Paderi dan umat Paroki Telupid bergambar di akhir usaha mengutip sampah di Chapel St Fidelis, Kg Kiabau
Oleh Delsie Ivy, SOCCOM
Oct 4 2022
TELUPID – Pada 15 dan 16 September 2022 yang lalu, Paroki Santo Martin, Telupid telah menjalankan Kempen ‘Hentikan Pencemaran Plastik’ yang bertema “Mendengar Suara Alam: Hentikan Pencemaran Plastik” di Chapel St Fidelis, Kiabau. Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umat akan pentingnya menjaga alam ciptaan Tuhan.
Umat mulai berkumpul di mercu tanda Kg Kiabau sekitar jam 8.00 pagi pada 15 Sep. Aktiviti bermula dengan doa pembukaan oleh paderi paroki Fr Christopher Ireneus disusuli dengan taklimat ringkas daripada Sylvester Bingkin, Pengerusi Pengelola.
Fr Christopher bersama Fr Stephen Esguerra, pembantunya serta semua umat yang hadir bergerak bersama secara ‘konvoi’ menggunakan motosikal dan kenderaan sambil memungut sampah di sepanjang jalan menuju ke Chapel St Fidelis, Kiabau sehingga jam 11.30 pagi. Semua bergambar bersama dengan hasil kutipan sampah dan mengakhiri aktiviti dengan makan tengahari.
Uskup Julius Dusin Gitom tiba di Dewan Mini St Fidelis untuk acara pada sebelah petang. Uskup, para paderi dan umat bergerak bersama menuju ke kawasan Sg Purog dan ketibaan mereka disambut dengan paluan gong. Acara santai ini diteruskan dengan katekesis mengenai tema kempen oleh Fr Stephen, Penasihat bagi Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan.
Dalam katekesis, Fr Stephen menekankan kepentingan untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian bagi menjaga alam sekitar. Selain itu, dia juga menekankan kepentingan keseimbangan ekosistem dalam melindungi kesihatan manusia dan meninggalkan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang. Aktiviti tersebut diakhiri dengan makan malam bersama, secara santai sambil mendengar suara alam.
Pada 16 September, Uskup Julius Gitom memimpin Misa Kudus khas bagi kempen ini dan Sambutan Hari Malaysia 2022. Dalam homilinya, Uskup Julius menekankan betapa pentingnya komitmen umat kepada negara dan kesedaran untuk memperjuangkan keadilan kepada semua.
Acara menaikkan bendera Malaysia
Uskup turut mengingatkan umat tentang peranan gereja yang besar dalam membangun masyarakat dan negara serta dalam penjagaan alam sekitar dengan melaksanakan kempen-kempen kesedaran.
Uskup berkata, “Saya berharap agar kempen seperti ini tidak hanya terhenti di sini sahaja tetapi akan sentiasa berterusan dan membawa lebih ramai orang lagi untuk menyedari akan pentingnya menjaga alam sekitar.”
Di akhir Misa Kudus, Uskup Julius menyerahkan banner Kempen ‘Hentikan Pencemaran Plastik’ kepada semua Pengerusi Zon di Paroki St Martin, Telupid.
Acara diteruskan dengan makan tengahari di Dewan Mini St Fidelis, Kiabau sambil mendengar dan menonton persembahan-persembahan daripada Keluarga Katolik Indonesia (KKI), Kanak-Kanak Pertemuan Minggu Gembira (PMG) dan Kerasulan Wanita Katolik (KWK).
Komiti pengelola berharap dengan penganjuran kempen ini, para umat akan lebih memahami tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan seterusnya penggunaan plastik dapat dikurangkan dalam aktiviti harian.