh mendiang Fr Alex Sipanul dan telah menyiapkan patung Malaikat St Michael untuk diletakkan di chapel itu sebelum pemergiannya pada April 2022.
Dengan adanya chapel baharu ini maka jumlah gereja/chapel di paroki ini kini bertambah menjadikannya 14 buah. Chapel ini telah siap sepenuhnya dan boleh menampung seramai 80 orang di dalam chapel.
Fr Sunny Chung, Rektor Paroki bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan serta semua yang terlibat dalam pembinaan chapel semasa ucapannya di dalam upacara perasmian dan pemberkatan.
“Walaupun saya tidak terlibat dalam proses ini kerana baru saja dihantar melayani di paroki ini, namun saya sangat gembira kerana berpeluang memberkati sebuah gereja” kata Fr Sunny.
Fr Sunny membawa semua umat untuk terus berdoa untuk komuniti di Kg Lutung supaya ada yang terpanggil untuk menjadi katekis dan dapat membimbing umat di sini.
“Gereja ini tiada guna jika tiada umat kerana gereja itu adalah umat dan bukannya bangunan ini. Semoga umat di tempat ini akan berkembang dari segi iman dan kepercayaan mereka kepada Tuhan. Kita berdoa kepada Santo Michael Malaikat Agung supaya sentiasa membimbing dan menjaga umat di sini,” pesan Fr Sunny di akhir ucapannya.
Katekis Luis Lojuki, Pembantu Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Holy Trinity Inobong turut bersyukur atas perasmian dan pemberkatan chapel ini.
“Tahniah kepada kita semua umat di Paroki Inobong kerana semuanya ini adalah hasil usaha kita bersama,” katanya.
“Tiada kata yang kami mampu ucapkan selain daripada kesyukuran dan terima kasih kepada Tuhan atas rahmat dan anugerahNya yang memberikan kami Chapel St Michael the Archangel.”
“Suatu ketika dulu kira-kira 30 tahun yang lalu, ketika saya baru berumur 9 tahun, Fr Thomas Makajil pernah beberapa kali melawat kampung ini dan menyatakan hasratnya untuk membina chapel. Walaupun pertemuan yang singkat sahaja dan berlaku ketika saya masih kecil namun ianya sentiasa dalam ingatan saya sehingga hari ini.
“Sebelum ini, kami terpaksa menghadiri Misa mingguan di gereja yang berdekatan seperti gereja di Timpangoh Babagon atau pun di Sacred Heart Inobong dengan berjalan kaki. Semoga dengan adanya chapel ini akan menjadikan kami umat di sini lebih kuat dengan iman dan kepercayaan,” kata Stella Boritus yang mewakili umat Kg Lutung memberikan ucapan.
Monis Gimbun berkata, “Sebagai individu yang diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh Paderi Paroki, MPP dan umat untuk membina chapel ini, saya merasa sangat bersyukur kerana selepas tiga tahun akhirnya chapel ini telah siap dan boleh digunakan.
“Sepanjang pembinaan chapel ini, banyak cabaran yang dilalui terutama dari segi mendapatkan bahan binaan kerana keadaan jalan raya yang teruk. Kos pengangkutan untuk menghantar bahan binaan dari pekan sangat tinggi serta kesukaran untuk mengangkat bahan yang berat seperti simen, batu dan pasir.
“Saya bersyukur kerana adanya kumpulan-kumpulan penggemar aktiviti lasak seperti WRS 4WD dan TID 4×4 yang sanggup datang membantu menghantar bahan binaan. Saya juga mendapat bantuan daripada komuniti setempat yang datang untuk bergotong-royong membantu saya.” katanya.
Monis berterima kasih kepada semua yang telah membantu sepanjang pembinaan chapel itu.
Fr Sunny Chung (Kanan) dan Fr Jack Johimi (Kiri) bergambar bersama umat chapel St Michael the Archangel Kg Lutung