Avril Linda Robert
Kompilasi oleh Euseclara Suah
Oct 7 2022
Avril Linda Robert (19) dari Zon Maang
Bagaimana anda dipanggil mengikuti PYD 8?
Saya dipanggil mengikuti PYD 8 melalui panggilan Roh Kudus di mana saya telah dipanggil melalui ajakan daripada beberapa orang yang bertugas sebagai pelayan di Gereja.
Apakah ‘Salib’ atau masalah anda dalam kehidupan anda dan bagaimana anda menghadapi atau menghidupi ‘Salib’ atau masalah itu?
‘Salib’ atau masalah dalam kehidupan saya adalah sukar mengikuti beberapa aktiviti yang ada dianjurkan di dalam mahupun di luar gereja. Namun, dengan menghidupi ‘Salib’ tersebut saya sentiasa berdoa dan meminta Tuhan untuk sentiasa membimbing perjalanan saya. Saya sangat bersyukur bahawa dengan ‘Salib’ tersebut, saya dapat merasai kehadiran Roh Kudus dan Yesus sentiasa ada bersama saya dan membangkitkan saya untuk mengikuti program belia ini termasuk program PYD 8.
Berdasarkan tema PYD 8 ‘Bangkit & Bersaksilah!’ (Kis 26:16) apakah yang anda faham tentang bangkit?
Menurut saya, ‘bangkit’ adalah ketika iman dan jiwa kita dibangkitkan dengan kuasa Roh Kudus melalui penglibatan program PYD 8 ini. Jelasnya, ‘bangkit’ dapat menyedarkan kita tentang jalan penyelesaian kita untuk keluar daripada masalah kita. Meminta perlindungan daripada Bonda Maria dan Yesus untuk menemani kita dalam pelayanan di dalam mahupun di luar gereja.
Kenapa anda perlu bangkit dan bangkit daripada apa?
Saya perlu bangkit supaya hidup saya sentiasa dikuatkan, lebih beriman dan tidak buntu untuk mencari jalan penyelesaian dalam setiap situasi. Saya percaya bahawa Yesus berserta kita di manapun kita berada. Kita juga dapat membangkitkan diri kita daripada segala godaan jahat dan menyesatkan untuk meruntuhkan iman kita dan menyukarkan kita menghadapi situasi itu.
Apakah yang berlaku dalam hidup anda pada masa ini dan apa yang kamu lakukan?
Saya sentiasa ragu-ragu untuk mengaktifkan diri dalam melayani dalam gereja kerana saya sentiasa disibukkan dengan banyak tugasan sekolah yang saya ada sehingga saya lupa apa yang berlaku dalam kehidupan saya. Saya hilang semangat untuk menghidupi kembali iman saya dalam pelayanan di gereja. Namun, syukur puji Tuhan, dengan bimbingan Roh Kudus dan ajakan daripada para pelayan di gereja, saya terbuka hati untuk bangkit dengan mengikuti program PYD 8 sebagai permulaan saya kembali bangkit. Bersemangat untuk aktif melayani dalam setiap aktiviti belia dan pelayanan dalam gereja.
‘Bersaksilah’
Apakah pemahaman anda tentang bersaksi?
Melalui pemahaman saya, bersaksi ini adalah cara kita untuk menolong dan menghidupkan kembali iman para belia yang lain bahawa Yesus sentiasa ada bersama saya seperti dalam petikan Alkitab (Kis 26:16) “Bangunlah dan berdirilah! Aku sudah menampakkan diri kepadamu dengan melantik engkau menjadi hambaKu. Engkau harus memberitahu orang lain apa yang engkau lihat hari ini tentang Aku dan tentang apa yang Aku tunjukkan kepadamu pada masa akan datang.”
Anda bersaksi untuk siapa dan mengapa?
Saya bersaksi untuk Yesus Kristus kerana Dia memanggil umatNya mengikuti PYD 8. Saya akan kongsi dengan para belia yang lain betapa istimewa dan bagus mengikuti program belia seperti ini.
Apa tujuan kamu untuk bersaksi?
Tujuan saya untuk bersaksi adalah menghidupi kembali jiwa belia dalam mengenal Yesus Kristus dengan mengajak mereka untuk mengikuti setiap aktiviti belia termasuklah program PYD yang dianjurkan seperti ini.
Berdasarkan sesi ‘Be Brave’
Kenapa anda perlu berani?
Sebab saya perlu berani supaya iman saya semakin kuat dan tidak gentar dalam memberitakan khabar gembira kepada para umat yang lain tentang Yesus kristus. Kita akan menjadi berani dalam setiap cabaran dengan perlindungan Bonda Maria dan Yesus Kristus serta Roh Kudus.
Apakah cabaran anda menjadi berani?
Cabaran saya untuk menjadi berani adalah sebagai salah seorang pelayan di altar iaitu pemazmur. Saya sentiasa takut untuk menghadapi sebarang kesilapan yang mungkin akan saya hadapi. Cabaran ini tidak mudah namun, setelah mendengar sesi ini saya percaya bahawa saya tidak perlu takut kerana Tuhan sentiasa bersama saya untuk menghadapi cabaran yang menguji kekuatan iman saya.
Apakah yang anda takut dan bagaimana anda mengadapi perasaan takut serta cabaran anda?
Saya takut untuk menghadapi sebarang kesilapan sepanjang saya melayani dalam gereja iaitu pemazmur. Namun, saya cuba menghadapi perasaan takut saya dengan memohon bantuan Roh Kudus, Yesus Kristus serta perlindungan Bonda Maria untuk membimbing saya dalam menghadapi cabaran ini agar saya kuat dan tenang menghadapi pelayanan saya sebagai seorang pemazmur.
‘Let it be Green’
Apakah yang anda faham mengenai ‘Let it be Green’?
Melalui pemahaman saya, ‘Let it be Green’ ini adalah dengan menghidupi kembali alam yang dikelilingi dengan tumbuhan dan pokok-pokok yang hijau untuk mengelakkan bencana yang tidak diingini. Menanam pokok, buah-buahan atau bunga akan membuahkan hasil yang dapat dikongsikan bersama.
Apakah yang anda dapat daripada ‘Let it be Green’?
Melalui sesi Let it be Green, saya dapat merasai betapa bersyukurnya saya tentang ciptaan Allah yang diberikan kepada kita. Kita dapat merasakan ketenangan kerana melalui sumber alam dan memperoleh manfaat daripada ciptaan Tuhan.
Bagaimana anda menghidupi ‘Let it be Green’ dalam kehidupan seharian anda selepas ini?
Cara saya menghidupi kembali ‘Let it be Green’ ini adalah dengan menanam tumbuh-tumbuhan supaya saya dapat memanfaatkan ciptaan Tuhan supaya kita selesa dan berasa aman untuk hidup.
Harapan Belia
Apakah harapan anda setelah program PYD 8 ini?
Harapan saya setelah mengikuti program PYD 8 ini agar saya mampu bangkit untuk menghidupi jiwa dan iman dalam diri supaya saya lebih aktif melayani di dalam mahupun di luar gereja. Juga mengongsikan berita baik atau aktiviti-aktiviti yang sudah saya jalankan sepanjang program ini kepada para belia yang lain agar mereka terbuka hati untuk mengikuti program PYD seterusnya serta program yang lain.
Apakah yang ingin anda hidupi dalam PYD 8 di dalam keluarga anda?
Saya akan membangkitkan kembali iman dalam keluarga saya untuk sentiasa menyahut panggilan Tuhan dengan hadir ke gereja dan mengongsikan khabar gembira melalui pewartaan dan ajakan daripada saya untuk menyertai apa-apa aktiviti kerohanian yang ada supaya jiwa kita sentiasa rindu dan terbuka hati untuk mengenali Yesus Kristus secara mendalam dan sentiasa menyedarkan saya dan juga keluarga saya bahawa Yesus Kristus sentiasa berserta kita.
McDevonzzie Dexter dari Zon Maang
McDevonzzie Dexter (17) dari Zon Maang
Bagaimana anda dipanggil mengikuti PYD 8?
Saya dipanggil menyertai program ini dari PYD 7, tetapi pada masa itu, saya masih lagi di bawah umur dan terdapat masalah yang menghalang saya untuk terlibat dalam PYD pada masa itu. Kali ini saya dipanggil semula untuk mengikuti PYD 8 oleh Cik Lorna, tanpa diduga saya menjadi ketua kontinjen bagi Zon Maang dan saya amat bersyukur atas kesempatan yang diberikan oleh Tuhan.
Apakah ‘Salib’ atau masalah anda dalam kehidupan anda dan bagaimana anda menghadapi atau menghidupi ‘Salib’ atau masalah itu?
Salib atau masalah yang saya perasan ada pada diri sya ialah tekanan (stress). Seperti yang kita tahu, tekanan mempunyai kategori yang berjenis-jenis. Salah satu tekanan yang saya pikul ialah tekanan dalam pendidikan dan keluarga. Dari saat itu, saya menghidupi ‘Salib’ atau masalah ini dengan terus percaya akan bimbingan Tuhan serta penyertaannya dalam kehidupan saya.
Berdasarkan tema PYD 8 ‘Bangkit & Bersaksilah!’ (Kis 26:16) apakah yang anda faham tentang bangkit?
‘Bangkit’ merupakan satu perbuatan untuk bangun. Ini dapat dilihat melalui doa Aku Percaya dan Alkitab di mana pada hari ketiga, Yesus bangkit dari kematiannya. Manakala bangkit juga boleh dikaitkan dengan Kisah Para Rasul di mana 12 para rasul menerima Roh Kudus, mereka bangkit daripada ketakutan mereka.
Kenapa anda perlu bangkit dan bangkit daripada apa?
Melalui kebangkitan, saya dapat bangun dari ‘tidur’ dan memulakan kehidupan yang baharu. Setiap hari kita dapat lihat banyak sekali kekecewaan atau kegagalan dari segi perkerjaan dan pendidikan. Oleh itu, ‘bangkit’ adalah ubat bagi kita untuk berkembang. Jika dilihat dari sudut pandang yang lain, ‘bangkit’ juga berkesan untuk kita menguatkan iman kita sebagai seorang Kristian. Kita perlu bangkit daripada segala ketakutan dan kegagalan untuk bersaksi bagi Tuhan.
Apakah yang berlaku dalam hidup anda pada masa ini dan apa yang kamu lakukan?
Saya sering mengalami tekanan dalam pembelajaran, kerana beberapa bulan lagi saya akan menduduki SPM. Ada masa saya ingin putus asa untuk belajar tetapi bisikan hati tidak membenarkan saya berputus asa kerana saya percaya bahawa Yesus selalu campur tangan dalam segala perkara dan mendorong saya untuk berdoa lebih kepadanya. Selain berdoa, saya juga akan mendengar lagu rohani untuk menenangkan hati dan fikiran saya.
‘Bersaksilah’
Apakah pemahaman anda tentang bersaksi?
Di dalam makhamah, saksi diperlukan bagi menentukan seseorang itu bersalah atau tidak. Manakala ‘Bersaksi’ adalah saksi rohani, yang diberikan oleh Roh Kudus mengenai kebenaran injil.
Anda bersaksi untuk siapa dan mengapa?
Sebagai umat Kristian Katolik, sudah pastinya kita bersaksi kepada Yesus, kerana kita telah diutus olehnya supaya memberitakan khabar gembira ke seluruh dunia dan Yesus juga ingin kita bersaksi tentang mukjizat-mukjizat Tuhan yang pernah berlaku.
Apa tujuan kamu untuk bersaksi?
Tujuan saya untuk bersaksi adalah untuk memberitahu semua orang bahawa Yesus itu hidup dan Ia benar-benar hidup di kalangan kita. Juga bersaksi tentang kebenaran injil.
Berdasarkan sesi ‘Be Brave’
Kenapa anda perlu berani?
Seorang belia memerlukan keberanian dalam hidup untuk menghadapi pelbagai jenis rintangan dan halangan mahupun dalam kehidupan atau rohani.
Apakah cabaran anda menjadi berani?
Cabaran saya menjadi seorang yang berani adalah menerima kecaman daripada orang lain. Semakin saya berani, semakin itulah mereka kecam atau tidak puas hati dengan tindakan saya. Saya percaya itu hanyalah rintangan dan godaan yang boleh membuatkan keberanian dalam diri goyah.
Apakah yang anda takut dan bagaimana anda mengadapi perasaan takut serta cabaran anda?
Saya sering takut akan fikiran orang lain, kerana kita tidak dapat baca fikiran orang lain. Saya juga takut akan melakukan kesilapan dan saya mengatasi perasaan takut ini dengan berfikiran positif dan mendengar khotbah para paderi. Ada satu ayat yang berbunyi, “Kita hidup bukan untuk memuaskan orang, kerana orang/manusia tidak pernah berasa puas, tetapi kita hidup untuk memuliakan tuhan, kerana hanya dialah Alpha dan Omega.”
‘Let it be Green’
Apakah yang anda faham mengenai ‘Let it be Green’?
‘Let it be Green’, jika direnung kembali kawasan yang luas seperti ladang yang penuh dengan pohon-pohon hijau serta bunga yang berwarna warni mengingatkan kembali akan ciptaan Tuhan dan ajaran Yesus bahawa “Di atas bumi seperti di dalam syurga”. ‘Let it be Green’ mengajar kita semua untuk mengekalkan keindahan bumi.
Apakah yang anda dapat daripada ‘Let it be Green’?
‘Let it be Green’ mengajar saya untuk bersyukur kepada Tuhan akan keindahan bumi yang penuh dengan perlbagai jenis pokok dan bunga, ia juga mengajar saya untuk mengekalkan keindahan tersebut.
Bagaimana anda menghidupi ‘Let it be Green’ dalam kehidupan seharian anda selepas ini?
Saya akan membuang sampah di tempat yang sepatutnya, dan jika mempunyai masa lapang, saya akan menanam pokok di sekeliling rumah.
Harapan Belia
Apakah harapan anda setelah program PYD 8 ini?
Harapan saya selepas program PYD 8 ini adalah untuk aktif dalam pelayanan gereja serta dapat membentuk iman Kristian yang kukuh.
Apakah yang ingin anda hidupi dalam PYD 8 di dalam keluarga anda?
‘Bangkit dan Bersaksilah’, saya ingin menghidupkan ayat ini dalam keluarga saya agar kami dapat bersama-sama bangkit dan bersaksi untuk Tuhan Yesus.
Salah satu persembahan semasa malam Tematik PYD 8